Pembangkang paling ‘hodoh, tak reti bahasa’ sepanjang penggal ini
SITI NUR ZAWANI
Seorang penulis dan pengamat politik menyifatkan tindakan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat semalam sebagai pembangkang paling “hodoh, sadis dan tidak reti bahasa”.
Ia susulan beberapa insiden panas yang menyaksikan Ahli-Ahli Parlimen bertikam lidah sehingga mencetuskan kemarahan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Mohd Sayuti Omar menerusi hantaran di Facebook berkata, bukan senang untuk mengurus sidang Dewan Rakyat apabila ada ahli bersikap liar, tidak tahu adat dan menghormati antara satu sama lain.
“Kesian saya tangok Johari Abdul bila berdepan dengan beberapa ekor wakil rakyat begini, sampai kena menjerit dan mengherdik macam halau lembau kerbau.
“Sikap baik dan diplomasi dan timbang rasa diamalkannya tidak membuah hasil yang baik. Sepanjang penggal Parlimen dalam perhatian saya, sesi inilah sikap pembangkang paling huduh, sadis dan tidak reti bahasa,” ulasnya di Facebook.
Semalam, sesi sidang Dewan berlangsung agak kecoh lebih kurang tujuh minit apabila beberapa Ahli Parlimen saling bertikam lidah sehingga mencetuskan kemarahan Johari Abdul yang menyifatkan ia sebagai memalukan.
“Apa benda ni? Wakil rakyat apa macam ni? Very shameful of you all, shameful (Sangat memalukan kamu semua, memalukan). Dah tua pun, bukan budak-budak nak bergaduh,” katanya.
Pergaduhan itu kemudian meleret-leret sehingga tular rakaman video dari dalam Parlimen menyaksikan Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim menunjuk isyarat bertumbuk kepada Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.
Rakaman itu menjadi perdebatan hangat dalam kalangan pengguna media sosial.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan