"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengalaman lucu pertama kali ke KL

Jurle Sagayong
KOTA KINABALU: Bekas Menteri Kerja Raya Persekutuan, Tan Sri Ghani Gilong, menceritakan beberapa kejadian lucu ketika beliau mengetuai sebuah delegasi paling awal pemimpin masyarakat Sabah melawat ke Kuala Lumpur pada 1961, dua tahun sebelum pembentukan Malaysia.
Beliau yang ketika itu timbalan presiden UNKO atau Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu telah membawa sekumpulan pemimpin masyarakat Sabah melawat beberapa tempat yang sedang membangun di Malaya ketika itu.

“Ada beberapa kejadian melucukan dalam delegasi saya, maklumlah itulah kali pertama kami menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur,” katanya ketika menceritakan kisah lama penubuhan Malaysia dalam Forum Penubuhan Malaysia – Kisah Yang Belum Diceritakan anjuran Pertubuhan Sabah (Sabah Society) di sini Rabu lalu.

Menurut pemimpin Kadazandusun dari Ranau itu, apabila sampai di Kuala Lumpur, anggota delegasinya dilayan sangat baik oleh orang Tunku Abdul Rahman dan diletakkan di hotel di bandar berkenaan.

“Kami naik kenderaan yang dipandu. Bagi sesetengah anggota delegasi saya, itulah kali pertama mereka menikmati air paip (running water) dan tandas berpam (flushing toilets),” katanya menceritakan bagaimana rombongan itu begitu tertarik dengan pembangunan di Malaya ketika itu yang sudah mencapai kemerdekaan dari British kira-kira empat tahun sebelumnya pada 1957.

“Kami dibawa ke beberapa tempat dan kampung yang sudah mendapat pembangunan seperti jalanraya dan sebagainya. Saya sendiri apabila balik ke Sabah telah berkempen menyokong penubuhan Persekutuan Malaysia dengan memberitahu kawan-kawan mengenai pembangunan yang ada di Malaya ketika itu.

Katanya satu kejadian lucu ialah apabila ada anggota rombongannya tidur di lantai dalam bilik hotel mereka dan bukan di atas katil yang empuk.

“Apabila saya nampak, mereka memberitahu saya mereka ingatkan katil itu adalah untuk ‘tuan’, seolah-olah hanya orang kulit putih boleh tidur di atas katil dan anak tempatan tidur di atas lantai sahaja.

“Saya beritahu mereka katil itu mereka punya untuk tidur di atasnya,.” kata Ghani disambut ketawa hadirin.

Pada satu kejadian lain, menurut pemimpin veteran itu ada anggota delegasi UNKO berkenaan yang terlalu suka sos tomato sehingga mereka meminum (atau memakannya) berlebihan dan kemudian sakit perut dalam perjalanan.

“Apabila dalam bas, mereka yang minum banyak sos tomato itu mahu bas berhenti sebab ingin membuang air besar, katanya menceritakan beberapa kisah yang belum pernah diceritakan secara terbuka sehingga kini.

Menurut Ghani, apabila mereka balik ke Borneo Utara dari lawatan ke Kuala Lumpur, mereka telah berkongsi pemandangan dan pengalaman mereka mengenai pembangunan yang sedang rancak dijalankan di Malaya untuk meyakinkan rakyat Sabah kebaikan menyertai penubuhan Malaysia.

“Kempen kumpulan saya di merata tempat di Ranau dan di Sabah adalah ringkas iaitu ‘pembangunan dan Malaysia’. Ketika itu kita juga sedang ditekan oleh dua gergasi jiran Indonesia dan Filipina, dan kita memang mahukan kemerdekaan awal,’ katanya.

Ghani juga berkata 20 Perkara, iaitu syarat penyertaan Sabah dalam Persekutuan telah diserahkan bulat-bulat kepada Tun Fuad Stephens (ketika itu Donald) sebagai pemimpin perunding Borneo Utara dengan Malaya khususnya Tunku.

“Bagi saya, saya tidak kesal menyertai penubuhan Malaysia. Saya percaya komunikasi adalah kunci kepada penyelesaian isu-isu yang kita hadapi,” katanya sambil memberitahu bahawa apabila Suruhanjaya Cobbold datang meninjau pandangan rakyat di Ranau, kira-kira 400 hingga 500 rakyat tempatan telah datang memberi pendapat.

“Mereka ini datang berjalan kaki sahaja maklumlah ketika itu belum ada jalanraya,” katanya menjawab soalan moderator Dr Heng Aik Cheng dari Pertubuhan Sabah.

Lawatan delegasi pemimpin masyarakat Sabah ke Kuala Lumpur pada tahun 1961 itu kemudian disusuli dengan kejayaan penubuhan Persekutuan Malaysia dua tahun kemudianya pada 16 September, 1963.

Pemimpin lain yang membuat perkongsian pada forum itu ialah dua bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Peter Lo dan Tan Sri Harris Salleh, serta bekas pembantu Tun Fuad pada 1960-an, Tan Sri Majid Khan Kalakhan, yang kini Duta Tugas-Tugas Khas Malaysia ke Iraq.

Tiada ulasan: