FMT Reporters
Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor (kiri) menasihatkan Muhammad Sanusi Md Nor berhati-hati membuat kenyataan dan perlu menjaga imej jawatan disandangnya sebagai pemimpin kerajaan negeri.
GEORGE TOWN: Kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, sesiapa yang ingin membeli nombor ekor “boleh ke Pulau Pinang” mengecewakan mufti negeri itu.
Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata kenyataan Sanusi yang menyamakan Pulau Pinang dengan perjudian adalah “penghinaan” kepada institusi Islam di negeri itu.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha memartabatkan kedudukan Islam di Pulau Pinang, dan lebih RM70 juta dibelanjakan untuk memperkasakan institusi Islam sejak 2008.
Salim turut mengingatkan Sanusi, Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam di Pulau Pinang, iaitu bagi negeri yang tiada raja atau sultan di Malaysia.
Katanya, segala urusan mengenai agama Islam terletak secara langsung bawah naungan Agong.
“Selaku seorang ‘abang’ (orang lebih tua), saya menasihatkan Sanusi berhati-hati dalam membuat kenyataan. Beliau perlu menjaga imej jawatan disandangnya sebagai seorang pemimpin sebuah kerajaan negeri yang dihormati, bukan sebagai pemimpin di peringkat kampung atau kawasan yang pengaruhnya agak terhad.
“Sanusi tidak sepatutnya menimbulkan kontroversi melibatkan pemimpin negeri lain melalui kenyataan seperti itu sebaliknya beliau perlu kekal menjalinkan hubungan mesra dengan semua pihak,” katanya.
Salim berkata, Sanusi sepatutnya mempamerkan kematangan berfikir dan
menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat dalam menghayati semangat Keluarga Malaysia sebagaimana dicetuskan Perdana Menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan