"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


'Nyawa saya pertaruh asalkan anak pulang'

SITI NOOR SEPEE

Mohd Sharin menenangkan isterinya yang tidak dapat menahan kesedihan. - Foto Sinar Harian
PASIR GUDANG - "Saya sanggup taruhkan nyawa asalkan anak kami pulang dengan selamat," demikian luahan seorang operator pengeluaran, Mohd Sharin Mahmood, 50, yang tidak dapat menahan kesedihan mengenai kehilangan anak tunggalnya sejak Selasa lalu

Mohd Sharin dan isterinya, Suraya Ngadiran, 50, tampil mengadakan sidang media di Pejabat Umno Parlimen Pasir Gudang yang merayu anak tunggal mereka, Nur Atikah Mohd Sharin, 21, kembali ke pangkuan mereka selepas gagal dihubungi.

Kali terakhir dia bertemu Nur Atikah yang dipanggil kakak itu kira-kira jam 9.45 pagi pada hari kejadian iaitu ketika menghantar anaknya ke tempat kerja di sebuah pasaraya di Jalan Tembikai, Taman Kota Masai, di sini yang jaraknya kira-kira satu kilometer dari kediaman mereka.

"Saya sendiri menghantarnya ke tempat kerja pada hari berkenaan namun ketika itu pasaraya berkenaan masih belum dibuka namun ketika itu ada ramai orang di restoran bersebelahan. Kebetulan ketika itu saya agak mengantuk dan mengambil keputusan untuk terus pulang ke rumah.

"Sehinggalah jam 12.45 tengah hari, saya menerima panggilan daripada penyelia pasaraya yang memaklumkan Atikah tidak masuk kerja. Ketika itu memang saya sedang menunggu panggilan daripada anak saya untuk mengambilnya ketika waktu rehat untuk makan tengah hari di rumah.

"Saya sudah mula tidak sedap hati kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku selepas telefon bimbitnya juga gagal dihubungi sebelum meminta bantuan ahli keluarga dan jiran untuk mengesan di mana dia berada," katanya.

Mohd Sharin mengakui selama ini dia dan isteri tidak mempunyai masalah atau berlaku sebarang perselisihan faham dengan Nur Atikah malah dia mendidik anaknya dengan penuh kasih sayang.

Mohd Sharin berkata, Nur Atikah bukanlah seorang gadis yang bebas bergaul malah ke mana sahaja dia pergi akan ditemani ibunya. Dia juga mengakui pernah memeriksa telefon bimbit anaknya namun tiada apa yang mencurigakan.

"Kami menjaganya bagaikan minyak yang penuh..sebelum kejadian ini juga tidak berlaku perselisihan faham malah apa yang kami tahu dia juga tidak rapat dengan mana-mana lelaki.

"Saya mencuba pelbagai cara untuk menjejaki anak kami termasuk bertemu dengan beberapa pengamal perubatan Islam, mereka memaklumkan perkara yang sama bahawa Atikah masih berada di sekitar Taman Kota Masai,"katanya.

Katanya, Nur Atikah memakai t-shirt berwarna hijau dan seluar jeans biru selain memakai tudung berwarna oren keluar bekerja sehelai sepinggang dan hanya membawa wang sebanyak RM10.

Sementara itu, Suraya yang tidak menahan mengawal perasaan hanya memanggil nama anaknya itu agar kembali pulang ke pangkuan keluarga. Malah dia juga mengakui berlaku perubahan sikap anaknya sebelum tidak pulang ke rumah.

"Pulanglah kakak, ibu dan ayah rindu kan kakak," katanya yang tidak menahan kesedihan dan terpaksa ditenangkan suaminya.

Suraya memaklumkan selalunya dia dan Nur Atikah tidur bersama apabila suaminya bekerja pada waktu malam. Namun beberapa hari sebelum kejadian anaknya tidur berasingan selain tidak melambainya seperti selalu pada hati terakhir Nur Atikah keluar rumah.

Berhubung kehilangan anak gadisnya, Mohd Sharin telah membuat laporan di Balai Polis Taman Pasir Putih pada 27 Januari (Rabu) lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan, Jokhiri Abd Aziz mengesahkan kejadian terbabit.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad akan menghulurkan bantuan termasuk mengedarkan poster Nur Atikah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan Pegawai Parlimen Pasir Gudang, Syeb Dzulfakar Shukor ditalian 011-11111854 atau mana-mana balai polis berhampiran.
-Sinarharian

Tiada ulasan: