"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hampir jadi paderi, mualaf nekad berdakwah hingga akhir hayat

TANJUNG MALIM, 12 Rabiulawal 1438H, Isnin – Tidak sesekali akan berhenti berdakwah menjadi pegangan seorang mualaf, Azmi Chai Abdullah, 56, yang dipilih sebagai penerima Anugerah Pendakwah sempena sambutan Maulidur Rasul 1438H peringkat Perak, hari ini.

Bapa kepada lima anak yang kini berkhidmat sebagai pendakwah di Pejabat Agama Daerah Ipoh itu, berkata beliau akan terus membantu meningkatkan syiar Islam hingga akhir hayat walaupun kesihatannya kurang memuaskan sekarang.

Anak jati kelahiran Ipoh itu merupakan seorang pendakwah yang giat menjalankan dakwah selama hampir 40 tahun dalam mendekati golongan mualaf di Perak.

“Saya memeluk Islam pada 1977 di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ketika berusia 17 tahun dan selang beberapa tahun kemudian saya aktif berdakwah sehingga kini.

“Alhamdulillah sepanjang 40 tahun saya telah mengislamkan lebih 200 orang di Ipoh dan saya juga mengadakan kelas pengajian agama Islam untuk saudara baharu setiap hujung minggu selain mengajar pengurusan jenazah, Tauhid, Fekah dan Akidah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menerima anugerah itu, di samping wang tunai RM3,000 dan sijil penghargaan daripada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Dewan Sri Tanjung di sini.

Azmi Chai yang merupakan Anggota Jawatankuasa (AJK) Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan AJK Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) berkata beliau sering menjadi rujukan oleh saudara baharu.

Berkongsi sedikit kisah hidupnya, Azmi Chai berkata pada usia 15 tahun, beliau hampir menjadi paderi selepas mengikuti kursus berkaitan mubaligh di negara jiran sebelum tergerak hati untuk mendekati Islam. 
-Bernama

Tiada ulasan: