"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes rogol bayi hingga dijangkiti sifilis, polis Indonesia nafi salah tangkap suspek

Agensi

Pontianak: Polis Daerah (Polda) Kalimantan Barat menafikan dakwaan tersalah menangkap suspek kes rogol bayi yang turut mengakibatkan jangkitan sifilis di Kota Pontianak, Kalimantan.

Detik melaporkan, lenahanan lelaki dikenali sebagai AR, 50, dilakukan mengikut prosedur hasil siasatan dan penyiasatan.

"Pada prinsipnya, penetapan bapa saudara tiri mangsa sebagai suspek adalah berdasarkan hasil penyiasatan serta bukti yang ada," kata Pengarah Siasatan Jenayah (Reskrimum) Polda Kalbar, Komisaris Besar Raswin Bachtiar Sirait, semalam.

AR yang juga abang tiri kepada bapa kandung mangsa ditahan di Rumah Tahanan (Rutan) Polda Kalbar bagi menghadapi pertuduhan.

"Hasil gelar kes pada 1 Ogos 2025 memutuskan AR sebagai suspek. Dia kini ditahan di Rutan Mapolda Kalbar," katanya.

Kes berkenaan bermula dengan laporan polis oleh seorang saksi berinisial S pada 18 September tahun lalu.

Hasil siasatan mendapati kejadian rogol berlaku antara 1 hingga 9 Jun tahun sama di rumah AR di Pontianak.

"Tersangka AR didakwa melakukan cabul dan persetubuhan terhadap mangsa, seorang kanak-kanak perempuan bawah umur yang kemudian disahkan menghidap gonorea atau sifilis," jelas Raswin.

Antara barang kes yang dirampas termasuk laporan perubatan (visum et repertum) mangsa, salinan kad keluarga, salinan sijil lahir dan pakaian mangsa.

AR yang bekerja sendiri didakwa mengikut Seksyen 82 Akta Perlindungan Kanak-kanak Indonesia atau Seksyen 6 Akta Jenayah Seksual Indonesia.

Isteri AR, dikenali sebagai SN, mempertikaikan penangkapan itu dan menegaskan suaminya tidak bersalah.

"Suami saya difitnah. Dia penyayang terhadap keluarga dan anak saudaranya (mangsa). Tidak mungkin dia lakukan perkara itu," katanya.

Keluarga turut mendakwa terdapat manipulasi bukti oleh pihak pelapor dan menggesa siasatan yang objektif.

SN juga merayu kepada Presiden Prabowo supaya kes ini disiasat secara adil termasuk penggunaan ujian pengesan pembohongan dan pemeriksaan psikologi.

Bapa mangsa, AO, yang juga adik tiri kepada AR, turut percaya AR tidak bersalah.

Menurutnya, anaknya sudah beberapa kali menyebut individu bernama C sebagai pelaku sebenar.

"Anak saya kenal rumah C kerana neneknya sering menumpang mencuci di sana. Dia pernah dibelikan ais krim oleh C dan dicium lelaki itu," katanya.

C dilaporkan sepupu kepada ibu mangsa, DK. Mangsa kini dijaga neneknya iaitu ibu kepada DK, manakala DK dan AO sudah berpisah.

Tiada ulasan: