ARIF ATAN
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abdul Samad berpendapat serangkap pantun daripada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Parlimen baru-baru ini boleh juga ditujukan kepada Menteri Besar di empat negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN).
Bekas Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, pantun dengan dua baris berbunyi, “Jangan berlumpur tersungkur rebah, lebih baik letak jawatan” itu tidak semestinya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja.
“Pantun itu boleh ditujukan kepada semua. Tidak semestinya kepada PMX sahaja.
“Mungkin kepada MB Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perlis kerana semua negeri SG4 (State Government 4) ini tidak perform.
“Kalau semua tak boleh buat, semua bergantung kepada kerajaan Persekutuan, maka lebih baik kamu letak jawatan daripada akhirnya kamu ‘tersungkur rebah’,” sindir Khalid.
Beliau berkata demikian dalam bual bicara menerusi Jom Channel Siri 266 bertajuk, “Dulu Amanat, Sekarang Pantun?” malam tadi.
Abdul Hadi pada sidang Dewan Rakyat, 13 Ogos lalu dianggap banyak pihak sebagai memulakan provokasi apabila pantunnya yang menyindir Kuala Lumpur sebagai bermasalah di bawah DAP dan PH memicu perang mulut antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Pantun diucap bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal yang dahulu terkenal dengan Amanat Haji Hadi itu berbunyi, “Dari Kuala Lumpur pergi ke Sabah, Berpatah balik menuju Kelantan, Jangan berlumpur tersungkur rebah.”
Susulan pantun berbaur sindiran itu, berlaku pertikaman lidah antara kedua-dua blok yang akhirnya menyaksikan tularnya klip video memaparkan aksi berang Ahli Parlimen Pendang dari Pas, Datuk Awang Hashim mengajak Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, RSN Rayer bertumbuk.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, adalah lebih baik pemimpin PN meletak jawatan kerana gagal memakmurkan ekonomi negeri tidak seperti Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun.
“PMX tidak menghadapi keadaan ‘tersungkur rebah’ kerana di Parlimen sokongan terhadap beliau tetap mantap.
“Pihak pembangkang pun tidak berani untuk buat usul undi tidak percaya serta tiada isu untuk mendesak PMX meletak jawatan,” tegas Khalid lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan