"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Drama tipu paling hebat!

Agensi

STEPHANIE Hunter, 32, mengaku bersalah kerana menipu. FOTO Agensi.

STEPHANIE Hunter, 32, mengaku bersalah kerana menipu. FOTO Agensi.

London: Seorang wanita digelar penipu bersiri selepas memperdaya suami, rakan sekerja dan beberapa individu lain dengan mendakwa dia menghidap kanser paru-paru tahap akhir dan dijangka hidup 18 bulan sahaja.

Bagi meyakinkan mereka, Stephanie Hunter, 32, turut membotakkan kepalanya dan memakai selendang hingga rakan sekerjanya simpati dan mengumpul dana untuk menghadiahkan dia percutian terakhir ke Disneyland Paris bersama tiga anak berusia 13, sembilan dan lapan tahun.

Percutian VIP bernilai £7,000 (RM40,634.25) itu ditaja sepenuhnya dengan layanan mewah, sebelum penipuan Hunter akhir terbongkar apabila majikannya gagal mendapat pengesahan perubatan dan status terkini penyakitnya.

Dia akhirnya mengaku menipu ramai orang termasuk suami sendiri, Jamie Wilkinson apabila Perkhidmatan Sosial mula campur tangan berhubung urusan kebajikan anaknya selepas orang awam membuat aduan.

Kesnya dilapor kepada pihak berkuasa dan Hunter dari Freemantle Avenue, Hull dihadapkan ke Mahkamah Crown Hull, pada Khamis lalu dengan Hakim John Thackray menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan terhadapnya.

Ketika prosiding itu, Pendakwa raya David Godfrey memaklumkan mahkamah bahawa Hunter bekerja sebagai jurujual ResQ di George Street pada 2016, namun dilapor sakit dan mengemukakan surat cuti sakit selama 21 hari kerana kanser paru-paru dan memerlukan pembedahan.

Dia kemudian mendakwa rawatannya tidak berjaya dan perlu menjalani kemoterapi selama tiga bulan dan turut memberikan tarikh prosedur itu akan dijalankan menyebabkannya tidak boleh bekerja, tetapi masih dibayar gaji.

Mahkamah dimaklumkan pada Januari 2017, Hunter membotakkan kepalanya dan memakai selendang serta mampu bekerja selama seminggu sehingga September 2017.

Rakan sekerja yang prihatin kemudiannya mengumpul dana untuk Hunter bercuti buat kali terakhir bersama keluarga dan halaman kumpul dana secara dalam talian, Just Giving diwujudkan dengan keseluruhan dana diperoleh termasuk sumbangan ahli perniagaan adalah £10,446 (RM60,637.90).

Hakim John Thackray dalam penghakimannya berkata kepada Hunter bahawa dia seorang 'pemangsa dan memanipulasi' emosi dan kebaikan orang yang tersentuh dengan penderitaan yang didakwa dialaminya.

"Penipuan awak dan semua tindakan itu satu penghinaan. Kesalahan seperti ini akan menjejaskan keyakinan orang ramai dan menghalang mereka untuk menderma," katanya.

Hunter menangis sebaik dibawa keluar dari kandang tertuduh selepas hukuman dijatuhkan.

-Hmetro 

Tiada ulasan: