"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemuda Umno T’ganu pula guna Jalur Gemilang salah

Malaysiakini 

Pemuda Umno Terengganu menyiarkan satu grafik dengan imej Jalur Gemilang yang salah.

Kejadian itu berlaku ketika ketua sayap tersebut, Dr Akmal Saleh, sedang lantang mengecam seorang pemilik kedai perkakasan di Pulau Pinang kerana mengibarkan bendera negara secara terbalik.

Sementara itu, gambar lama Akmal memegang bendera Palestin secara terbalik bersama beberapa pemimpin Pemuda Umno lain dua tahun lalu turut kembali tular.

Dalam insiden pertama, Pemuda Umno Terengganu semalam memuat naik grafik bagi menyatakan kemarahan mereka terhadap kesilapan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik di Pulau Pinang, selain menuntut pembelaan terhadap kematian pelajar Sabah, Zara Qairina Mahathir – yang dikatakan menjadi mangsa buli.

Grafik itu memaparkan Jalur Gemilang dan gambar hitam putih Zara.

Bagaimanapun, Jalur Gemilang dalam grafik tersebut hanya mempunyai 12 jalur, bukannya 14 seperti yang sepatutnya.

Kesilapan itu disedari oleh pengguna media sosial yang peka, dan ramai antara mereka mempersoalkan sama ada Akmal akan juga ‘menyerang’ Pemuda Umno Terengganu.

Malaysiakini telah menghubungi Ketua Pemuda Umno Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera berhubung perkara itu.

Difahamkan satu kenyataan media akan dikeluarkan berhubung kesilapan tersebut.

Sementara itu, warga maya juga menonjolkan semula gambar bertarikh April 2023 yang memaparkan Akmal dan beberapa pemimpin Pemuda Umno bergambar dengan bendera Palestin yang dipegang secara terbalik.

Ia diambil semasa himpunan solidariti bersama rakyat Palestin di Kuala Lumpur.

Ketegangan memuncak selepas video berdurasi 20 saat muncul pada Sabtu lalu, menunjukkan seorang pemilik kedai perkakasan, Feng Jin Zhen, mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.

Feng kemudian menjelaskan bahawa dia sedang mengukur panjang tiang besi ketika menggantung bendera negara dan tidak menyedari bendera itu terbalik. Dia berkata, sebaik menyedarinya, dia segera membetulkan kesilapannya itu.

Namun, Akmal menolak permohonan maaf itu dan mengugut untuk mengadakan protes di hadapan kedai Feng pada Khamis ini jika pemilik perniagaan itu tidak didakwa esok berhubung kesilapan tersebut.

Ketua Pemuda Umno itu berkata, dia mahu mengajar Feng cara memasang bendera negara dengan betul.

Peguam Zaid Malek yang mewakili LFF dan DAP pula menyatakan akan mengambil pendirian menentang Akmal jika dia meneruskan rancangan protes itu.

Tiada ulasan: