Harapandaily
Tindakan melampaui batas Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang mencabar RSN Rayer (PH-Jelutong) untuk bertumbuk semasa sidang Dewan Rakyat semalam akhirnya akan ditentukan pada Isnin, 18 Ogos ini.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul akan memutuskan tindakan ke atas pemimpin Pas itu dengan telah mengarahkan bukti video dan audio dari Parlimen diserahkan kepada beliau untuk diteliti.
“Saya telah mengarahkan semua unit dalam Parlimen termasuk unit video, audio untuk memberikan saya bukti.
“Kalau ada bukti menunjukan bahawa perlakuan tersebut terjadi ataupun tindakan untuk menyerang jadi, saya akan mengambil tindakan tegas kali ini.
“Sebab anda boleh bercakap saya biarkan, saya tak mati (tutup) pun suara anda guna mikrofon. Anda orang politik, cakaplah.
“Tetapi apabila guna atau cuba menggunakan tindakan fizikal, saya rasa anda telah melampaui batas,” tegas Johari.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang memohon petua mengenai keselamatan ketika bersidang.
Semalam, serangkap pantun daripada Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) semasa mengakhiri ucapannya mengundang perbalahan berlarutan antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Pantun Hadi jadi punca
Pantun daripada Abdul Hadi yang juga Presiden Pas itu menyindir Kuala Lumpur sebagai bermasalah di bawah DAP dan PH:
Dari Kuala Lumpur pergi ke Sabah
Berpatah balik menuju Kelantan
Jangan berlumpur tersungkur rebah
Lebih baik letak jawatan.
Ekoran itu, Chong Zhemin (PH-Kampar) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(1), mendakwa isu yang dibawa Abdul Hadi tidak berkaitan dengan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Beberapa ahli parlimen pembangkang kemudian marah tidak berpuas hati, termasuk Che Zulkifly Jusoh (PN-Besut) yang berkata peraturan itu hanya terpakai pada rang undang-undang.
Seterusnya, RSN Rayer (PH-Jelutong) bangkit mengingatkan tentang Peraturan Mesyuarat 36(6) yang melarang ahli Dewan mengaitkan niat buruk kepada pihak lain.
“Saya hadir untuk mendengar amanat YB Marang sebagai seorang tok guru yang kita hormati daripada parti Pas. Kita menghormati beliau sebagai seorang pemimpin parti.
“Sebagai seorang pemimpin Pas yang kita hormati, kenapa perlu Marang mengeluarkan kenyataan bahawa Kuala Lumpur adalah tempat yang bermasalah kerana ada DAP, Barisan Nasional (BN) dan PH?” soal Rayer.
“Memang betullah!” kata Awang bangkit mencelah.
“Speaker, kalau saya katakan Pas adalah parti ajaran sesat, mereka boleh terima?” tempelak Rayer sekaligus menyebabkan beberapa ahli Parlimen Pas ‘menggelupur’ bangkit memekik marah.
Cubaan Suhaizan Kayat yang mempengerusikan dewan ketika itu untuk meredakan keadaan tidak berjaya apabila beberapa ahli Parlimen pembangkang bangkit tidak berpuas hati dengan Rayer termasuk menuduh DAP kurang ajar, biadab dan anti-Islam.
Johari kemudian mengambil alih kerusi Speaker dan meminta kedua-dua pihak bertenang sebelum Young Syefura Othman (PH-Bentong) memulakan ucapan.
Namun, Chong kembali membangkitkan isu kata-kata kesat di Dewan Rakyat, menyebabkan Johari menengking: “Diam! Kedua-dua pihak duduk!”
Beliau sekali lagi menegur Awang dan Rayer dengan mengingatkan mereka supaya tidak menimbulkan provokasi.
“Apa ni? Wakil rakyat jenis apa macam ni? Memalukan,” katanya dengan nada kesal.
Aksi Awang mencabar untuk bertumbuk dan berjalan ke arah RSN Rayer kemudian tular di media sosial dengan rata-rata mengecam perbuatan wakil rakyat Pas berkenaan yang bersifat samseng dan membuli.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan