"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rogol cucu hingga lahirkan bayi, datuk dipenjara 36 tahun, 24 sebat

Poliana Ronnie Sidom
am@hmetro.com.my

Sandakan: Seorang datuk dihukum penjara 36 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah merogol cucu tirinya sehingga melahirkan bayi lelaki.

Keputusan itu dibuat Hakim, Zaini Fisher @ Fisal selepas tertuduh, lelaki warga asing berusia 52 tahun itu membuat pengakuan bersalah atas dua pertuduhan terbabit.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa pada 13 Oktober lalu, kira-kira jam 9 pagi di sebuah kampung di daerah ini.

Dua hari kemudian, pada 15 Oktober, tertuduh mengulangi perbuatan sama terhadap mangsa di kebun sebuah kampung di daerah ini.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 16(1) dan 26(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 10 kali sebatan bagi pertuduhan pertama, manakala hukuman penjara untuk tempoh sama dan 10 sebatan bagi pertuduhan kedua.

Tertuduh turut dihukum tiga tahun penjara dan dua sebatan secara berasingan bagi kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 16(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Zaini memerintahkan hukuman dijalankan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap dan mengarahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk diusir ke negara asal selepas selesai menjalani hukuman.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azizi Hamil.

Berdasarkan fakta kes, selepas perceraian ibu bapa, mangsa serta dua adiknya tinggal bersama tertuduh dan nenek mereka.

Tertuduh ditangkap pada 23 Julai lalu di sebuah ladang di Batu 36 di daerah ini selepas ibu kandung mangsa membuat laporan polis mendakwa anaknya melahirkan bayi akibat dirogol tertuduh.

Tiada ulasan: