B Nanta Kumar
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim, berkata jika dia bertolak ansur dalam isu prinsip, perdana menteri selepas Muhyiddin Yassin bukanlah Ismail Sabri Yaakob.
Menafikan dakwaan yang dia "kemaruk" mahu menjadi perdana menteri, Anwar memberitahu ketika berlaku krisis politik ekoran jatuhnya Muhyiddin, dia sudah sangat hampir menjadi pemimpin nombor satu negara.
"Saya nak beritahu, sebelah kaki saya dah ada di Istana Negara untuk angkat sumpah pada keesokan hari.
"(Bagaimanapun) Malam itu Najib (Razak) meminta saya tandatangani perakuan untuk beri jaminan agar dia bebas daripada hukuman.
"Saya kata saya tak boleh (buat begitu) kerana ini soal prinsip. Kalau saya (lupakan prinsip) dan tandatangan, dah lama saya masuk istana angkat sumpah," katanya di majlis bersama lebih 100 pesara tentera dari kawasan parlimen Tambun hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Amanah Perak merangkap peyandang kerusi DUN Manjoi, Asmuni Awi.
Pada Ogos 2021, Muhyiddin terpaksa meletak jawatan selaku perdana menteri setelah kehilangan sokongan di Dewan Rakyat apabila 15 ahli parlimen Umno menarik balik sokongan terhadap kerajaannya.
Sebelum itu Anwar mengumumkan dia memiliki sokongan yang kukuh daripada ahli parlimen, termasuk di luar PH, untuk dilantik sebagai perdana menteri.
Menurut Anwar ketika itu, dia mempunyai 114 orang ahli parlimen pelbagai parti yang memberikan sokongan kepadanya.
Bagaimanapun ahli parlimen Umno terbabit mengalih semula sokongan mereka daripada Anwar selepas BN dan Perikatan Nasional (PN) bersetuju melantik Ismail Sabri menggantikan Muhyiddin.
Ismail Sabri ialah naib presiden Umno.
Menurut Anwar perubahan sokongan itu tidak akan berlaku jika dia tunduk kepada kehendak bekas perdana menteri, Najib, agar dia tidak dikenakan hukuman atas pertuduhan jenayahnya.
"Ada orang berkempen (kononnya) Anwar ini kemaruk nak jadi perdana menteri.
"Kalau saya tolak prinsip, sedia bertolak ansur (dengan Najib), dah lama saya menjadi perdana menteri.
"Kalau saya kemaruk nak jadi perdana menteri, saya tandatangani perjanjian dengan Najib. Dan (kalau itu berlaku) hari ini saya yang jadi perdana menteri, bukan Ismail Sabri," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan