"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno akan bergolak, jika Muhyiddin kembali

Nicholas Chung
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik meramalkan Muhyiddin Yassin akan menghadapi kesulitan dalam politik, jika beliau kembali ke pangkuan Umno yang memecatnya 4 tahun lalu.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia memberitahu FMT, akan berlaku pergolakan dalam Umno mengenai siapa yang patut menerajui parti itu.

Katanya, kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri akan tergugat.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan mengenai kesediaan parti itu menerima perdana menteri kembali ke pangkuannya.

Mohamad dalam wawancara dengan media baru-baru ini berkata, Umno boleh mengkaji semua keputusan disiplin memecatnya daripada parti itu pada 2016.

Muhyiddin kini ialah presiden PPBM.

Azmi berkata, Muhyiddin perlu menjadi presiden Umno untuk mempertahankan jawatan perdana menterinya dan ia sukar baginya jika Presiden ketika ini, Ahmad Zahid Hamidi atau Mohamad mencabarnya untuk jawatan tertinggi itu.

“Jika ada pertandingan, ia akan menjadi tugas yang sukar bagi Muhyiddin.”

Beliau berkata, satu-satunya cara untuk Muhyiddin menjadi presiden Umno ialah Zahid dan Mohamad memberi laluan kepadanya, tetapi beliau percaya penyokong 2 pemimpin itu tidak akan benarkan.

Seorang lagi penganalisis politik, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya, meramalkan Zahid akan memberi laluan kepada Muhyiddin atas dasar perpaduan orang Melayu.

Bagaimanapun, katanya, beliau hanya akan menerajui Umno buat seketika.

Beliau berkata, jika Perikatan Nasional atau Barisan Nasional memenangi pilihan raya umum akan datang, jawatan presiden Umno akan terbuka untuk rebutan semua.

Azman turut menyentuh kemungkinan PPBM membentuk pakatan dengan Umno atau memutuskan ia dibubarkan sendiri dan menggalakkan ahlinya menyertai Umno.

Tidak kira apa keadaannya, beliau berkata, penyatuan itu mungkin menjadi kuasa digeruni.

“Bagaimanapun, hakikatnya ialah Umno mahu menguasai penyatuan itu dan PPBM perlu mengakui Umno mempunyai lebih banyak struktur dan sokongan akar umbi lebih kuat.”

Jika PPBM dibubarkan, katanya, persoalan bagaimana Umno akan menyerap ahli Majlis Pimpinan Tertingginya dan memberi jawatan kepada mereka dalam parti itu akan menjadi satu masalah.

Tiada ulasan: