"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki maut, leher tertusuk sabit dibawa bapa

Amir Hamzah Nordin
am@hmetro.co.my

Temerloh: Seorang lelaki Orang Asli maut dalam keadaan tragis selepas lehernya tertusuk sabit yang dibawa bapanya dalam kemalangan motosikal di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Penderas, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa, Haniff Abu, 29, ditemukan tidak bernyawa oleh sepupu perempuannya yang kebetulan melalui kawasan ladang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, siasatan awal mendapati mangsa sedang menunggang motosikal Honda Wave bersama bapanya yang membonceng untuk ke kebun sawit mereka.

"Bapa mangsa yang berada di belakang memikul sebilah sabit bergalah panjang di bahunya.

"Siasatan mendapati motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan selepas terlanggar busut, menyebabkan kedua-dua mereka terjatuh," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mazlan berkata, akibat daripada kejatuhan itu, bilah sabit yang dibawa bapanya tertusuk pada leher mangsa.

Menurutnya, bapa mangsa turut mengalami kecederaan di bahagian pipi dan telinga kanan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi.

"Bapanya pula berada dalam keadaan trauma dan tidak dapat mengingati sepenuhnya kejadian itu, dipercayai akibat mengalami gegaran otak ringan," katanya.

Beliau berkata, ketika pasukan polis tiba, mayat mangsa sudah ditutup dengan kain oleh penduduk kampung.

Katanya, sabit yang menjadi punca kematian itu masih terikat pada galah pengait pelepah sawit dan bilahnya yang dibalut dengan kain guni didapati koyak.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh untuk proses bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Tiada ulasan: