"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Macam Perang Dunia Ketiga! Pelancong bertempiaran lari di Dubai

KOSMO!
Pelancong melarikan diri apabila peluru berpandu Iran dipintas di ruang udara di Dubai. - X
DUBAI – Satu klip video tular menunjukkan pelancong asing di Dubai melarikan diri apabila peluru berpandu Iran meletup ketika dipintas di ruang udara, di tengah-tengah kebimbangan Asia Barat kini di ambang perang skala penuh, lapor MailOnline hari ini.

Klip video pendek berdurasi 11 saat menunjukkan detik misil Iran ditembak jatuh di ruang udara bandar raya Emiriah Arab Bersatu (UAE) tersebut.

Orang ramai bersantai di tepi kolam renang apabila dua kepulan awan (letupan) kelihatan membesar di langit biru di atas mereka.

Dalam video meraih lebih setengah juta tontonan itu, seorang wanita kedengaran berkata: “Ya Tuhanku sambil menghalakan kamera ke arah kolam renang dan kembali ke arah dua kepulan asap di langit

“Mereka (Iran) mengebomnya,” demikian menurut hantaran tersebut.

Kejadian ini itu berlaku susulan tindakan Iran melancarkan serangan balas di seluruh Asia Barat termasuk Abu Dhabi, Dubai, Riyadh, Manama, Amman, dan Israel, selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel menyasarkan pejabat Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei petang tadi.

Tehran juga telah menyerang pusat perkhidmatan Armada Kelima AS di Bahrain.

Dalam pada itu, seorang pelancong di Dubai, Will Bailey berkongsi pengalaman di akaun TikTok miliknya bahawa dia ‘terjaga oleh apa yang kelihatan seperti Perang Dunia Ketiga’ pada hari pertamanya di bandar raya tersebut.

“Peluru berpandu baru sahaja meletup di Abu Dhabi, iaitu kira-kira satu jam perjalanan dari Dubai,” kata warga Britain itu.

“Saya baru sahaja bercadang untuk pergi ke kelab tepi pantai dan menikmati petang Sabtu yang tenang,” tambahnya. – AFP

Media Israel dakwa pemimpin agung Iran , Ali Khamenei terbunuh

KOSMO!
GAMBAR fail menunjukkan Ayatollah Ali Khamenei. - AGENSI
TEHRAN – Susulan laporan oleh sesetengah media Israel bahawa pemimpin agung Iran, Ali Khamenei terbunuh dalam serangan awal semalam, menteri luar Iran berkata bahawa Ayatollah Ali masih hidup, lapor saluran berita NDTV tengah malam ini.

Saluran 12 milik Israel yang memetik sumber Israel melaporkan, terdapat semakin banyak petunjuk bahawa pemimpin berusia 88 tahun itu terbunuh.

Media Israel lain turut melaporkan maklumat tersebut, memetik Saluran 12 tetapi tiada pengesahan mengenainya.

Ditanya mengenai laporan tersebut, Menteri Luar Iran, Abbas Aragchi memberitahu saluran berita NBC bahawa Khamenei masih hidup, ‘setakat yang saya tahu’.

Serangan Israel dan Amerika Syarikat mengenai pejabat Khamenei dan pekarangan yang menempatkan kediaman pemimpin tertinggi tersebut. – AGENSI

Rafizi: Selepas Parlimen bubar, saya berhak ada rancangan sendiri

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli berkata, beliau berhak ada perancangan sendiri selepas Parlimen dibubarkan, menjawab surat tunjuk sebab dikeluarkan kepadanya berhubung hasratnya bertanding pada PRU akan datang bukan sebagai calon PKR.

Dalam suratnya kepada Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh bertarikh hari ini, Rafizi berkata, kenyataan yang dibuat ketika temu ramah bersama Sin Chew Daily, seperti yang dirujuk di dalam surat tunjuk sebab itu, ‘mempunyai maksud seperti yang boleh difahami oleh sesiapa yang mempunyai penguasaan bahasa Melayu yang baik’.

Ahli Parlimen Pandan itu sebelum ini diberikan masa hingga tengah malam ini untuk menjawab surat tersebut, yang mendakwa beliau menyatakan hasrat keluar parti.

Dalam temu ramah tersebut, beliau dipetik berkata, “Saya tak rasa saya akan bertanding sebagai calon PKR. Saya akan tetap bertanding di Pandan … (tetapi) bagaimana itu, biarlah rahsia.”

Dalam suratnya yang dimuat naik di Facebook, Rafizi berkata: “Kenyataan-kenyataan saya itu mempunyai maksud berikut … saya akan kekal sebagai anggota PKR dan berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pandan sehinggalah Parlimen dibubarkan bagi tujuan PRU.

“(Selain itu), saya berhak mempunyai perancangan sendiri selepas Parlimen dibubarkan dan tidak lagi terikat dengan peruntukan bersabit pertukaran parti oleh Ahli Parlimen di tengah-tengah penggal.”

Rafizi menambah, kenyataannya tidak memerlukan ‘tafsiran-tafsiran yang merumitkan’ seperti yang cuba diajukan di dalam surat tunjuk sebab tersebut.

Semalam, Fuziah berkata, PKR enggan mengambil tindakan terburu-buru terhadap Rafizi tanpa mendengar penjelasannya terlebih dahulu.

Katanya, parti itu akan mengadakan mesyuarat majlis pimpinan pusat esok.