"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bagaimana PH hadapi strategi kerjasama BN-PAS

Zin Mahmud
Keputusan pilihan raya kecil DUN Semenyih adalah bersejarah kerana inilah pertama kali Barisan Nasional dapat mengambil kembali kawasannya yang terlepas pada pilihan raya umum ke-14.

Dari sudut Pakatan Harapan, ia adalah bersejarah negatif kerana inilah pertama kali ia kehilangan kawasan pilihan raya yang dimenanginya sejak PRU14.

Kalau di Cameron Highlands, BN hanya mempertahankan kawasannya. Begitu juga bagi PH yang mempertahankan kawasannya di Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Port Dickson.

Terdapat banyak faktor bagaimana BN menang, tetapi ada 3 faktor besar menjadi penyumbang kepada kemenangan itu.

Tiga faktor itu ialah kerjasama Umno dan PAS, sentimen perkauman-keagamaan dan kekecewaan terhadap prestasi kerajaan PH. Fokus perbincangan di sini ialah kerjasama Umno dan PAS.

Kerjasama Umno dan PAS merupakan strategi politik kedua parti itu sejak selepas PRU12 pada 2008 apabila BN kehilangan majoriti 2/3 dan 5 negeri.

Umum maklum terdapat percubaan menubuhkan kerajaan Umno-PAS sebaik sahaja BN kalah di Perak dan Selangor dalam PRU12.

Percubaan itu berlaku walaupun PAS memperoleh kerusi melalui kerjasama parti itu dengan PKR dan DAP. Ternyata percubaan itu gagal kerana di dalam PAS terdapat golongan yang menolak sebarang kerjasama dengan Umno.

Maka dari situ, kalau dilihat daripada liputan media bahasa Melayu milik Umno, parti itu berusaha menyingkirkan golongan itu daripada PAS. Tiadanya golongan itu dalam kepimpinan akan membolehkan usaha diwujudkan kerjasama antara Umno dan PAS.

Peluang itu terbuka selepas PRU13 apabila Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merupakan pemimpin PAS paling kuat menentang Umno meninggal dunia.

Beliau digantikan dengan Haron Din yang menyokong kerjasama ini. Ia dimulakan dengan pertelagahan PAS dan DAP, pembubaran Pakatan Rakyat dan akhirnya golongan yang menolak kerjasama dengan Umno itu disingkirkan. Tanpa golongan itu, PAS bebas bekerjasama dengan Umno.

Maka kerjasama Umno dan PAS itu membuahkan strategi memecahkan undi pembangkang dalam PRU14. Melihat betapa banyak kawasan yang ditandingi PAS dalam PRU itu dengan menyedari ia tidak akan memenanginya, maka jelas ia bertujuan untuk memecahkan undi pembangkang dan membawa kemenangan pada BN di peringkat nasional.

PAS pula menerima habuan di tepat sasarannya, iaitu Pantai Timur, dengan menyedari ia tidak akan menang di peringkat nasional.

Bayangkan bagaimana rakyat mengundi PAS tetapi pemimpinnya tahu ia sebenarnya akan menghasilkan kemenangan BN. Maknanya PAS menerima BN untuk terus berkuasa di peringkat persekutuan dengan memberi ruang tertentu pada PAS. Ini adalah kerjasama Umno-PAS dalam PRU14.

Tetapi strategi ini “backfire” pada BN walaupun ia menguntungkan PAS di Pantai Timur. Sementara di Kedah dan Perak, ia menjadi tergantung.

Akhirnya dengan sedikit lompatan, Perak dan Kedah berada di bawah PH. Maknanya banyak tempat BN kalah kerana adanya PAS turut bertanding.

Andai kata PAS tidak bertanding, undi orang Melayu yang menolak PH mungkin pergi ke BN. Maka BN boleh menang.

Perkara seumpama ini juga berlaku di kawasan DUN Semenyih pada PRU14. PAS turut bertanding dan memecah undi orang Melayu yang menentang PH.

Jadi selepas PRU14, BN mengubah strategi dengan cara “1 lawan 1” melalui kerjasama dengan PAS. Untuk ini, kerjasama Umno dan PAS tidak perlu dilakukan secara bersembunyi. Mereka dengan terang-terang menampilkan kerjasama itu supaya pengundi masing-masing sedar dan faham mengenai kerjasama itu.

Kejayaan strategi ini memerlukan kesatuan fahaman politik. Maka mereka menjadikan soal Melayu-Islam sebagai teras perjuangan. Serentak itu DAP sebagai parti bukan Melayu-Islam dijadikan musuh mereka. Umno bukan lagi musuh PAS. PAS pula bukan musuh Umno.

Strategi inilah yang dilakukan dalam semua PRK selepas PRU14 dari Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong, Port Dickson, Cameron Highlands hinggalah Semenyih. Bukan sahaja BN dan PAS mengetahui strategi ini, pihak PH juga menyedarinya.

Walaupun BN tidak menang di Sungai Kandis dan Seri Setia, undi yang diperoleh di peti-peti undi tertentu menunjukkan kerjasama Umno dan PAS berkesan.

Maknanya di tempat tertentu di mana terdapat undi untuk BN dan PAS adalah besar, dengan ditambah faktor lain, maka PH boleh kehilangan kerusi melalui PRK akan datang, dan juga PRU15.

BN dan PAS tidak berjaya dalam PRK 2018 kerana pilihan raya itu berlaku di kawasan kubu PH Selangor dengan jangka waktunya yang belum lama daripada PRU14. Ini bermakna faktor lain seperti ketajaman sentimen perkauman dan kekecewaan terhadap prestasi kerajaan PH belum timbul.

Malah selepas PRK Sungai Kandis, ada aktivis PH yang menilai kawasan di mana kerjasama Umno-PAS dengan srategi “1 lawan 1” boleh mengalahkan bukan sahaja calon PH tetapi juga menjatuhkan kerajaan negeri dan persekutuan.

Maknanya untuk menghadapi keadaan ini, PH kena raih lebih banyak undi untuk menenggelamkan perolehan kerjasama Umno-PAS.

Sebab itu, untuk meraih banyak sokongan bagi mengatasi kerjasama Umno-PAS, PH tidak boleh “sombong” dengan pihak yang berpotensi boleh menjadi penyokongnya. Maksudnya di sini, bukan sahaja PH wajar menarik juga sokongan daripada individu orang Umno dan PAS tetapi semua pihak yang menentang Umno-PAS.

Dari segi pilihan raya, bertandingan wajar “1 lawan 1” dengan semua pihak yang menentang BN-PAS perlu berada di pihak PH.

Sebagai contoh, di Semenyih, sepatutnya PSM dan calon bebas, “Uncle Kentang”, wajar semuanya bersama PH, dan bukan memecah undi pihak penentang BN-PAS.

Makluman umum adalah sokongan daripada pengundi bukan Melayu berada di pihak PH. Tetapi dalam PRK Semenyih, sebahagian daripada mereka, Cina dan India memberi undi pada PSM dan calon Bebas.

Walaupun PSM dan bebas memperoleh hanya sedikit undi, dalam keadaan persaingan sengit dengan majoriti tipis, PH tidak boleh mensia-siakan walaupun 1 undi.

Tetapi PH tetap perlu berusaha untuk menarik kembali pengundi yang menyokong mereka semasa PRU14 lalu. Banyak hati pengundi PH yang sudah terluka sejak 10 bulan lalu.

Daripada insiden kecil bersifat peribadi hinggalah sebesar-besar isu berkaitan Melayu dan Islam.

Prospek alternatif kepada PH ialah kerajaan BN-PAS. Jika BN dan PAS meneruskan budaya politik yang sampai kemuncaknya sebelum PRU14, maka bukan hanya harapan Malaysia Baharu musnah tetapi segala usaha untuk menuntut perubahan pada negara yang urus tadbirnya baik, tanpa rasuah dan keluhuran undang-undang menjadi sia-sia.

Tetapi asal usul kerjasama Umno dan PAS ialah gagasan ini sentiasa ada dalam pemikiran pemimpin kedua parti sejak penubuhan parti Islamis itu pada 1951.

Dalam pada itu, akan sentiasa ada golongan dalam kedua-dua parti itu, yang menolak kerjasama, apatah lagi gabungan.

Umumnya, pemikiran politiknya adalah begini: Umno dan PAS mempunyai fahaman politik yang bertentangan daripada sudut pandangan agama.

Oleh itu, ia tidak akan dapat bergabung. Namun begitu, ia boleh bekerjasama. PAS tidak akan dapat mengatasi Umno dalam politik negara.

Kalau ia mahu berkuasa di peringkat nasional, ia mesti bekerjasama dengan Umno, atau pecahannya.

Oleh itu, PAS tidak semestinya bekerjasama dengan Umno.

Ia boleh sahaja bekerjasama dengan parti pecahan Umno, iaitu PPBM dan PKR.

Tiada ulasan: