"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Yang baik tentang kematian Almarhum Haron Din

SUBKY LATIF
APA yang menarik tentang kematian Almarhum Datuk Dr. Harun Din, Mursyidul Am PAS yang ketiga itu? Almarhum bertemu ajal di California dan dikebumikan di bumi beliau menemui ajalnya. Jenazahnya tidak diterbangkan kembali ke tanah air sekalipun terkumpul banyak kemudahan untuk membawanya pulang.
Apa yang dikehendaki setiap ibu bapa yang beriman solat jenazahnya diimamkan oleh waris terdekatnya sendiri atau bapanya bagi yang masih berbapa atau suami bagi seorang isteri.

Solat jenazahnya di California diimamkan oleh anaknya sendiri dan solat ghaib yang terbesar dalam negara di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah Alam diimamkan oleh cucunya yang belum berusia 20 tahun. Di belakang cucu yang mengimaminya itu berbaris ulama terkemuka tanahair.

Moga-moga bahagia rohnya apabila cucunya menjadi imam kepada sekian ramai ulama. Tiadalah yang lebih bahagia bagi ibu bapa apabila mereka didoakan oleh anak-anak yang soleh di samping dirinya memiliki ilmu yang berguna.

Hari matinya pula dikira baik baginya, beberapa jam sebelum masuk waktu Jumaat di Malaysia dan beberapa jam sebelum masuk maghrib Jumaat di California. Mati hari Jumaat adalah baik dan Almarhum moga-moga dapat apa yang baik itu.

Ajal dan tanah kubur tidak siapa ketahui. Hak Allah menentukannya. Ramai yang bertemu ajal jauh dari kampung dan negara, jenazah diusahakan dibawa balik kecuali bertemu ajal di Mekah dan Madinah. Almarhum berwasiat kepada anak-anaknya. Kebumikan jenazahnya di mana dia menemui ajal.

Jika ajalnya di Kuala Lumpur, kerana rumahnya di Bangi, tidak perlu dibawa ke Perlis. Jika ajalnya di Kuantan tidak perlu dibawa balik ke Bangi. Kebumikan saja di Kuantan.

Muslihatnya ialah jenazah mesti disegarakan pengkebumiannya dan yang terbaik ialah di kubur yang terdekat dengan tempat kematian itu.

Wasiatnya telah diperkenan warisnya. Dr. Haron Din telah menunjukkan contoh yang baik. Justeru kuburnya jauh di California. Dipercayai balunya tidak menemui ajal di sana. Di mana saja balu itu menemui ajal, tidak perlu jenazahnya dihantar ke California untuk semadikan di sebelah kuburnya. Kebumikan saja di mana saja.

Roh suami isteri yang beriman tidak disatukan di kubur yang sebelah-menyebelah. Sejauh mana jua jarak kubur masing-masing nescaya Allah ketemukan di taman syurga. Kubur orang-orang soleh adalah ibarat taman di syurga sebelum ditempatkan di syurga yang sebenar. Apabila syurga dibuka kepada penghuninya dari situlah mereka dibawa ke syurga yang menunggunya.

Beliau menemui ajal kerana komplikasi jantung yang dialaminya lama. Kebanyakan pesakit menjalani rawatan sekali atau dua kali. Beliau diuji dengan berkali-kali. Lima enam kali. Orang lain tidak tahan, tetapi Allah melimpahkan rahmat buatnya, berjaya setiap kali rawatan di Amerika.

Ujian dan rawatan pun ada hadnya. Sekalipun setiap kali berjaya, tidaklah setiap kali mesti berjaya. Kalau setiap kali sakit berjaya dirawat, tak bertemu ajallah Anak Adam. Sedang tiada siapa menongkat langit.

Sampai saat terakhir beliau mendapatkan rawatan. Berikhtiar. Bukan takut mati tetapi mahu mewakafkan bagi usianya untuk kerja Islam.

Dalam politik beliau sederhana dan lincah. Disegani dan disukai lawan. Kerana lawan suka kadang-kadang kawan tak suka. Politiknya sepanjang masa ialah PAS. Sekalipun dalam 40 tahun beliau timbul dan tenggelam tetapi istiqamah dengan PAS. Beliau tidak sekadar dipilih jadi Mursyidul Am, tetapi Allah pilih matikan dalam PAS

Tiada ulasan: