"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Skandal suami terbongkar di farmasi

Agensi

Yangjiang, China: Cubaan seorang lelaki di selatan China untuk membeli pil perancang kehamilan secara rahsia berakhir dengan pendedahan hubungan sulitnya, selepas e-pembayarannya gagal, lapor South China Morning Post.

Insiden bermula apabila lelaki itu mengunjungi sebuah cawangan Farmasi Dashenlin di Yangjiang, wilayah Guangdong, untuk membeli pil perancang berharga 15.8 yuan (kira-kira RM10).

Bagaimanapun, pembayaran menggunakan kod mudah alihnya gagal akibat "masalah sistem."

Kakitangan farmasi kemudiannya menghubungi nombor telefon yang tertera pada kad keahlian lelaki itu untuk menuntut bayaran, namun panggilan itu dijawab oleh isterinya.

Apabila si isteri bertanya mengenai pembelian itu, kakitangan terbabit mengesahkan ia adalah untuk pil perancang kehamilan, sekali gus membongkar rahsia suaminya.

Berang dengan kejadian itu, lelaki terbabit menyalahkan pihak farmasi dan mendakwa insiden itu menyebabkan dua keluarga berada di ambang perpecahan.

Beliau turut menyiarkan video, resit pembelian dan laporan polis sebagai bukti untuk menuntut pihak farmasi bertanggungjawab.

Mengulas kes itu, seorang pengarah firma guaman, Fu Jian, berkata lelaki itu perlu bertanggungjawab kerana kecurangannya adalah punca utama keretakan rumah tangganya.

Menurut Fu, lelaki itu perlu mengemukakan bukti kukuh untuk mengaitkan panggilan telefon farmasi itu dengan keruntuhan perkahwinannya jika mahu mengambil tindakan undang-undang.

"Panggilan telefon yang dibuat oleh kakitangan farmasi itu kelihatan sah dan bukan bertujuan untuk membocorkan maklumat, menjadikannya amat sukar untuk lelaki itu menuntut haknya," jelasnya.

Kisah itu mencetuskan perbincangan hangat di media sosial China dengan rata-rata netizen mempersendakan lelaki terbabit.

Seorang pengguna mengulas: "Ini kelakar, dia curang dan masih percaya dia di pihak yang benar? Betul-betul raja drama. Dua keluarga berpecah kerana kecurangannya. Apa kena mengena dengan jurujual kedai?"

Seorang lagi berkata: "Saya ketawa terbahak-bahak. Abang, awak memang layak menerimanya."

Insdivdu ketiga menambah: "Dia curang dengan isteri, kedekut nak beli kondom sendiri, guna kad keahlian farmasi isteri, lepas itu salahkan kedai bila kantoi. Lawak betul!"
-hmetro 

Tiada ulasan: