Sepupu sahkan tengok gambar Altantuya dan 'TPM bernama Razak'
Zikri Kamarulzaman
Sepupu Altantuya Shaariibuu menegaskan mendiang pernah menunjukkan gambarnya bersama pakar pertahanan Razak Baginda dan timbalan perdana menteri yang menurutnya bernama “Razak”.
“Ketika kami berada di Mongolia, dia (Altantuya) tunjukkan gambarnya dalam lawatan ke Paris dengan Razak.
“Saya ingat saya nampak gambar tiga orang, Altantuya dan dua lelaki,” kata Burmaa Oyunchimeg kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
“Saya tanya siapa mereka, dia jawab yang seorang itu timbalan perdana menteri dan seorang lagi Razak yang sama-sama bekerja dan menjalankan perniagaan.
“Saya ada tanya dia jika mereka berdua adik beradik sebab sama nama. Katanya tidak tetapi mereka kawan baik, rakan niaga dan bekerja bersama-sama,” kata Burmaa.” kata Burmaa Oyunchimeg.
Burmaa berkata demikian ketika memberi ketegaran sebagai saksi dalam saman RM100 juta yang difailkan keluarga Altantuya susulan kematian mendiang.
Lawatan ke Paris yang dirujuk Altantuya itu mungkin berlaku pada 2004.
Ketika itu, Najib Razak menjadi timbalan perdana menteri.
Bagaimanapun, ketika ditunjukkan gambar, Najib, Razak dan seorang wanita, Burmaa berkata wanita itu bukan Altantuya.
Burmaa ditunjukkan sekeping gambar dalam mahkamah.
Dia bagaimanapun menafikan Altantuya berada dalam gambar itu. Gambar itu sebenarnya merujuk kepada gambar yang pernah diakui pemimpin PKR Tian Chua sebagai palsu.
Najib telah berulang kali menafikan mengenali Altantuya atau mempunyai kena mengena dalam kematiannya.
Najib pada 2008 malah bersumpah di masjid tidak mengenali Altantuya.
Perbicaraan kes sivil itu akan diteruskan esok dengan soal balas pihak pembelaan terhadap Burmaa.
Saman itu difailkan pada 2007 lagi, setahun selepas kematian Altantuya.
Dua anggota polis elit Azilah Hadri and Sirul Azhar Umar telah didapati bersalah dalam kes pembunuhan itu dan dihukum gantung sampai mati.
Razak, yang didakwa bersubahat dengan mereka, dibebaskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan