Agensi

Anggota Tentera Nasional Indonesia, Prada Lucky Chepril Saputra Namo yang maut selepas dipercayai dipukul seniornya. - FOTO Agensi
Jakarta: Seorang anggota tentera maut selepas dipercayai dipukul seniornya dalam satu kejadian yang menggemparkan di Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia.
Kejadian itu didedahkan oleh kakak mangsa, Lusi Namo, selepas adiknya, Prada Lucky Chepril Saputra Namo, meninggal dunia di Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Aeramo, Kabupaten Nagekeo, Rabu lalu.
Prada Lucky yang juga anggota Batalion TP 834/WM Nagekeo meninggal dunia selepas empat hari menerima rawatan intensif.
Menurut Lusi, adiknya dipercayai didera secara fizikal oleh kira-kira 20 orang senior.
Memetik laporan POS-KUPANG.com pada Sabtu, pendedahan itu turut disokong oleh satu mesej di Instagram daripada seorang individu yang mengaku sebagai kekasih salah seorang anggota tentera terbabit.
"Dia mendakwa teman lelakinya pernah mengirim gambar yang hanya boleh dilihat sekali, memaparkan wajah Lucky dan kawannya berlumuran darah," kata Lusi.
Ketika dibawa ke hospital, doktor mengesahkan buah pinggang dan paru-paru Prada Lucky sudah hancur sehingga memerlukan tiga beg darah ketika rawatan.
"Saya ada melihat kesan tapak kasut pada perut adik saya. Beberapa hari sebelum dia koma, adik saya ada membuat panggilan video dan keadaannya pada masa itu kelihatan agak baik.
"Dia ada bercerita pernah dipukul senior walaupun sedang sakit," kata Lusi.
Susulan insiden itu, wakil keluarga mangsa, Otniel, menuntut kepimpinan Tentera Nasional Indonesia (TNI) supaya menyiasat kematian Prada Lucky dengan telus.
"Pelaku tidak boleh dibiarkan. Mereka ibarat duri dalam daging. Kami sedia terima jika Prada Lucky gugur ketika sedang bertugas," tegasnya.
Difahamkan, upacara pengebumian Prada Lucky dilakukan pada Sabtu dan istiadat persemadian itu bermula di Rumah Dinas Asrama Tentera (Asten), Kuanino, Kota Kupang.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan