"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gambaran dari petugas barisan hadapan apa yang kita hadapi sekarang dan 2 minggu mendatang

‘Kami tak berdaya selamatkan semua’, kata petugas barisan hadapan

FMT Reporters

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menjangkakan bilangan kes Covid-19 akan terus meningkat dalam tempoh dua minggu lagi.

PETALING JAYA: Walaupun letih dan tertekan akibat peningkatan jumlah pesakit kes Covid-19, petugas barisan hadapan tidak ada pilihan dan terpaksa berdepan lebih banyak ‘hukuman’ apabila Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menjangkakan bilangan jangkitan melonjak dalam tempoh dua minggu lagi.

Seorang doktor kanan kerajaan di Lembah Klang yang enggan mendedahkan identiti, berkata ramalan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Doktor itu memberitahu FMT bahawa perkara itu hanya membuatkan mereka lebih berasa tidak berdaya.

“Kami penat, letih dan kosong dari segi fizikal serta mental selepas berterusan memerangi beberapa gelombang pandemik ini. Pusingan kali ini lebih teruk apabila pesakit lebih muda dan mengalami simptom lebih teruk.

“Kami berasa tidak berdaya kerana tidak dapat menyelamatkan semua orang disebabkan peralatan dan katil yang terhad,” katanya.

Lebih memburukkan keadaan, doktor itu berkata Putrajaya seolah-olah ‘terputus hubungan’ dengan petugas barisan hadapan yang diuji ibarat ‘sehingga hujung tanduk.’

“Lawatan pemimpin kanan kerajaan ke hospital sandiwara saja. Gambaran dan cerita hasil lawatan mereka tidak menggambarkan langsung situasi sebenar di lapangan,” katanya.

Seorang doktor yang juga enggan dikenali, memberitahu FMT bahawa sistem kesihatan awam berada di ambang lumpuh apabila keperluan rawatan pesakit tergugat akibat kekurangan sumber dan kakitangan.

Ditanya sama ada sistem kesihatan awam masih mampu menghadapi peningkatan pesakit, doktor itu berkata situasi kini sekalipun sudah tidak begitu baik.

“Kita telah menjangkaui kapasiti kemasukan maksimum. Kini kita sekadar menggunakan apa saja sumber yang ada termasuk mengubah klinik kesihatan menjadi hospital,” katanya.

Terdahulu, Noor Hisham memberi amaran bahawa bilangan kes mungkin meningkat dalam tempoh dua minggu lagi selepas ia merekodkan jumlah tertinggi dengan lebih 11,000 kes hari ini.

Katanya, varian delta dikesan menjadi punca menyebabkan penularan berlaku dengan cepat dan ia sudah dikesan di setiap negeri.

Tiada ulasan: