Buletin TV3
Lelaki Myanmar dihadap ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya di sebuah rumah kongsi tapak pembinaan bulan lalu. – Foto Noorazura Abdul Rahman
SUNGAI PETANI: Lelaki warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya di sebuah rumah kongsi tapak pembinaan, bulan lalu.
Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan ke atas tertuduh, Aye Thun, 59, dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh lelaki dikenali sebagai Thambi@Mian Bia di rumah kongsi tapak pembinaan di Bandar Utama, di sini kira-kira jam 9 malam, 20 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun serta minimum 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hazwani Md Nor, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 5 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan