"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PN perlu elak 2 nakhoda jika wujud majlis presiden

Anne Muhammad dan Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) perlu memperjelaskan struktur kepimpinan bagi mengelakkan situasi ‘dua nakhoda’ menerusi cadangan penubuhan majlis presiden yang kembali diperkatakan selepas senyap hampir enam bulan, kata penganalisis.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, gabungan itu perlu mempunyai mekanisme jelas untuk menangani perbezaan pendapat terutama dalam menentukan siapa mempunyai kuasa lebih besar sama ada pengerusi PN atau ketua majlis tersebut.

Katanya, polemik mungkin boleh dielakkan jika pengerusi PN dilantik dalam kalangan ketua parti komponen dan meneruskan pendekatan sedia ada seperti ketika Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memegang jawatan itu.

“Namun, apabila Presiden PAS Hadi Awang enggan mengambil jawatan itu (atas faktor kesihatan), keadaan tersebut mencetuskan polemik sehingga kelihatan seolah-olah mereka cuba mendapatkan kembali Muhyiddin (ketua majlis presiden).

“Dalam situasi sekiranya ada ketua majlis presiden dan pengerusi PN, mesti ada mekanisme jelas untuk menangani perbezaan pendapat serta menentukan siapa mempunyai kuasa lebih besar,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas persoalan sama ada penubuhan majlis presiden dicadangkan PAS Julai lalu dan kembali dibangkitkan dalam kemelut pelantikan PN akan menyebabkan gabungan itu mempunyai dua nakhoda.

Kelmarin, Malaysiakini memetik sumber melaporkan PN dijangka menubuhkan majlis presidennya sebagai jalan tengah untuk PAS dan Bersatu, sekali gus membuka ruang bagi Muhyiddin berperanan selepas meletak jawatan pengerusi berkuat kuasa 1 Jan lalu.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hasan, dipetik berkata partinya tiada masalah jika Muhyiddin dilantik menjadi pengerusi majlis itu.

Sementara itu, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata pertembungan kuasa dalam PN yang berisiko menerusi kewujudan dua entiti hanya akan melemahkan gabungan terbabit.

“Dua nakhoda dalam satu kapal hanya melahirkan kekeliruan, lebih-lebih lagi apabila PAS memiliki lebih banyak kerusi berbanding Bersatu,” katanya penganalisis dari Global Asia Consulting itu.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia pula berkata, usaha mengaktifkan majlis presiden mungkin menjadi langkah untuk merapatkan semula hubungan antara PAS dan Bersatu selain memperbaiki imej PN yang sebelum ini dilihat retak.

“Ini juga memastikan tiada usaha sabotaj dan perpecahan undi Melayu nanti. Mungkin mereka berpandangan perlu mengetepikan perselisihan buat masa sekarang demi meningkatkan peluang bersaing dalam PRU16 nanti,” katanya.

Majlis Tertinggi PN akan memilih pengerusi PN yang baharu pada mesyuaratnya, esok.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar antara nama disebut berpotensi menjadi pengerusi PN.

Tiada ulasan: