"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menentang Mat Said adalah fardhu kifayah - Tokoh veteran Umno

Zabidi Saidi  
KUALA LUMPUR: Tepat ramalan FMT pada 4 September lalu bahawa seorang tokoh politik veteran dijangka mencabar Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Kemaman.

FMT pada hari tersebut menulis tanpa menyebut nama tokoh tersebut, sumber itu berkata beliau akan membuat kejutan pada 19 Oktober nanti walaupun beliau tahu peluang untuk menang adalah sukar.

Hari ini tokoh berkenaan, Mat Dalam Awang (gambar) mengesahkan bahawa beliau akan mencabar Ahmad Said untuk menyelamatkan Umno Terengganu dari kecundang dalam pilihanraya umum ke 14 kelak.

“Walaupun ditakdirkan nanti saya tewas setidaknya saya telah melaksanakan fardhu kifayah untuk semua ahli Umno Terengganu,” kata beliau kepada FMT ketika ditemui di Restoran Nagas berhampiran PWTC pagi ini.

Beliau pernah mengejutkan ahli Umno Kemaman pada tahun 2008 apabila beliau memutuskan untuk menentang Timbalan Ketua Umno Bahagian, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang juga Menteri Belia dan Sukan ketika itu.

Namun demikian,beliau tidak jadi bertanding kerana tidak cukup pencalonan yang menyebabkan Ahmad Shabery menang tanpa bertanding.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Tetap Umno Bahagian berkata rakyat sudah hilang kepercayaan kepada Menteri Besar apabila 15 kerusi DUN BN tewas dalam pilihan raya umum lalu.

“Kalau kita tak berani berubah,ini bermakna BN Terengganu akan kecundang dalam pilihanraya umum 2018,” katanya.

Beliau berkata biarlah beliau mengorbankan diri untuk menyelamatkan Umno dari kehilangan kuasa memerintah negeri.

“Kehilangan 15 kerusi BN bermakna rakyat Terengganu telah memberi amaran keras kepada BN,” dakwanya lagi.

Sehubungan dengan itu, beliau yang pernah menjadi Pengerusi Belia 4B Daerah Kemaman menegaskan jika orang Umno masih berdiam diri, masih takut berkata benar, masih membiarkan amalan kroni dan rasuah terus berleluasa maka tidak mustahil Umno dan BN akan dihukum oleh rakyat Terengganu pada pilihanraya umum akan datang.

“Kalau dahulu Umno pernah mengidap penyakit di kaki maka kepala akan memikirkan bagaimana hendak mengubatinya, tapi hari ini Umno sudah mengidap sakit di kepala, anggota mana lagi yang boleh memikirkan untuk mengubatinya?” soal beliau

Tiada ulasan: