Malaysiakini
PRU15 | Pengarah pilihan raya PKR, Rafizi Ramli membidas bekas ADUN Machap Jaya, Ginie Lim kerana berkeras mahu bertanding di kerusi Parlimen Alor Gajah pada pilihan raya umum (PRU) bulan depan.
Bercakap kepada pemberita selepas PKR mengumumkan barisan calon PRU15 semalam, Rafizi berkata Ginie mahu bertanding di Alor Gajah - yang tidak pernah menjadi kerusi milik PKR.
"Ginie mahu bertanding di Alor Gajah yang tidak pernah menjadi kerusi PKR.
“Saya fikir ia tidak produktif dan telah menyentuh disiplin parti. Itu satu hal jika kamu mahu kerusi PKR tetapi dia mahu kerusi bukan PKR dan membuat bising kerana dia fikir saya tidak memberikan kerusi untuknya. Itu agak mengarut,” katanya di Padang MPAJ, Taman Kosas, Ampang malam tadi.
Pada 2018, kerusi Parlimen Alor Gajah diserahkan kepada Bersatu yang pada masa itu merupakan salah sebuah parti komponen Pakatan Harapan (PH).
Kerusi itu dimenangi oleh penyandang ahli parlimen dari Bersatu, Mohd Redzuan Md Yusof.
Bagaimanapun, Bersatu keluar daripada PH pada Februari 2020 susulan Langkah Sheraton.
Alor Gajah merupakan kubu kuat BN di Melaka selama 44 tahun sehinggalah PH berjaya menembusinya pada PRU 2018.
Ketika ditanya sama ada Ginie akan dirujuk kepada lembaga disiplin parti, Rafizi berkata parti itu akan menguruskan hal itu secara dalaman dan sebaliknya akan memberi tumpuan kepada PRU.
Ginie sejak beberapa tahun kebelakangan ini menimbulkan kemarahan pimpinan pusat PKR.
Ini susulan tindakannya dan Muhammad Jailani Khamis (Rembia) pada 2019 menyebabkan pencalonan Ketua PKR Melaka Halim Bachik sebagai senator di Dewan Negara gagal.
Untuk rekod, setiap negeri boleh mencalonkan dua senator ke Dewan Negara, yang mesti mereka undi di DUN masing-masing.
Sebelum pengundian berlangsung di DUN Melaka, Ginie dan Jailani meninggalkan Dewan, menyebabkan PH gagal mendapat majoriti untuk meluluskan pencalonan tersebut.
Presiden PKR Anwar Ibrahim menyifatkan langkah itu sebagai "tidak boleh diterima" dan memanggil mereka untuk berbincang.
Jailani kemudiannya membantu menjatuhkan kerajaan PH untuk membentuk kerajaan baru yang dipimpin Umno-Bersatu.
Dia kemudiannya menang kerusi DUN Rembia di bawah tiket Umno, setelah memenangi kerusi itu di bawah tiket PKR sebelum ini.
Bagaimanapun, Ginie kekal dengan PH namun sejak itu dia telah dipinggirkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan