"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kecam MB Kedah : Telefon Zunar dirampas lagi ketika soal siasat

Predeep Nambiar

Zunar disiasat di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

ALOR SETAR: Kartunis Zunar hari ini mendedahkan telefon bimbitnya dirampas polis sekali lagi ketika siasatan ke atas karikatur menyerupai Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkaitan isu pembatalan cuti peristiwa untuk Thaipusam pada awal tahun ini.

Zunar, atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Alhaque, berkata ini kali kelima telefon bimbitnya dirampas polis dalam “siasatan secara tiba-tiba” sejak 2015 berhubung karyanya.

Bercakap kepada FMT selepas soal siasat selama dua jam, katanya, beliau menggunakan Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah untuk tidak menjawab soalan polis.

Di bawah peruntukan itu, seseorang boleh menolak menjawab soalan yang mempunyai kecenderungan untuk mendedahkannya kepada pertuduhan jenayah atau hukuman.

Zunar berkata, beliau disiasat selepas tiga laporan polis dibuat terhadapnya di Alor Setar, Pendang dan Padang Terap.

“Mereka mengambil telefon saya untuk menjalankan analisis forensik ke atas aktiviti saya di internet berhubung kartun yang saya lukis.”

Zunar disiasat di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapikan masyarakat untuk melakukan kesalahan terhadap kaum lain, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia atas penyalahgunaan tidak wajar perkhidmatan rangkaian.

Pada 25 Jan lalu, pembantu khas kanan Sanusi dan Ketua Pemuda PAS Kedah, Nurul Amin Hamid membuat laporan polis terhadap Zunar, mendakwa kartun itu memfitnah Sanusi berhubung keputusan membatalkan cuti peristiwa untuk Thaipusam tahun ini akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan. Beliau menyifatkannya tidak adil dan tidak perlu.

Karikatur itu menggambarkan Sanusi dengan sebilah pisau potong daging memotong di tengah-tengah sebuah meja bulat, mengejutkan rakyat pelbagai kaum di sekitarnya. Perkataan “Tiada cuti Thaipusam” tertera di permukaan pisau itu, dengan keterangan ringkas :”Orang Kedah hidup aman damai sebelum dia ni mai.”

Mengulas laporan polis yang dibuat pembantu menteri besar itu, Zunar berkata, Sanusi boleh menggunakan sistem kerajaan yang banyak untuk menolak karyanya.

“Beliau tidak mempunyai pemikiran intelektual untuk berdebat dengan saya atau membantah kartun saya dalam kenyataan rasmi. Anda ialah menteri besar, anda boleh mengeluarkan kenyataan, sebaliknya anda bersembunyi di belakang polis.”

Awal tahun ini, Sanusi mengumumkan pembatalan cuti peristiwa untuk Thaipusam tahun ini akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan untuk mengekang Covid-19.

Langkah itu mencetuskan kemarahan kumpulan hak asasi dan pemimpin politik India daripada kerajaan serta pembangkang, yang menuduh Sanusi jahil dan angkuh serta menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Tiada ulasan: