"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes kematian arwah Zara memang penuh misteri

Hanipa Maidin

Tulisan ini ditulis dengan terlebih dahulu dimasukkan pelbagai kaveat kerana saya sendiri tidak memiliki first hand information tentang apa yang berlaku. Kebanyakan maklumat yang diperolehi adalah daripada sumber kedua, khususnya dari media massa.

Atas andaian maklumat sumber kedua itu adalah benar, saya akan menggunakan maklumat tersebut bagi menafsir isu ini dari kaca mata perundangan berdasarkan pengalaman saya sebagai peguam, khususnya sebagai peguam jenayah.

Seperti biasa di era media sosial yang begitu banyak dan rancak, para netizen begitu bersemangat membincangkan isu ini menurut perspektif masing-masing, sejajar dengan tahap ilmu, maklumat dan pengalaman yang mereka ada. Oleh itu tidak pelik begitu banyak teori yang dikemukakan oleh mereka.

Saya hanya berminat mengupas isu ini dari sudut perundangan sahaja. Oleh kerana tulisan ini mungkin agak panjang maka insyaAllah tulisan ini akan melibatkan dua bahagian. Ini adalah bahagian pertama.

Isu kematian misteri Allahyarham adik Zara Qairina Mahathir pada 17 Julai lalu kini menjadi isu yang besar dalam negara. Ia kini telah bertukar status menjadi isu nasional dan turut dibahas juga di Parlimen.

Arwah adik Zara Qairina disahkan meninggal dunia selepas arwah dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar, Sabah.

Dalam kes yang melibatkan kematian mana-mana individu telah menjadi sebahagian daripada prosedur undang-undang di negara ini, kematian tersebut wajib dilaporkan kepada pihak polis.

Secara lazimnya, polis tidak akan secara mudah untuk bersetuju mengeluarkan permit atau sijil pengkebumian melainkan mereka berpuas hati terlebih dahulu bahawa kematian tersebut benar-benar bebas daripada sebarang elemen jenayah.

Justeru itu, jika polis merasakan mungkin ada elemen yang tidak kena (misalnya unsur jenayah mungkin timbul) logiknya dan secara munasabahnya pihak polis tidak akan begitu mudah mengeluarkan sijil pengkebumian.

Sejujurnya saya tidak pasti apakah keputusan awal pihak polis tentang isu pengeluaran sijil pengkebumian bila mereka menerima laporan polis tentang kematian arwah adik Zara Qairina.

Persoalan sijil pengkebumian

Persoalan yang timbul - adakah sijil tersebut dikeluarkan sebelum polis terlebih dahulu memastikan kematian arwah adik Zara Qairina benar-benar bebas dari sebarang unsur jenayah? Saya tidak tahu hal itu dan tidak berminat untuk berspekulasi.

Di media, dilaporkan kematian arwah adik Zara Qairina berlaku selepas arwah dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar, Sabah.

Katakan laporan media tersebut betul dan sahih, maka anggapan yang munasabah adalah sudah tentu keadaan mayat arwah khususnya di bahagian muka dan anggota tubuh badannya akan ada kesan, misalnya luka parah dan patah di bahagian tertentu. 

Tidak dapat dipastikan apakah kecederaan yang dialami oleh arwah adik Zara Qairina tanpa melihat laporan perubatan.

Apa pun, bertolak dari situ logiknya sudah tentu satu proses bedah siasat (post mortem) perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca atau sebab kematian tersebut. Bagi saya ini satu prosedur yang amat asas.

Media melaporkan tiada bedah siasat dilakukan terhadap jenazah arwah adik Zara Qairina dan perkara itu didedahkan sendiri oleh peguam keluarga, Hamid Ismail (secara kebetulan dia adalah kawan lama saya) dan Shahlan Jufri yang mewakili ibu mangsa, Noraidah Lamat.

Baca: Peguam tuntut inkues kematian Zara, jenazah digali untuk bedah siasat

Persoalan tiada bedah siasat

Bagi saya fakta tentang ketiadaan proses bedah siasat sebelum arwah dikebumikan tidak boleh dipertikaikan, apatah lagi setelah proses bedah siasat dilakukan baru-baru ini oleh empat pakar patologi susulan arahan Peguam Negara (secara kebetulan dia juga adalah rakan sekuliah) agar mayat arwah digali semula.

Ketiadaan proses bedah siasat sebelum jenazah arwah adik Zara Qairina dikebumikan memang amat pelik hatta menurut orang awam, apa lagi orang seperti saya sebagai mantan peguam yang ada pengalaman mengendalikan kes jenayah termasuk kes yang melibatkan kematian. 

Rakan saya yang juga mantan hakim dan timbalan pendakwa raya yang agak senior juga menyatakan kehairanannya tentang ketiadaan proses bedah siasat tersebut.

Dan maaf saya katakan, isu ketiadaan bedah siasat di peringkat awal tersebut bagi saya gagal dijelaskan oleh pihak polis secara tuntas, sehingga ianya menimbulkan spekulasi yang tidak perlu apa lagi spekulasi liar ibarat api yang marak menyala, khususnya di media sosial.

Bolehkah atau adilkah untuk kita menyalahkan para netizen jika mereka membuat pelbagai spekulasi, ketika mana mereka rasa amat jelas ada sesuatu yang tak kena, misalnya ketiadaan proses bedah siasat awal ke atas arwah sebelum proses pengkebumian?

Di media sosial, saya lihat ada juga tuduhan bahawa ketiadaan bedah siasat itu berpunca kerana kononnya ibu arwah adik Zara Qairina tidak menandatangani surat persetujuan untuk arwah dibedah siasat.

Sekali lagi, saya tidak boleh sahkan sama ada dakwaan ini berasas atau tidak. Jika dakwaan ini tidak benar, ia bukan sahaja fitnah kepada keluarga arwah tetapi juga berisiko melukakan hati keluarga arwah.

Katakan untuk tujuan penghujahan maklumat tersebut ada asasnya, saya ingin bertanya tidakkah pihak polis merasakan mereka perlu merujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi menyelesaikan isu tersebut?

Pada hemat saya jika pihak polis merasakan ada asas kuat untuk proses bedah siasat dilakukan, mereka sepatutnya tiada masalah untuk sama ada meyakinkan keluarga arwah untuk menurunkan tanda tangan persetujuan bedah siasat atau meyakinkan Jabatan Peguam Negara untuk mengambil tindakan undang- undang yang perlu, seperti mendapatkan perintah mahkamah agar bedah siasat boleh dilakukan.

Isunya adakah pihak polis ada melakukan hal tersebut?

MOHAMED HANIPA MAIDIN adalah bekas timbalan menteri undang-undang.

Tiada ulasan: