"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki warga China ditahan, acu pisau ke arah pekerja kedai serbaneka

Muhaamad Hafis Nawawi

AMPANG JAYA: Lelaki warga China ditahan polis selepas membuat kekacauan serta mengacukan pisau ke arah pekerja di kedai serbaneka di Taman Ampang Hilir, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kejadian berlaku 9 pagi ketika pekerja sedang menyusun barangan sebelum terdengar bunyi bising di kaunter bayaran.

“Rakan sekerjanya kemudian datang meminta bantuan selepas seorang lelaki yang tidak dikenali gagal membuat bayaran rokok menggunakan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

“Pekerja kemudian menghubungi pihak polis dan suspek diarahkan beredar dari kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, suspek kembali semula ke premis itu tidak lama kemudian dan bertindak agresif dengan menjatuhkan barangan di kaunter bayaran serta mengacukan sebilah pisau ke arah pekerja.

Menurutnya, polis dipanggil sekali lagi ke lokasi kejadian dan menahan suspek, 12.30 tengah hari pada hari yang sama.

Katanya, perintah reman selama empat hari ke atas suspek dibenarkan bermula kelmarin hingga esok bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Tiada ulasan: