"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

1.4 juta akan dibawa masuk: Jumlah yang memang terlalu ramai!

SELENA TAY
Sebuah akhbar harian bahasa Inggeris bertarikh 23hb Ogos 2013 melaporkan bahawa mulai tahun hadapan Kerajaan BN akan membawa masuk 1.3 juta pekerja dari Bangladesh sementara sebuah akhbar harian yang lain melaporkan bahawa 1.4 juta pekerja Bangladesh akan dibawa masuk (akhbar bertarikh 22hb Ogos 2013).

1.4 juta ataupun 1.3 juta pekerja dari Bangladesh, pokoknya adalah satu angka yang terlalu besar sebab pada masa kini jumlah pekerja asing sekurang-kurangnya ialah 10% dari jumlah penduduk negara Malaysia yang berjumlah 28 juta orang. Itupun belum mengambil-kira jumlah pekerja asing yang datang tanpa izin.
Adakah negara kita memerlukan begitu banyak sekali tenaga pekerja asing? Bagaimana pula dengan pemuda-pemudi kita yang tercicir dari bangku sekolah? Bukankah peluang pekerjaan boleh diberi kepada mereka supaya mereka pun ada mata pencarian dan boleh memperolehi pendapatan mereka sendiri?

Pekerja asing yang terlalu ramai membawa gejala sosial yang tidak sihat serta berbagai masalah seperti pergaduhan sesama geng-geng mereka. Bagaimana pula jika terdapat kegawatan ekonomi sedunia? Pekerja-pekerja asing ini kemudiannya perlu dihantar pulang ke negara mereka masing-masing kerana kalau tidak, ramai pula yang akan menganggur disini dan ini akan melibatkan kos yang tinggi untuk menghantar mereka pulang.

Adakah Kerajaan BN telah membuat kajian yang menyeluruh dan teliti sebelum membuat keputusan untuk mengimport pekerja Bangladesh dalam jumlah yang begitu ramai sekali? Kerajaan harus berfikir dengan lebih mendalam dahulu sebelum mengambil langkah tersebut. Jika tidak, buruk padahnya dan menyusahkan rakyat pula.

Tiada ulasan: