"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis siasat kes bunuh lelaki digilis lori

Buletin TV3 
Kumaran Rajamoney
Mayat lelaki yang ditemui berlumuran darah di lorong berhampiran Jalan Horley, Ipoh, hari ini.
IPOH: Polis sedang menyiasat kes pembunuhan seorang lelaki yang ditemui maut dalam keadaan berlumuran darah di lorong berhampiran Jalan Horley, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, dalam kenyataannya memaklumkan mangsa yang lengkap berpakaian dijumpai kira-kira jam 6 pagi oleh seorang pekerja hotel sebelum memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis.

Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala serta belakang badan.

Bagaimanapun, tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa.

Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa dikejar sebuah lori berwarna putih kira-kira jam 4.24 pagi sebelum berlaku pergaduhan dengan suspek.

“Mangsa kemudian jatuh di hadapan kenderaan tersebut sebelum digilis dan ditinggalkan di lokasi kejadian.

“Polis telah mengenal pasti pemilik serta pemandu lori berkenaan dan suspek kini sedang dikesan untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati punca kematian adalah kecederaan kepala dan dada akibat pelanggaran jalan raya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Komisioner Mahani Mohammed, di talian 019-261 8221 atau balai polis berdekatan.

Tiada ulasan: