"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

5 pegawai ATM ditahan adalah perisik tentera – PAT

Buletin TV3 

PUTRAJAYA: Lima pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam disahkan sebagai anggota Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO).

Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata tempat mereka telah digantikan serta-merta.

“Kita tiada kompromi dari segi operasi. Lima anggota itu hanya ditahan, kita boleh gantikan mereka dan pegawai pengganti akan teruskan tugas yang ditinggalkan. Tiada isu di lapangan.

Saya yakin Pengarah MDIO, Leftenan Jeneral Datuk Razali Alias, maklum perkara ini dan akan melaksanakan tindakan sewajarnya,” katanya pada Majlis Pemasyhuran Hall of Fame Yang Pertama Maktab Ketahanan Nasional (MKN), di sini, hari ini.

Turut hadir Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Tentera Laut, Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, yakin kebocoran maklumat keselamatan sulit itu dapat ditangani susulan penahanan lima pegawai kanan ATM, termasuk seorang berpangkat Leftenan Kolonel, di sekitar Lembah Klang menerusi Op Sohor.

Siasatan awal mendapati mereka dipercayai membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada sindiket penyeludupan di perairan Selat Melaka hingga Johor, bagi membawa masuk barangan larangan dari negara jiran seperti dadah dan rokok.

Mohd Nizam turut menegaskan, ATM akan memberi kerjasama penuh bagi memastikan ketelusan siasatan SPRM terhadap kelima-lima pegawai berkenaan.

Tiada ulasan: