Malaysiakini
Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan kenapa tiada tindakan yang diambil terhadap bekas peguam negara Apandi Ali berhubung dakwaan bersubahat dalam skandal 1MDB.
Dalam klip video yang dikongsi di media sosialnya, Mahathir berkata dia hairan tiada tindakan diambil sehingga hari ini.
"Saya berasa amat pelik, kenapa sehingga kini tidak ada sebarang siasatan atau tindakan diambil terhadap Apandi Ali.
"Apandi telah melakukan kesalahan semasa dia menjadi peguam negara sebelum Tommy Thomas. Kesalahanya melepaskan Najib dari sebarang tindakan undang-undang jelas menunjukkan Apandi terbabit di dalam menutup skandal 1MDB, sedangkan Najib kini di penjara," katanya.
Pada 2015, Apandi mengambil alih sebagai peguam negara daripada Abdul Gani Patail selama tiga tahun. Apandi kemudiannya digantikan oleh Thomas pada 2018.
Mahathir memetik penghakiman bertulis hakim Mahkamah Tinggi Azimah Omar pada 23 Mei 2022 yang menolak saman fitnah bekas peguam negara itu terhadap veteran DAP Lim Kit Siang.
"Hakim Azimah telah membuat kesimpulan bahawa Apandi, antara lain adalah seorang yang tidak bercakap benar. Gagal melaksanakan tugas sebagai peguam negara, ada asas untuk disiasat kerana disyaki bersubahat dan melindung jenayah 1MDB.
"Hakim Azimah (dalam penghakimannya) turut menyatakan rasa meluat makhamah terhadap betapa kejinya kenyataan Apandi yang bercanggah, mengelak dan melakukan penipuan yang jelas," kata Mahathir.
Mahathir juga mendakwa bahawa banyak laporan polis dibuat berikutan penghakiman itu - tanpa sebarang tindakan diambil ke atas perkara itu, sehingga kini.
"Berikutan kenyataan (penghakiman oleh) hakim Azimah, banyak laporan polis dibuat terhadap Apandi tetapi hingga kini, tidak ada sebarang tindakan diambil sebaliknya kerajaan beri pampasan jutaan ringgit pada Apandi kerana kerajaan terdahulu telah tamatkan perkhidmatannya atas kegagalan menjalankan tugasnya," kata Mahathir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan