"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hukum makan daging gajah dan kuda

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil
Soalan;
Apakah hukum makan daging gajah dan kuda?

Jawapan;

1. Daging gajah

Menurut jumhur ulama (mazhab Hanafi, Syafi’ie dan Hanbali); daging gajah haram dimakan kerana ia tergolong dalam binatang bertaring. Abu Tsa’labah al-Khusyani RA menceritakan; “Nabi SAW telah melarang kami dari memakan daging haiwan yang bertaring daripada binatang-binatang buas.” (Soheh al-Bukhari; 5530, 5780. Soheh Muslim; 1932).

Maksud bertaring ialah haiwan yang menggunakan gigi taringnya untuk menerkam dan membunuh mangsanya (an-Nihayah. Al-Majmu’). Di antara contoh yang disebut ulama bagi binatang-binatang jenis ini ialah; anjing, kucing, singa, harimau, serigala, gajah, kera dan seumpamanya (lihat; Nailul-Autar, as-Syaukani; 1/131. Al-Majmu’, an-Nawawi; 9/14. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; perkataan “At’imah”).

Menurut mazhab Maliki; haiwan yang haram dimakan hanyalah yang disebut keharamannya di dalam al-Quran (antaranya surah al-An’am, ayat 145), iaitu; “bangkai, darah dan daging babi”. Binatang yang tidak disebut dalam ayat ini tidaklah haram memakannya. Adapun binatang yang bertaring tadi; makruh memakannya kerana dilarang oleh hadis. Jadi, menurut mazhab Maliki; larangan Nabi SAW dalam hadis tadi adalah larangan makruh, bukan larangan haram (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah).

2. Daging kuda

Daging kuda halal memakannya kerana kehalalannya telah sabit daripada hadis Nabi SAW. Asma binti Abu Bakar RA menceritakan; “Kami pernah menyembelih seekor kuda pada zaman Nabi SAW dan memakannya” (Soheh al-Bukhari; 5510, 5519). Jabir bin Abdullah RA menceritakan; “Nabi SAW menegah kami dari memakan daging keldai pada hari Khaibar dan membenarkan kami memakan daging kuda” (Soheh al-Bukhari; 5520. Muslim; 1941).

Tiada ulasan: