"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selepas lebih dua minggu laporan polis dibuat, siapa dera Bella?

FAZLI RADZI

Tanda pagar #JusticeForBella kini sohor di Twitter dengan lebih 31,000 ciapan.

Orang ramai dilihat bersimpati dengan nasib menimpa seorang anak penghidap sindrom down yang disyaki didera.

Remaja perempuan berusia 13 tahun itu dijadikan sebagai anak angkat oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di ibu negara.

Difahamkan, dia yang didapati positif Covid-19 dijaga dengan baik di Rumah Sinar Harapan Tengku Ampuan Najihah sejak berusia 7 tahun.

Namun, menurut Akhi Fairuz, tahun lepas Bella dibawa ke Mahkamah Kanak-kanak untuk disambung perintah penjagaan di rumah berkenaan.

“Ketika itulah beliau (Bella) bertemu dengan Siti Bainun, pengasas Rumah Bonda. Lalu, Siti Bainun minta hakim bagi peluang kepada beliau untuk jaga Bella. Permohonannya diluluskan,” ujarnya.

Kemunculan tanda pagar #JusticeForBella, jelasnya, susulan perkongsian menyayat hati oleh Mona Din di Facebook berkenaan keadaan Bella bermula 6 Julai lalu.

“Wajah yang penuh keceriaan akhirnya berubah menjadi kemurungan, trauma, keliru serta takut.

“Badannya penuh dengan kesan parut, tangan kanan dan kiri punyai luka serta kudis yang besar. Apa yang telah berlaku?

“Bella dipercayai telah didera! Siapa yang mendera beliau? Masih dalam siasatan pihak polis. Laporan polis telah dibuat pada 24 Jun yang lepas,” katanya.

Untuk rekod, keadaan Bella dengan kedua-dua belah tangannya dipenuhi bekas luka yang teruk dan kudis terbongkar apabila pemilik, petugas dan beberapa penghuni rumah kebajikan dihuni Bella telah dijangkiti wabak Covid-19.

Senarai nama penghuni di rumah kebajikan itu kemudiannya diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut tetapi nama Bella tidak dimasukkan ke dalam senarai.

Siasatan polis

Mengulas lanjut, Akhi Fairuz berkata difahamkan Siti Bainun telah ditahan oleh pihak polis pada 6 Julai lalu.

Walau bagaimanapun, segala hasil siasatan polis tidak diketahui selepas hampir tiga minggu laporan polis dibuat.

“Penasihat Rumah Bonda adalah Tuan Syed Azmi sendiri. Siti Bainun pula adalah pengasas rumah berkenaan.

“Maka, tidak pelik netizen berpusu-pusu menziarahi Facebook Syed Azmi bertanya pelbagai soalan yang berkaitan.

“Menurut Syed Azmi, Bella tidak tinggal di Rumah Bonda, tetapi tinggal di kondo Siti Bainun.

“Namun, siaran langsung Wanita Hari ini, 31 Julai lalu, jelas-jelas terlihat wajah Bella yang ketika itu berbaju oren berada di Rumah Bonda.

“Dan faktanya adalah sejak Julai 2020 hingga Oktober 2020, Bella menetap di Rumah Bonda, rumah yang menempatkan remaja hamil luar nikah yang kemudiannya disahkan Kementerian Pembangunan Wanita tidak berdaftar,” katanya.

Jelas Akhi Fairuz lagi, Bella kemudiannya berpindah ke kondominium Siti Bainun di Wangsa Maju sehingga remaja OKU itu ditemui dalam keadaan menyedihkan pada 23 Jun lalu.

“Siti Bainun juga menjaga enam lagi kanak-kanak yang lain, dengan dua orang sama seperti Bella, kanak-kanak OKU.

“Bayangkan, jaga anak angkat di rumah sendiri disamping menjaga para remaja di Rumah Bonda.

“Macam mana nak urus tu? Lagi pula beliau bujang. Macam mana boleh dapat kelulusan untuk jaga?” soalnya.

Kes menimpa Bella ini kemudiannya menarik perhatian orang ramai termasuk pempengaruh atau ‘influencer’, antaranya Cikgu Mohd Fadli Salleh yang menyerahkan kepercayaan kepada siasatan polis.

Rata-rata warganet menganggap terlalu banyak keraguan dalam kes penganiayaan terhadap remaja OKU itu.

“Kami menaruh sepenuh kepercayaan kepada pihak polis dalam isu ini!

“Saya ada juga terbaca komen, katanya Bella terkena air panas. Takkanlah terkena air panas sampai jadi macam tu sekali? Tak logik langsung,” tegas Akhi Fairuz lagi

Tiada ulasan: