"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ada apa pada AMANAH?

Tulisan sahabat saya, Mahdzir Ibrahim, yang disiarkan di dalam Malaysiakini adalah dirujuk.

Persoalan yang dibawa oleh Mahdzir bukanlah suatu yang baru dan mengejutkan. Memang saya mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan wacana ini.

Terima kasih kerana tulisan itu telah membuka jalan untuk saya memahami lebih lanjut tentang sistem politik tanah air.

Apakah Parti Amanah Negara (AMANAH) gagal memposisikan konsep Islam yang progresif, atau lebih tepat "Islam sebagai rahmatal lil alamin?

Berbanding dengan parti-parti lain dalam Pakatan Harapan (HARAPAN), apakah AMANAH dilihat agak ke belakang dalam menawarkan kepada rakyat dari segi kepimpinan, gagasan politik dan kekuatan massa?

Inilah antara hujah cuba diketengahkan daripada penulisan tersebut. Saya mungkin tidak dapat menjawab persoalan yang dikemukakan. Persoalan yang dibawa itu sebenarnya adalah simptom.

Artikel ini cuba merungkai mengapa persoalan-persoalan itu boleh timbul.

Tulisan Mahdzir menunjukkan bagaimana identiti majoriti (yang kuat) dan minoriti (yang lemah) dibina dalam masyarakat politik di Malaysia.

Meski DAP adalah anggota HARAPAN, tulisan tersebut mempamerkan perbezaan pandangan anggota gabungan melihat rakan lain dalam pakatan tersebut.

Leka daripada persoalan lain

Parti yang menganggotai HARAPAN mempunyai kekuatan tersendiri. DAP dan PKR telah sedia stabil dan mantap memiliki kuasa politik yang lebih. Sedangkan AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) masih mencari-cari tapak sendiri.

Di sinilah titik mula bagaimana identiti AMANAH cuba diperlihatkan oleh kedua-dua parti tersebut. Proses identiti ini juga dibentuk oleh BN, PAS dan rejim-rejim yang mempunyai kepentingan berbeza dengan AMANAH.

AMANAH sendiri tentu berusaha membina identitinya sendiri.

Pemikiran sebegini melihat sesuatu sebagai entiti luar dan secara lahiriah, tidak mendalam, apatah lagi lebih menyeluruh. AMANAH dilihat sebagai suatu yang asing atau ‘other’.

AMANAH dianggap suatu subjek, yang diperagakan untuk dinilai hingga menyebabkan ada yang leka daripada menanggap persoalan lain yang lebih mendasar.

AMANAH perlu dilihat dalam kerangka idea politik HARAPAN. AMANAH tidak boleh dilihat secara berasingan daripada HARAPAN.

Ini kerana kewujudan HARAPAN adalah suatu kesinambungan eksperimen politik yang panjang. Ini kaedah melihat secara nafsi-nafsi. HARAPAN adalah pelengkap dalam pakatan politik dan setiap anggota adalah saling lengkap melengkapi.

Memang secara teknikal, AMANAH dilahirkan dari perut PAS, atau serpihan PAS. AMANAH bukan bermula pada 16 September 2015. Secara entiti, AMANAH ialah sebuah parti politik.

Memang secara organisasi, parti komponen dalam HARAPAN saling terpisah. Itulah yang lazimnya difikirkan oleh kebanyakan orang. Namun secara falsafahnya, AMANAH adalah daripada idea politik yang dibina bersama parti-parti politik di Malaysia.

Dalam pandangan yang lebih luas lagi, AMANAH lahir bagi tujuan menyambung idea dan pendekatan politik dalam Pakatan Rakyat.

Kesemua parti di dalam HARAPAN berada dalam kerangka yang sama. Katalis yang menghubungkan parti-parti pembangkang ialah semangat dan idea AMANAH. Almarhum Datuk Fadzil Noor pernah membuat analogi tentang faktor Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa era reformasi.

Perlu komitmen besar

Beliau berkata, untuk mencapai buah yang ranum, PAS perlu menggunakan parti seumur jagung itu sebagai rakan pakatan politiknya.

Meskipun PKR muda dan kecil pada masa itu, ia memberi impak politik yang besar. Ternyata sifir politik beliau tepat. Yang kecil, lemah, baru, rupa-rupanya pelengkap untuk jambatan kemenangan besar untuk PAS sendiri.

Jangan disangkakan ikan lais-lais tiada menyengat.

Apapun, AMANAH jangan terlalu mengharapkan sejarah pengorbanan mereka akan dikenang dalam politik. Politik selalu berlaku kejam. Politik melangkau batas sejarah.

Satu sifat yang dominan dalam HARAPAN ialah, pembahagian 'pasaran pengundi' parti lebih berdasarkan kaum. Sebagai contoh, AMANAH dan BERSATU kononnya mengambil peranan di kawasan Melayu, DAP di kawasan bukan Melayu, manakala PKR di kawasan campuran.

Pendekatan ini sebenarnya jauh lebih diutama untuk diperbahaskan.

Persefahaman yang wujud dalam HARAPAN hari ini tidak menganjak ia lebih hampir sebagai sebuah kerajaan. HARAPAN tetap sebagai pembangkang. HARAPAN tiada pilihan selain perlu membuat liberalisasi kerusi tradisi mereka kepada struktur yang lebih seimbang.

Namun, ini sangat memerlukan komitmen besar terutama daripada DAP. Setakat ini, tiada parti politik sanggup meletakkan calon bukan Melayu di kawasan majoriti Melayu, atau sebaliknya.

Ini kerana sistem dan kerangka pemikiran politik masih terikat kepada perkauman.

Memang ada percubaan meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti bukan Melayu oleh DAP dan PKR. Ia memang percubaan yang baik. Usaha tersebut adalah untuk mengikis imej DAP sebagai parti yang cauvinis.

Dua kali lima saja

Namun ia tidak memadai sebagai satu liberalisasi politik yang terperangkap dalam sangkar perkauman.

Reformasi politik yang utama pada masa ini adalah melakukan liberalisasi di kawasan yang dikuasai oleh parti-parti masing.

Struktur sistem demokrasi kita adalah politik perkauman. Meskipun slogan atau retorik HARAPAN adalah antiperkauman hakikatnya ia masih berada dalam kerangka itu.

Masing-masing kekal mengeram telur dalam sangkar sendiri sambil berkokok politik antiperkauman dan kemudian mengharapkan wujud politik bebas perkauman. Masing-masing berkokok sekuat-kuatnya menghalang sesiapa saja yang cuba menghampiri sangkar mereka.

Ia ibarat ibu ayam mengeram telur di dalam sangkap. Tidak menguit seinci biar disergah orang!

Berhentilah mengharap tatkala kuasa berpindah tangan. Ia akan hanya ditinggalkan begitu sahaja.

Saya tidak nafikan masih terdapat beberapa suara rintihan AMANAH menjadi mangsa politik PAS. Anggaplah itu suara yang terpencil, dan hakikatnya ia semakin mengecil.

Sementara pendekatan politik hayunan caci maki, fitnah dan kata kesat yang dihamburkan kepada pihak lawan, malangnya itulah wajah politik kita.

Masyarakat kita sudah menerima itu sebagai norma dalam sosial. Pembudayaan politik kita masih ke belakang. Cuba amat-amati butir kata dan idea orang politik tanah air - sama ada pembangkang atau kerajaan.

Kebanyakannya dua kali lima saja.

Inilah cabaran besar untuk kita: melahirkan politik peradaban yang bukan slogan. Politik caci-maki bukanlah pula sesuatu yang baru. Kemodenan yang wujud seakan menghakis khazanah budaya kita bersosial.

Masyarakat kita dulu, berkias sebelum menyampaikan hasrat. Kemarahan dan kekesalannya diungkap dengan keindahan dan ketajaman bahasa.

Sayangnya, tradisi itu semakin lama semakin hilang. Yang tinggal hanya maksud yang sangat dikejar-kejar hingga terlupa adab berbicara. Kaedah penyampaian diremehkan.

Makin rumit, ruwet

Sedangkan budaya kita menghimpunkan secara bijak antara kaedah dan matlamat.

Politik caci-maki akan subur pada tanah yang gersang budaya sendiri. Kita sama-sama mencipta budaya yang menghancurkan kerukunan sosial.

Politik caci-maki diberi tempat yang suci dan tinggi bagi memartabatkan perjuangan masing-masing. Ahli politik dan masyarakat ditanam dengan kata-kata yang saling membenci sesama sendiri.

Saya kira sesiapa saja dalam HARAPAN mempunyai keinginan agar AMANAH kuat seperti PKR, DAP atau sama dengan BERSATU. Dengan itu mudahlah kerja-kerja 'membungkus' BN dan sekutunya dalam lipatan sejarah.

Sifir politiknya sememangnya begitu.

Saya kira persoalan ini kurang tepat jika HARAPAN ingin mencipta politik yang lebih kotemporari dan melakukan reformasi politik (tajdid siyasi).

Kita sebenarnya sedang mewarisi genetik politik ketuanan yang berkurun-kurun lamanya. Memang sekarang kita praktikkan demokrasi (dengan seadanya) tetapi secara sosiologi, kita masih feudalisme (feudal ketuanan, bukan feudal raja).

Harapan untuk melihat HARAPAN kuat adalah lebih utama daripada menjadikan AMANAH semata-mata kuat. Dalam real politic, sesebuah parti yang kuat akan lebih cenderung mendominasikan parti lemah.

Singkaplah sejarah persepakatan politik dalam Pakatan Rakyat sebelum ini. Semasa ‘Kajang Move’, usaha ini ditentang hebat oleh presiden PAS walaupun ada usaha mencari penyelesaiannya.

Singkapkan siapa yang menentang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Azmin Ali menjadi menteri besar Selangor.

Siapa yang cuba ‘kacau daun’ hingga isu semakin rumit dan ruwet.

Setelah Azmin menjadi Menteri Besar, sekarang siapakah yang begitu beria-ia mempertahankannya? Bagaimana pula Azmin melayan mereka yang dahulu beria-ia menyokongnya?

Tunggu guruh baru bersuara

Saya tidak salahkan Azmin atau sesiapapun. Saya hanya bawa contoh sebenar politik kita. Kalau lemah, kita dihenyak-henyak semahunya. Tanah yang lembut, akan dibajak selalu. Apabila kuat, diampu-ampu bagai nak rak!

Pada jangka panjang, persaingan politik sebenarnya adalah antara PKR, DAP, AMANAH dan BERSATU, bukannya dengan BN atau PAS.

Ini kerana dalam pemikiran HARAPAN, hayat BN dan PAS akan berakhir. Itu tanggapan secara umumnya. Politik persaingan, siapa yang lebih kuat akan lebih dominan mempengaruhi pendekatan politik semasa.

Pengunduran PAS daripada Pakatan Rakyat adalah kerana kegagalannya mengurus politik DAP dan PKR. Sekiranya PAS mampu mengurus politik, mereka sepatutnya kekal dalam Pakatan Rakyat.

Jika AMANAH cuba bersaing dan menjadi lebih kuat berbanding parti-parti lain dalam HARAPAN, landskap dan pola politik kembali kepada asal iaitu politik ketuanan, atau istilah yang digunakan oleh Bang Mat Sabu sebagai "politik naungan" (political patronage).

Dari segi kemantapan sesuatu rejim, politik ketuanan relevan dalam masyarakat pelbagai kaum seperti Malaysia. Karismatik pemimpin diperkukuhkan dengan faktor legitimasi, birokrasi dalam organisasi dam etos masyarakat.

Inilah sebenarnya inti kekuatan politik BN. Kepimpinan BN dapat mengawal dinamika kepimpinan akar umbi sehingga secara tradisinya kuasa itu bersifat memusat pada individu tertentu atau kelompok tertentu (oligarki).

Elemen tersebut masih wujud dalam HARAPAN meski dalam bentuk yang agak terhad. Masing-masing cuba menonjolkan kepimpinan dan retorik politik.

Jangan dilihat sewaktu air tenang. Tunggulah nanti apabila guruh di langit mula mahu bersuara.

Setakat ini, kepimpinan AMANAH bersifat kolektif sama ada dari segi birokrasi organisasi atau kepimpinan.

Saya secara peribadi berpendapat, pendekatan sebegini tidak memberi keuntungan politik jangka panjang buat AMANAH sendiri. AMANAH akan menjadi faktor tambahan dan peranannya kurang tertonjol.

Akan tetapi untuk masa depan negara, pendekatan ini akan lebih demokratik dan praktikal. AMANAH lebih pragmatik memilih kepimpinan atau gagasan politik yang dikemukakan dalam HARAPAN.

Pragmatisme AMANAH akan membantu membentuk suasana politik yang lebih dinamik. Namun idea politik yang melahirkan AMANAH itu lebih penting demi kebaikan pembangunaan politik tanah air.

Untuk apa ada parti kuat tetapi negara lemah kerana dikuasai pertubuhan yang korup?

Idea tahaluf siasi tidak dibangunkan oleh parti-parti politik sahaja. Kalau diimbas kembali, idea itu adalah kejayaan daripada masyarakat yang progresif.

Parti-parti politik mendapat faedah besar dari keputusan masyarakat melalui peti undi. Parti-parti politik 'dipaksa' mewujudkan kerjasama menjadi sebuah kerajaan yang diyakini rakyat.

Kualiti ini yang diperlukan dalam masyarakat. Kiranya parti-parti politik kembali pada pendekatan nafsi-nafsi, rakyat akan membuat keputusan sebaliknya. Masyarakat bosan dengan persaingan sesama parti.

Biarlah rakyat melihat HARAPAN itu sebagai wadah politik untuk semua. Jangan dilihat secara berasingan.

Atau, saya hanya berangan-angan?

DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah di Universiti Teknologi Petronas penulis buku serta esei.

Tiada ulasan: