"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Orang ramai disaran lapor tuduhan murtad kepada pihak berkuasa agama

MALAYSIA DATELINE

Orang ramai disaran memberi maklumat segera tindakan Mohd Najmi Zakaria, Ketua Penerangan Pas Kawasan Tanah Merah yang membuat tuduhan murtad kepada "PAN" dalam ceramahnya yang sedang diviralkan di media sosial.

Naib Penegerusi Amanah Kelantan, Ustaz Che Ibrahim Mohamed berkata Seksyen 9 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 memperuntukkan mana mana orang awam yang ada maklumat tentang perlakuan tersebut hendaklah memberi maklumat tersebut kepada Pegawai Penguatkuasa Agama dengan serta merta.

"Seksyen 54 dan 55 Enakmen yang sama memperuntukkan Pegawai Penguatkuasa Agama hendaklah menyiasat maklumat tersebut dan mengemukakan laporannya kepada Jabatan Pendakwa Syarie untuk kes pendakwaan," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di status facebooknya.

Sebagaimana tular di media sosial, Mohd Najmi yang dikatakan berceramah di Perkarangan Madrasah Pok Man Serbuk, Tanah Merah 14 Julai lalu menyebut kata-kata berikut:

"PAN ni hok paling sedih sekalinya, PAN ni ibarat kalu kita kata dalam Islam gak, dalam agama kita, Maaf lah kasar bunyi, ia sebagaimana, orang ingkar perintah Allah. Kalu bunyi lot agama gak, ore Murtad.

"Ore (mereka yang) Murtad nok oyak bui, Tuhan suruh bunuh, (sebab) menghancurkan Islam, suruh taubat tok sey taubat, suruh taubat tok sey taubat, mmasuk dalam gok (penjara) dulu, tok sey taubat jugok, akhirnya Bunuh."

Menurutnya Che Ibrahim jika Ketua Pendakwa Syarie mendapati maklumat tersebut ada bukti yang kukuh bahawa PAN adalah murtad dan wajib dibunuh seperti yang didakwa oleh Ketua Penerangan Pas Tanah Merah itu, maka orang PAN boleh didakwa di bawah Seksyen 119 Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994 kerana melakukan perbuatan yang bercanggah dengan hukum syarak, manakala pemimpin PAN pula boleh didakwa di bawah Seksyen 124 Enakmen yang sama kerana telah menyebabkan seorang keluar Islam.

"Sama ada PAN itu merujuk kepada seseorang atau kepada mana mana objek lain, terserahkan kepada Ketua Pendakwa Syarie dan Hakim Syarie yang memutuskan.

"Yang pasti PAN telah dituduh murtad dan boleh dibunuh.

"Jika siasatan mendapati kata kata tersebut benar benar dituturkan oleh Ketua Penerangan Pas Tanah Merah, tetapi tidak ada bukti PAN sebagai murtad atau seolah olah telah murtad, maka beliau boleh didakwa di bawah Seksyen 24, Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1985 kerana telah menuduh orang Islam yang lain sebagai kafir," katanya.

Kini menurut beliau terserahlah kepada mana mana orang awam yang ada maklumat berhubung perlakuan tersebut untuk membuat laporan di bawah Seksyen 9, Enakmen Acara Jenayah Syariah 2002 sama ada memberi maklumat bahawa PAN adalah murtad sebagaimana dakwaan Mohd Najmi, atau memberi maklumat bahawa Mohd Najmi telah melakukan perlakuan yang boleh disifatkan sebagai "Takfir"

Tiada ulasan: