ARIF BASHARUDIN
Timbalan Menteri Agama merangkap Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaari didesak untuk letak jawatan dari ahli politik dan balik ke Bachok menjadi ustaz semula kerana mengabaikan rakyat di kawasan tempat yang dia wakili.
Mengulas lanjut tentang desakan ini, Ketua Pemuda AMANAH Kelantan Hazmi Hassan berkata, kenyataan Marzuk sebelum ini yang tidak mahu Parlimen dibuka atas alasan enggan berlaku kekacauan politik, adalah suatu pernyataan jenis makan gaji buta.
“Sedap mulut Ahli Parlimen Pengkalan Chepa ini berkata, tak perlu buka Parlimen kerana dibimbangi berlaku kekacauan politik, sedangkan situasi hari ini menyaksikan pelbagai masalah melanda negara yang memerlukan ia dibahaskan di dalam Parlimen.“Sudahlah Marzuk bukan orang tempatan, menumpang tuah menang di kawasan orang lain, kini tidak mahu pula bekerja untuk rakyat, beri alasan pejam celik suruh tunggu sehingga Darurat ditamatkan, ini jelas makan gaji buta,” kata beliau yang juga Ketua AMANAH Kawasan Pengkalan Chepa.
Menurut beliau, situasi dalam negara kini memerlukan proses semak dan imbang berlaku, banyak masalah sudah melanda negara.
“Dari pakej bantuan kepada rakyat yang masih tidak sampai, kecelaruan SOP yang akhirnya menyusahkan semua pihak, dan banyak lagi perkara yang perlu dibawa ke dalam Parlimen, malangnya semua itu tidak selesai selagi Parlimen tidak dibuka,” ujar beliau mengulas isu keperluan darurat ditamatkan dan Parlimen dibuka.
“Jadi kalau Marzuk dan ahli parlimen yang lain tidak buat kerja enggan sokong Parlimen dibuka supaya suara rakyat dapat dibawa, lebih baik mereka letak jawatan, balik ke kampung jadi ustaz mengajar di surau tak payah jadi ahli politik,” bidas beliau lagi.
Sebelum ini Marzuk dalam suatu kenyataan dalam media sosial menyatakan bahawa pihak pembangkang tidak perlu bersungguh untuk desak darurat ditamatkan dan parlimen dibuka, kerana katanya pejam celik-pejam celik Darurat akan tamat dan kalau dibuka awal hanya menimbulkan kekacauan politik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan