Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Seorang murid lelaki Tahun Dua di sebuah sekolah di daerah ini, patah tulang hidung dan retak tulang bawah mata selepas didakwa dipukul beberapa rakan sekolah dalam kejadian pada 30 Julai lalu.
Ibu mangsa, Rifka Amelia Bustomi Sofian, 37 tahun mendakwa, insiden menimpa anak keduanya itu disedari selepas kanak-kanak itu pulang ke rumah dalam keadaan hidung berdarah dan muka lebam sekitar jam 4 petang.
Dia kemudian membawa anaknya ke sebuah klinik swasta sebelum membuat pemeriksaan X-ray yang mengesahkan tulang hidung kanak-kanak itu patah.
Laporan polis telah dibuat ibu mangsa sebelum merujuk kes itu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu (HNSZ).
Sebelum ini Rifka Amelia mendakwa, anaknya pernah memberitahu sering dibuli tetapi dia tidak menyangka sehingga mengalami kecederaan serius.
Jelas, anaknya kini telah menjalani rawatan di hospital tersebut untuk menyambung tulang hidung yang patah dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
"Anak saya cakap dia dah rosakkan alas meja kemudian dia minta RM15 kat saya untuk buat bayaran ganti rugi".
"Pada waktu petang anak saya dilaporkan diserang dengan rakan sekelas, cikgu memberitahu tiga rakannya telah memukul anak saya", katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu.
Katanya siasatan awal mendapati kes ini dipercayai berpunca daripada ejek-mengejek.
Tambahnya lagi kes ini telah dirujuk kepada pihak pengurusan sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan