Harapandaily
Dadah dipercayai ganja mampat dianggar seberat 35 kilogram (kg) dan sepucuk pistol jenis Glock dan 16 butir peluru dirampas selepas polis menyerbu sebuah banglo di Ketereh, Kota Bharu kira-kira jam 4.30 pagi, 5 Ogos lalu.
Bercakap dalam sidang media hari ini, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat memaklumkan isteri seorang doktor berusia 46 tahun ditahan bersama anaknya 23 tahun dan anak tiri berusia 34 tahun.
Turut dirampas dalam serbuan itu adalah empat kenderaan, termasuk BMW dan Mercedes Benz dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM420,000.
Mohd Yusoff berkata, wanita berkenaan adalah suri rumah, isteri kepada doktor berusia 60-an yang mempunyai klinik agak terkenal di Ketereh, manakala dua anak lelaki mereka bekerja di klinik itu.
“Dalam kes ini, suspek wanita tahu anak mereka terbabit dengan pengedaran dadah. Polis akan mengambil keterangan suaminya untuk siasatan lanjut.
“Hasil ujian air kencing mendapati dua suspek lelaki positif methampethamin dan ketamin, tetapi suspek wanita negatif,” katanya.
Beliau berkata, dadah yang dirampas itu boleh digunakan lebih 35,000 penagih dan ia untuk pasaran dalam serta luar Kelantan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek direman tujuh hari sehingga Selasa (12 Ogos),” tambahnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan