"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Budak 7 tahun jatuh sungai dikejar lembu ditemukan lemas

Bernama

KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemukan lemas akibat terjatuh ke dalam sungai selepas dipercayai dikejar sekumpulan lembu liar di Kampung Kelaweh, Machang, petang tadi.

Komander Operasi Balai Bomba Machang, Muhamad Osman berkata pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada 4.22 petang.

“Mangsa seorang budak lelaki berusia tujuh tahun dipercayai lemas di sungai tersebut dan anggota pasukan telah membuat pencarian di sekitar kawasan yang dinyatakan.

“Mangsa dijumpai pada 5.07 petang, di lokasi yang dinyatakan dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata mangsa, yang juga anak kedua daripada empat beradik, difahamkan sedang bermain lastik bersama tiga rakan sebelum dikejar sekumpulan lembu liar dan terjatuh ke dalam sungai yang terletak kira-kira 500m daripada rumahnya.

Muhamad berkata tiga rakan kanak-kanak itu berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada semak di tebing sungai manakala mangsa hanyut ke dalam sungai.

Tiada ulasan: