"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi: PKR mungkin ‘atur langkah PRK Pandan'

Yiswaree Palansamy & Qistina Nadia Dzulqarnain

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendakwa PKR mungkin sedang mengatur langkah untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK) di kawasannya, dengan matlamat akhir menyingkirkannya sebagai wakil rakyat.

Ini meskipun tempoh akhir untuk mengadakan PRK telah pun berlalu pada Disember tahun lalu.

Bekas menteri ekonomi itu menegaskan jika PRK sedemikian diadakan, bekas menteri pelaburan, perdagangan dan industri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkemungkinan diletakkan sebagai calon PKR untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Menghuraikan teorinya, Rafizi menyokong dakwaan itu dengan merujuk kepada kenyataan terkini pemimpin parti yang menggesanya keluar daripada PKR, selain tindakan presiden parti merangkap perdana menteri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat di Pandan semalam.

Menegaskan dia tidak pernah melihat Anwar mengunjungi Pandan “sepanjang hidupnya”, Rafizi berkata jangkaannya mengenai kemungkinan PRK diperkukuh lagi oleh surat tunjuk sebab yang diterimanya sebelum ini, yang menuduhnya telah menyatakan hasrat untuk meletak jawatan daripada parti.

Kata Rafizi, dia tidak dimaklumkan mengenai kehadiran Anwar di kawasannya dan hanya mengetahui perkara itu daripada orang lain yang melihat perdana menteri berkenaan.

"Ini ialah peninggalan dan juga budaya dari Umno yang dibawa masuk ke dalam PKR - menyusun untuk bagi gambaran begini," katanya melalui podcast “Yang Berhenti Menteri” malam tadi.

"Sebab antara satu perkara yang orang keliling Datuk Seri Anwar ni paling bangga sekalilah ialah bagaimana mereka menyusun sehingga akhirnya Datuk Seri Anwar boleh jadi timbalan presiden dan Tun Ghafar Baba tarik diri susun susun susun tekanan tinggi begitu.

"Jadi bila tengok susun susun susun ni maksudnya they already have the end in mind lah...

"Jadi bacaan sayalah semua ini bergerak ke arah kemungkinan ke arah untuk mengisytiharkan saya bagi pihak saya mengisytiharkan saya keluar parti...

"Dan dengan kehadiran Datuk Seri Anwar tadi maksudnya, isyaratnya ialah bahawa pandan perlu diperkukuhkan untuk PKR kerana besar kemungkinan akan ada pilihan raya kecillah," katanya.

Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh ketika dihubungi menasihatkan Rafizi supaya berhenti berpolitik dan memberi tumpuan kepada cabaran negara.

"Negara sedang berdepan kesan perang di Iran. Fokus utama kerajaan adalah mengurus dan mengawal impak yang sedang dan akan dihadapi negara.

“Bagi mereka yang masih cenderung berpolitik, fikirlah seperti seorang negarawan dahulu," katanya melalui jawapan ringkas.

Malaysiakini turut menghubungi pengarah pilihan raya PKR Saifuddin Nasution Ismail dan masih menunggu maklum balas.

Tempoh PRK habis tapi

Di bawah Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, PRK perlu diadakan jika berlaku kekosongan kerusi Parlimen. Namun, ia tidak diperlukan jika kekosongan berlaku dalam tempoh dua tahun sebelum pembubaran Parlimen seterusnya.

Tempoh pengecualian dua tahun itu jatuh pada 19 Disember tahun lalu, memandangkan sidang pertama parlimen berlangsung pada 19 Disember 2022, dengan penggal semasa berakhir pada 18 Disember 2027.

Namun, walaupun tempoh kurang dua tahun sebelum pilihan raya umum, pilihan raya masih perlu diadakan dalam tempoh 60 hari jika Speaker Dewan Rakyat memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa kekosongan kerusi menjejaskan kekuatan angka parti atau gabungan pemerintah.

Walaupun mengakui PRK di Pandan sepatutnya tidak berlaku dalam masa terdekat, Rafizi secara sinis berkata perkara itu tidak mustahil dalam “era Madani”.

“Kita tak boleh nak terkejutlah kalau dia nak buat samalah macam sepatutnya tidak ada pilihan raya kecil kan.

"Tapi yalah zaman Madani semua kita dalam tempoh dari 2018 sampai sekarang kita dah tengok macam-macam. Ya Tak ada benda lagi yang mengejutkan di Malaysia inilah.

"Jadi saya tak terkejutlah kalau semua ini ke arah memastikan bahawa er ada pilihan raya kecil walaupun sepatutnya tak ada dengan niat dan harapan bahawa let's finish this guy once and for all lah,” katanya.

Rafizi turut menegaskan kemungkinan PRK itu tidak semestinya memihak kepada PKR — terutama jika dia menang.

Dia juga berikrar akan mempertahankan kerusi Pandan sebaik mungkin, dengan keyakinan rakyat akhirnya akan melihat “apa yang sedang berlaku”.

“Yalah saya kenal Datuk Seri Anwar pemikiran dia orang-orang keliling dia - matlamat mereka ialah mengalahkan, supaya saya hilang deposit dalam pilihan raya kecil akan datang, untuk pandangan ‘dia ni tanpa parti tanpa PKR ni tak ke mana’.

"Jadi kalau ada pilihan raya kecil saya hilang saya akan bertanding macam mana pun, kau tengok a pemilihan PKR, walaupun dah tahu disusun semua blockchain tak blockchain semua ni kan aku lawan kalah tak kalah belakang kira kan.

"Sebab kalau kita benar dan kita rasa bahawa kita ada maruah dan kita yakin bahawa rakyat akhirnya boleh nampak apa yang berlaku kan.

"Yalah ambil contohlah apa nama ni pemilihan PKR kan...hari itu mungkinlah nampak saya kalah tapi perancangan itu untuk mematikan kerjaya untuk menghentikan saya bersuara satu tahun tak selesai lagi ni makin bisinglahkan.

"Saya akan bertanding kalau saya kalah hilang deposit ke tak apalah aku pergilah cuti dekat tepi pantai jap. Lepas tu aku bercakap baliklah podcast ni siapa nak jaga podcast ni kan," katanya.

Rafizi memberi amaran bahawa jika dia menang, ia boleh menjadi “isyarat berbahaya” kepada Anwar, PKR dan Pakatan Harapan, memandangkan sentimen yang mungkin timbul daripada kekalahan tersebut.

“Jadi gayanya ialah lebih baik kira saya ditafsirkan mengisytihar kerusi supaya mengikut undang-undang anti lompat parti, saya telah mengosongkan kerusi…dan mungkin Tengku Zafrul akan bertanding di Pandan lah sebab dia memang ligat di Pandan sekarang,” katanya.

Zafrul, bekas pemimpin Umno yang menyertai PKR pada Jun tahun lalu, kemudian dilantik sebagai ahli biro politik parti secara ex-officio.

Bulan lalu, dia dilantik sebagai penasihat politik kanan Anwar, jawatan yang kosong sejak setiausaha politik ketika itu, Shamsul Iskandar Akin, meletak jawatan pada 25 November tahun lalu.

Situasi ‘unik’ dalam PKR

Mengimbas situasi semasa yang disifatkannya mirip ketika persaingannya dengan Nurul Izzah Anwar bagi jawatan timbalan presiden PKR, Rafizi berkata secara sinis jika teorinya benar, keadaan itu hanya berlaku dalam PKR.

“Hanya berlaku dalam PKR tak pernah berlaku dalam parti-parti lain yang parti itu membuat keputusan mentafsirkan sendiri apa yang ada dalam hati aku semua ni semata-mata kerana tak mahu pecat aku supaya tidak hilang kerusi,” katanya.

Pada Februari lalu, Rafizi mendakwa PKR cuba menekannya supaya keluar parti agar dia boleh disingkirkan sebagai ahli parlimen.

Ini susulan surat tunjuk sebab yang menuduhnya seolah-olah mengisytiharkan keluar parti selepas dia mengumumkan hasrat bertanding dalam pilihan raya umum akan datang tanpa tiket PKR.

Jika Rafizi mengisytiharkan keluar parti, ia akan mencetuskan peruntukan anti-lompat parti yang memaksanya mengosongkan kerusi Parlimen, berbanding mengekalkannya jika dia dipecat.

Semalam, Rafizi mendedahkan PKR menghantarnya surat tunjuk sebab kedua bertarikh 9 April, dengan lembaga disiplin parti menuduhnya melakukan beberapa pelanggaran yang didakwa menjejaskan nama Anwar dan parti.

Pesakit mental terjatuh dari tingkat lima flat

NOOR HASLIZA NUSI
Anggota bomba dan pegawai perubatan ketika mengangkat mangsa di flat Taman Seri Perak, petang tadi.
GEORGE TOWN – Seorang lelaki dipercayai pesakit mental ditemukan tidak sedarkan diri selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat lima flat Taman Seri Perak, Jelutong di sini, petang tadi.

Mangsa berusia 53 tahun dijumpai dalam keadaan terlentang di atas bumbung, tingkat bawah perumahan berkenaan oleh orang awam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 6.53 petang tadi dan kemudiannya bergegas ke lokasi terbabit.

Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dengan diketuai Komander Operasi Penguasa Bomba Kanan I Mohd. Akmal Nasjuan.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak melakukan kerja-kerja penyelamatan dengan menggunakan ‘stretcher’ dan peralatan menyelamat. Menurut keterangan ibunya, mangsa dipercayai menghidap masalah mental.

“Mangsa yang cedera seterusnya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut berada di lokasi kejadian dan dibawa ke hospital berdekatan bagi rawatan susulan,” katanya di sini, malam tadi.

Tambahnya, operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada pukul 7.38 malam tadi. -KOSMO! ONLINE

Selisih faham punca lelaki tumbuk wanita depan pasar raya

MASTURAH SURADI
LELAKI yang menumbuk muka seorang wanita ditahan polis sejurus mangsa membuat laporan polis selepas kejadian di sebuah pasar raya di Jalan Sri Mersing, Mersing semalam
MERSING – Polis menahan seorang lelaki yang bertindak secara tiba-tiba menumbuk seorang wanita dalam kejadian di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Sri Mersing, Mersing, semalam.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihak polis menerima laporan polis daripada mangsa yang berusia 48 tahun pukul 10 malam semalam.

Katanya suspek yang berusia 47 tahun itu kemudian berjaya ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing pada malam yang sama.

“Tangkapan telah dibuat kira-kira pukul 12.15 tengah malam tadi untuk siasatan lanjut, di mana siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai akibat selisih faham.

“Ekoran kejadian itu mangsa telah alami kecederaan lebam di bahagian dahi dan patah di bahagian atas hidung,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Terdahulu tular rakaman menunjukkan seorang lelaki menumbuk seorang wanita yang baru keluar dari sebuah pasar raya. – KOSMO! ONLINE

Warga asing tular mengamuk di KLIA sudah ditahan, didakwa

Bernama

PUTRAJAYA: Seorang lelaki warga asing berusia 33 tahun yang merosakkan kemudahan awam serta mencederakan anggota keselamatan dalam satu kejadian tular di Terminal 2 (T2) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini, telah ditahan dan didakwa di mahkamah.

Ketua Polis KLIA, M Ravi, berkata tangkapan dibuat anggota IPD KLIA kira-kira 10.30 pagi di lokasi kejadian, ketika individu berkenaan sedang menunggu penerbangan transit ke Hatyai, Thailand.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek telah terlepas penerbangan dan berselisih faham dengan isterinya berkaitan isu penjagaan anak.

“Semasa kejadian, suspek telah bertindak secara agresif dengan menghentak cermin kaunter, mengetuk papan tanda penerbangan hingga patah, membaling botol minuman ke arah kaunter dan mencederakan anggota keselamatan yang bertugas semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek juga telah mengaku bersalah di Mahkamah Sepang pada 7 April dan pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, suspek turut didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil yang membawa hukuman denda sehingga RM100,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar mematuhi arahan pihak keselamatan yang bertugas dan tidak mengambil tindakan yang boleh menyebabkan berlaku kegusaran di tempat awam khususnya semasa berada di kedua-dua terminal KLIA.

Baru-baru ini, tular video di media sosial memaparkan seorang lelaki warga asing mengamuk serta merosakkan papan tanda di kaunter T2 KLIA, selain bertindak agresif terhadap anggota keselamatan.

Video berdurasi kira-kira seminit itu memaparkan seorang lelaki warga asing kelihatan sedang menolak beberapa anggota keselamatan hingga menyebabkan salah seorang petugas terjatuh ke lantai.

Koperal serang Amirul Raziq kini disiasat membunuh

FMT Reporters

PETALING JAYA: Anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) yang menyerang Muhammad Amirul Raziq Rosafindi di kem kini disiasat kerana membunuh susulan kematian prebet itu pagi tadi.

Sebelum ini, Sukry Tasu, 37, berpangkat koperal dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan atas perbuatan menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa,

Namun, Ketua Polis Bentong Zaiham Kahar, berkata perkembangan terbaharu menyaksikan kes disiasat semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Permohonan untuk melakukan bedah siasat telah dilakukan serta pihak polis akan meneliti semula keterangan yang telah diambil sebelum ini dan jika perlu, sambungan rakaman percakapan saksi akan dilakukan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, bapa Amirul Raziq, Rosafindi Tambi Chik, mengesahkan pemergian anaknya pagi tadi di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh, Pahang, kira-kira seminggu selepas mangsa bergantung kepada alat bantuan pernafasan susulan serangan itu.

Pada Isnin, Sukry mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan menyerang anggota tentera di kem Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja, bulan lalu.

Dia didakwa menyebabkan kecederaan parah kepada Amirul Raziq dan enam yang lain — Atiqillah Taugek Rashidi, 21; Syakirin Yaacob, 20; Azman Shah Ismail, 22; Nik Amir Zaqwan Nik Asrizal, 19; Irfan Aiman Tajudin, 19; dan Danial Asraf Azizan, 22.

Zaiham sebelum ini, berkata koperal tersebut didakwa telah menumbuk dan menendang Amirul di pelbagai bahagian badan.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat menyatakan siasatan awal mendapati PTTR itu tidak berpuas hati dengan cara anggota terbabit membersihkan stor senjata kem berkenaan.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Khaled Nordin, berkata kematian prebet berkenaan dipandang serius, sambil menegaskan sebarang bentuk keganasan, salah laku atau pelanggaran disiplin tidak mencerminkan nilai, integriti serta profesionalisme dijunjung Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat. Kes ini kini dalam proses perundangan dan akan ditentukan sepenuhnya oleh mahkamah mengikut lunas undang-undang.

“Kementerian akan memastikan keadilan ditegakkan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.

Kenapalah bongok sangat pemimpin parti agama ni

ADUN Pas pertahan Hadi Awang, dakwa minyak Malaysia tak lalu Selat Hormuz
SITI NUR ZAWANI
Seorang ADUN Pas mempertahankan kenyataan Presiden parti itu, bahawa kenaikan harga minyak tidak sepatutnya berlaku kerana menurutnya, Malaysia mengeluarkan bekalan minyak sendiri.

ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim mempersoalkan rasional kerajaan menunggu kapal tangki melalui Selat Hormuz sebelum menurunkan harga minyak, sambil mendakwa minyak Malaysia sebenarnya tidak melalui perairan tersebut.

Beliau mendakwa, minyak mentah dari pelantar di perairan Terengganu mampu disalurkan untuk kegunaan negara ini.

“Di Perairan Terengganu terdapat kira-kira 120 buah pelantar minyak yang sedang beroperasi. Minyak mentah dari pelantar akan disalur ke loji penapisan minyak Petronas Kerteh sama ada melalui saluran paip dasar laut atau kapal tangki. 

“Di loji Kerteh ini minyak mentah diproses menjadi pelbagai produk petroleum untuk kegunaan negara kita. 

“Kenapa nak tunggu kapal tangki lepas lalu Selat Hormuz baru nak turunkan harga minyak? Saya ulang! Minyak kita tak lalu Selat Hormuz!,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Perkongsian itu menerima banyak kritikan daripada orang ramai yang mempersoalkan kefahaman beliau mengenai rantaian bekalan petroleum dan mekanisme penetapan harga bahan api.

Mereka membangkitkan isu lebih penting, adakah cukup pengeluaran minyak di Malaysia untuk menampung permintaan rakyat.

Kenyataan bahawa harga minyak tidak sepatutnya naik hanya kerana Malaysia ada pengeluaran sendiri nampak logik, tetapi hakikatnya tidak begitu dalam sistem ekonomi sebenar.

Seorang pengguna Facebook, Mohd Azwandie turut menjelaskan perkara ini dengan terperinci di ruangan komen Facebook ADUN berkenaan.

Menurutnya, memang betul Malaysia mempunyai pengeluaran minyak mentah khususnya di Terengganu, namun minyak mentah bukan terus jadi petrol yang orang ramai isi di pam minyak.

Minyak mentah ini adalah komoditi global yang didagangkan mengikut harga pasaran dunia seperti Brent. 

Malaysia sendiri menjual sebahagian minyak mentah ke pasaran antarabangsa dan pada masa yang sama juga mengimport minyak mentah atau produk petroleum tertentu yang lebih sesuai dengan keperluan penapisan tempatan.

Ini bermaksud harga bahan api di Malaysia tetap terkesan dengan pergerakan harga global, walaupun minyak itu dihasilkan dalam negara. 

Bila berlaku ketegangan atau gangguan di laluan utama dunia seperti Selat Hormuz, ia memberi kesan kepada keseluruhan bekalan global. Apabila bekalan terganggu, harga akan naik di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Lelaki didakwa kurung anak lelaki dalam van lebih setahun

Astro AWANI

HAGENBACH: Seorang lelaki di Perancis didakwa selepas dipercayai mengurung anak lelakinya yang berusia sembilan tahun di dalam sebuah van selama lebih setahun, menurut pihak pendakwaan.

Kanak-kanak itu ditemui pada Isnin lalu selepas jiran-jiran di bandar Hagenbach, wilayah Alsace, mendengar “bunyi seorang kanak-kanak” dari sebuah van yang diletakkan di kawasan bersama sebuah blok pangsapuri.

Pendakwa raya memaklumkan kanak-kanak tersebut ditemui dalam keadaan menyedihkan, berbaring tanpa pakaian di bawah selimut, di atas timbunan sampah berhampiran najis manusia.

Mangsa dilaporkan mengalami kekurangan zat makanan dan tidak mampu berjalan akibat berada dalam posisi yang sama untuk tempoh lama.

Bapa mangsa yang berusia 43 tahun, yang identitinya tidak didedahkan, memberitahu pihak berkuasa bahawa dia telah menempatkan anak lelakinya di dalam van sejak November 2024.

Menurut pendakwa raya, lelaki itu mendakwa tindakannya bertujuan “melindungi” kanak-kanak berkenaan daripada pasangannya yang berusia 37 tahun, yang didakwa mahu menempatkan kanak-kanak itu di pusat rawatan psikiatri.

Pasangan tersebut tinggal di blok pangsapuri berkenaan bersama dua lagi kanak-kanak, seorang anak perempuan berusia 12 tahun dan seorang anak tiri perempuan berusia 10 tahun.

Menurut laporan akhbar Le Parisien, kanak-kanak lelaki itu memberitahu polis bahawa bapanya memberikan makanan dua kali sehari serta meninggalkan botol air untuknya.

Dia juga berkata terpaksa membuang air kecil ke dalam botol plastik dan membuang air besar ke dalam beg sampah, selain tidak mandi sejak hujung tahun 2024.

Penduduk sekitar memberitahu polis bahawa mereka menyedari kanak-kanak itu “hilang secara tiba-tiba” pada akhir tahun lalu, namun dimaklumkan oleh pasangan berkenaan bahawa dia telah ditempatkan di pusat jagaan.

Menurut jiran-jiran, bunyi dari dalam van terdengar sekali-sekala, tetapi mereka diberitahu bunyi tersebut hanyalah bunyi kucing.

Menurut bapa kanak-kanak itu, pasangannya tidak mengetahui bahawa anak lelaki tersebut dikurung di dalam van berkenaan.

Lelaki itu kini didakwa atas kesalahan “menyeksa dan menahan kanak-kanak secara sewenang-wenangnya”, selain gagal menyediakan makanan dan rawatan perubatan yang sepatutnya. Dia telah direman bagi membantu siasatan.

Pasangannya pula didakwa atas kesalahan “tidak memberi bantuan kepada kanak-kanak dalam bahaya” serta “gagal melaporkan penderaan terhadap kanak-kanak”. Wanita itu dibebaskan dengan jaminan bersyarat.

Ketiga-tiga kanak-kanak terbabit kini ditempatkan di pusat jagaan sementara menunggu keputusan lanjut daripada hakim mahkamah kanak-kanak.

Ketika bersiap sedia untuk rundingan di Pakistan AS menghantar lebih ramai tentera menuju ke Asia Barat

Lebih banyak pasukan AS menuju ke Asia Barat: Laporan
Malaysiakini 

Pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) masih bergerak ke Asia Barat sekiranya operasi diperlukan, ketika wakil Amerika dan Iran bersiap sedia untuk rundingan di Pakistan, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik laporan The Wall Street Journal pada Jumaat.

Data penjejakan penerbangan terkini dan seorang pegawai AS menunjukkan bahawa jet pejuang dan pesawat serangan telah pun tiba di rantau itu.

Pegawai itu berkata antara 1,500 hingga 2,000 anggota daripada Divisyen Udara Ke-82 Tentera Darat mungkin tiba dalam tempoh beberapa hari.

Pada masa sama, ribuan anggota tentera laut dan Marin juga sedang menuju ke rantau tersebut.

Seorang pegawai Tentera Laut berkata USS George H.W. Bush dan kapal pengiringnya telah berlepas dari negeri Virginia menuju Asia Barat pada akhir Mac dan kini berada di Lautan Atlantik.

Pegawai Tentera Laut lain berkata USS Boxer dan kapal perang pengiring yang membawa Unit Ekspedisi Marin Ke-11 berlepas dari California pada pertengahan Mac dan kini berada di Lautan Pasifik.

Kapal-kapal itu dijangka mengambil masa lebih seminggu untuk tiba.

- Bernama - Anadolu

Siapa menyanyi dalam masjid waktu malam?

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan orang ramai memasuki ruang solat untuk mencari punca bunyi itu. - TikTok
JAKARTA – Penduduk sebuah kampung di Indonesia berdepan detik seram apabila pembesar suara masjid tiba-tiba mengeluarkan suara wanita sedang menyanyi pada waktu malam, lapor portal berita Lambe Turah. 

Kejadian dipercayai berlaku di Masjid Desa Alo, baru-baru ini.

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dikongsi di platform TikTok olah akaun @bdllee4 menunjukkan beberapa penduduk masuk ke dalam  ruang solat untuk mencari punca bunyi tersebut. 

Semasa melakukan pemeriksaan pada mikrofon, mereka terkejut dan lari bertempiaran apabila suara wanita itu muncul sekali lagi. 

Lebih mengejutkan, tiada orang yang menggunakan mikrofon. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 1.7 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi. 

“Itu mesti ‘bluetooth’,” kata seorang netizen. 

“Hantu itu sedang sedih,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

3 rakyat Malaysia ditahan, 97 kg syabu dirampas dalam tren Thailand

BERNAMA
TIGA lelaki rakyat Malaysia ditahan di wilayah timur laut Thailand Khon Kaen  miliki dadah. FOTO Thai Royal Police.
TIGA lelaki rakyat Malaysia ditahan di wilayah timur laut Thailand Khon Kaen miliki dadah. FOTO Thai Royal Police.
Bangkok: Tiga lelaki rakyat Malaysia ditahan di wilayah timur laut Thailand Khon Kaen selepas kira-kira 97 kilogram (kg) methamphetamine jenis kristal dirampas dalam satu operasi bersama di dalam kereta api menuju ke Bangkok, menurut polis pada Jumaat.

Dalam satu kenyataan, Biro Siasatan Pusat (CIB) memaklumkan suspek ditahan selepas pegawai menemui tiga beg pakaian tidak dituntut mengandungi dadah dalam tren yang bergerak dari Nong Khai ke Terminal Pusat Krung Thep Aphiwat di Bangkok.

CIB berkata operasi itu dijalankan dengan kerjasama Kereta Api Negara Thailand (SRT), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Bahagian Polis Lebuhraya sebagai sebahagian usaha meningkatkan keselamatan penumpang serta membanteras jenayah dalam perkhidmatan rel.

"Pegawai rondaan pada 8 April mengesan tiga beg besar berwarna hitam berkunci secara kombinasi diletakkan di rak bagasi dalam sebuah gerabak ketika melalui wilayah Khon Kaen.

"Pemeriksaan awal mendapati tiada penumpang mengaku memiliki beg itu, sekali gus mendorong siasatan lanjut," menurut kenyataan itu.

CIB memaklumkan kakitangan kereta api kemudian mengesahkan tiga lelaki membawa beg itu menaiki tren di stesen Nong Khai, manakala rakaman CCTV mengenal pasti suspek yang kemudiannya ditemui duduk dalam gerabak sama.

Siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki itu mengaku membawa bagasi berkenaan namun mendakwa tidak mengetahui kandungannya, sebaliknya diarahkan oleh pihak lain untuk menghantar beg itu ke Bangkok.

"Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat di Balai Polis Phon di Khon Kaen untuk tindakan lanjut," menurut CIB.

11 warga Indonesia ditahan samun bersenjata

BERNAMA

Georgetown: Polis menahan 11 warga Indonesia termasuk dua wanita kerana disyaki terlibat dalam kes samun bersenjata di rumah kongsi di sekitar Pulau Pinang.

Ketua Polis negeri Datuk Azizee Ismail berkata, kesemua suspek ditahan dalam Ops Rantau Kongsi di beberapa lokasi di Chemor, Perak dan Seberang Perai Tengah (SPT), dekat sini pada semalam dan hari ini hasil risikan dan initipan yang dijalankan.

"Dalam siri serbuan itu, polis menahan sembilan lelaki dan dua wanita berusia 22 hingga 38 tahun selain turut merampas barangan dipercayai milik mangsa antaranya barang kemas, telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai berjumlah RM2,770.

"Selain itu, polis turut merampas senjata termasuk parang, pisau dan pengikat kabel yang dipercayai digunakan kumpulan tersebut untuk melakukan kegiatan samun bersenjata," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan itu ialah menyasarkan warga asing yang tinggal di rumah kongsi di tapak pembinaan dan bertindak menyamun dengan bersenjatakan parang, memakai topeng muka serta mengikat tangan dan kaki mangsa menggunakan pengikat kabel.

Azizee berkata, susulan tangkapan semua suspek, polis percaya berjaya menyelesaikan satu kes samun berkumpulan yang dilaporkan berlaku 1.30 pagi semalam di Seberang Perai Selatan (SPS) melibatkan kerugian barang kemas, telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai dengan nilai keseluruhan RM35,000.

Beliau berkata, secara keseluruhan, polis berjaya menyelesaikan lima kes samun berkumpulan, iaitu satu kes di Seberang Perai Utara dan masing-masing dua kes di SPT dan SPS ekoran penahanan 11 individu tersebut

"Semakan rekod mendapati hanya seorang daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan imigresen manakala yang lain tiada rekod jenayah," katanya.

Beliau berkata, semua mereka kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 serta 397 Kanun Keseksaan.

Pesara dipenjara tujuh hari, denda RM4,000 rakam bawah skirt peguam wanita

Bernama

Seorang pesara dihukum penjara tujuh hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang di Kuala Lumpur, hari ini selepas mengaku bersalah merakam video bawah skirt seorang peguam wanita di sebuah kedai makan, tiga hari lepas.

Majistret Mahmoodah VM Abdul Latif menjatuhkan hukuman itu ke atas S. Anandhan, 62, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 7 April lepas.

Tertuduh turut diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan, jika gagal membayar denda itu.

Anandhan didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 29 tahun dengan maksud untuk mengaibkan kehormatannya di kedai makan di Pusat Bandar Rawang, Gombak pada 5.49 petang pada 7 April.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hafiz Aiman Badrisham memohon hukuman berat dengan mengambil kira mangsa mengalami trauma sehingga terpaksa menjalani rawatan psikiatri, sementara peguam V. Kumar yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan.

- Bernama

Dapat penumpang mabuk kereta e-hailing dilarikan

[VIDEO] Kesian…penumpang mabuk larikan kereta
KOSMO!
Penumpang mabuk yang didakwa melarikan kereta pemandu e-hailing
PETALING JAYA – Seorang pemandu e-hailing dipercayai berdepan detik cemas apabila menjadi mangsa penipuan dan kecurian kenderaan selepas mengambil seorang penumpang dalam keadaan mabuk, sebelum suspek bertindak melarikan kereta miliknya.

Perkara itu dikongsikan menerusi hantaran pengguna Threads @thehaki_ yang mendakwa insiden berkenaan berlaku ketika pemandu tersebut sedang menjalankan tugas di Petaling Jaya baru-baru ini.

Menurut perkongsian itu, penumpang terbabit dipercayai berada dalam keadaan mabuk sebelum bertindak mengambil kesempatan terhadap pemandu berkenaan dan melarikan kenderaan tersebut.

Pengguna Threads itu juga mendakwa penumpang terbabit turut mencederakan pemandu berkenaan ketika berlaku pertengkaran di antara mereka.

“Tindakan suspek agresif, bertindak mencederakan driver (pemandu),” dakwanya.

Bagaimanapun, katanya, tindakan pantas pihak polis berjaya mengesan dan menahan suspek dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian dilaporkan.

“Kesian driver (pemandu) Grab ni…nasib baik polis cepat buat kerja,” menurut hantaran tersebut.

Setakat ini, butiran lanjut berhubung kejadian masih belum diperoleh dan Kosmo! sedang mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE

Remaja didakwa lakukan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak lelaki

Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang penghuni sebuah rumah kebajikan kanak-kanak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal, bukan fizikal serta persetubuhan luar tabii terhadap seorang kanak-kanak lelaki.
Remaja lelaki berusia 17 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mahmoodah VM Abdul Latif.

Prosiding hari ini berlangsung secara tertutup memandangkan ia membabitkan tertuduh bawah umur.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun lima bulan semasa kejadian di pusat jagaan kanak-kanak sebuah pertubuhan di Batu Caves pada 8.30 malam, 27 Mac 2026.

Dia dituduh mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, remaja itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa serupa pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Dia turut berdepan dua lagi pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa sama pada tempat, masa dan tarikh sama, mengikut Seksyen 15 (a) (i) dan 15 (a) (ii) akta sama, yang berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, perintah di bawah hukuman kanak-kanak terpakai memandangkan remaja berkenaan masih di bawah umur.

Mahkamah membenarkan remaja berkenaan diikat jamin RM6,500 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 24 Jun untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafiz Aiman Badrisham, manakala peguam Azman Abdullah mewakili remaja terbabit.

Semalam, penjaga sebuah rumah kebajikan V Retna mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas kesalahan sama, dan mahkamah menetapkan 21 Mei untuk tarikh jatuh hukum.

Bagaimanapun, pemilik rumah kebajikan berkenaan, S Valan mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan amang seksual fizikal.

Pecat saya jika langgar perlembagaan parti - Rafizi

Malaysiakini 

Bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, menggesa parti itu memecatnya jika dia dianggap melanggar perlembagaan parti, susulan surat tunjuk sebab kedua yang diberikan kepadanya.

Dalam catatan media sosial hari ini, Rafizi berkongsi responsnya terhadap surat 9 April daripada Lembaga Disiplin PKR, yang menggariskan beberapa dakwaan pelanggaran yang dikatakan mencemarkan nama parti.

Dalam jawapannya, Rafizi menggesa lembaga itu untuk membuat keputusan yang tegas dan cepat dalam menentukan nasibnya bersama parti, sambil mengingatkan bahawa rakyat "sudah mual."

"Jika penjelasan saya itu dikira telah melanggar perlembagaan parti, jadilah seperti sebuah parti yang normal (dan tidak songsang) dengan mengambil tindakan memecat, seperti yang telah dibuat kepada anggota-anggota parti lain yang dikenakan pertuduhan disiplin sebelum ini," kata Ahli Parlimen Pandan itu.

Pada Februari, Rafizi mendakwa PKR cuba menekannya untuk meninggalkan parti supaya dia boleh disingkirkan sebagai ahli parlimen melalui undang-undang antilompat parti.

Ini berlaku selepas PKR mengeluarkan surat tunjuk sebab yang menuduhnya mengisytiharkan peletakan jawatannya daripada parti itu apabila mengumumkan rancangan untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang bukan atas tiket PKR.

Surat tunjuk sebab terbaru daripada Pengerusi Lembaga Disiplin Zainol Samah kepada Rafizi memperincikan bahawa Rafizi didapati kerap mengeluarkan kenyataan negatif terhadap parti itu dan presidennya, Anwar Ibrahim, yang juga merupakan perdana menteri.

Antara perkara yang disebut oleh Zainol termasuk dakwaan "serangan" Rafizi terhadap Anwar melalui dakwaan bahawa perdana menteri "cenderung mengharapkan orang bawahan sentiasa mengangkat dan mengikut arahannya" dan menimbulkan implikasi bahawa Anwar telah "mempertahankan" Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Menyatakan bahawa langkah Rafizi untuk menyertai perhimpunan Tangkap Azam Baki telah menjejaskan persepsi orang ramai terhadap parti itu dan mencemarkan imej parti, Zainol menambah bahawa Rafizi juga didapati telah membuat dakwaan bahawa perdana menteri telah melindungi beberapa individu yang mempunyai kepentingan peribadi.

Zainol menyatakan bahawa jika kebimbangan terhadap tindakan Rafizi terbukti benar, bekas menteri ekonomi itu melanggar peraturan di bawah kod etika PKR untuk ahlinya.

Dia menggariskan bahawa Rafizi kemungkinan melanggar syarat-syarat untuk melindungi maklumat sulit dan kerahsiaan parti, menjaga nama baik parti, dan melakukan perbuatan yang melanggar peraturan parti dan perlembagaan.

Dalam jawapan empat muka surat, Rafizi menegaskan bahawa tegurannya terhadap amalan membodek bukanlah sesuatu yang baru, dan harus dipandang dengan tahap penerimaan yang sama seperti yang diberikan kepadanya sebelum ini.

"Jika sebelum ini teguran saya disambut oleh presiden dengan senyuman dan secara terbuka sebelum beliau menjadi perdana menteri, sewajarnya ingatan saya itu, yang berpuluh tahun mengambil risiko untuk mempertahankan beliau dan keluarga beliau sehingga beliau menjadi perdana menteri, juga disambut dengan tawadhu’ selepas beliau menjadi perdana menteri," kata Rafizi.

Dia menambah bahawa kritikan terhadap dakwaan pembelaan Anwar terhadap Azam tidak seharusnya dikaitkan dengan ucapannya semasa demonstrasi Tangkap Azam Baki, kerana Anwar sendiri telah lantang bersuara tentang sokongannya terhadap Azam di tengah-tengah pelbagai tuduhan terhadap pemimpin agensi antirasuah itu.

Rafizi juga menangani teguran Lembaga Disiplin dengan dakwaannya bahawa Anwar melindungi beberapa individu, dengan ahli parlimen itu menegaskan bahawa Anwar tidak memulakan sebarang tindakan undang-undang terhadap penerbitan laporan yang mengaitkannya dengan bekas pembantunya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Rafizi merujuk kepada laporan Bloomberg pada September 2024 yang mengaitkan Anwar dan Azam dalam dakwaan "penyalahgunaan kuasa menyiasat" oleh SPRM.

Laporan itu juga mendakwa bahawa Anwar telah mengarahkan Azam untuk tidak menyiasat Farhash berhubung pembelian sahamnya dalam HeiTech Padu Bhd.

Baru-baru ini, Channel News Asia melaporkan bahawa Anwar didakwa telah mengarahkan Farhash untuk menghentikan percubaan mengambil alih NexG Berhad, sebuah syarikat penyelesaian teknologi dan keselamatan utama untuk Putrajaya.

Rafizi juga menyorot bahawa dia masih belum diberikan sebarang notis undang-undang walaupun secara terbuka menuduh Naib Presiden PKR R Ramanan sebagai ahli parlimen yang didakwa menerima rasuah RM9.5 juta daripada ahli perniagaan Victor Chin.

"Presiden parti, selaku perdana menteri tidak mengarahkan sebarang siasatan atas dakwaan rasuah RM9.5 juta itu dan tidak mengarahkan R Ramanan bercuti dari jawatan sehingga siasatan itu selesai.

"Seorang yang waras, berprinsip dan ada naluri ingin mencari kebenaran, boleh membuat kesimpulan bahawa individu-individu seperti Farhash Wafa Salvador dan R Ramanan mempunyai pertalian yang sangat rapat dengan presiden parti dan terlindung dari tindakan-tindakan yang akan dikenakan kepada orang lain, sekiranya orang lain itu terpalit dalam tuduhan-tuduhan yang saya sebut di atas," tambah Rafizi.

Perselisihan faham punca abang serang adik dengan parang

Ahmad Hasbi

KUALA PILAH: Perselisihan faham keluarga menjadi punca dua beradik bergaduh menggunakan parang sehingga mendatangkan kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, kejadian berlaku jam 3.49 petang semalam di Taman Air Mawang, Johol di sini.

Menurutnya, polis menerima maklumat awal berkaitan kejadian itu, melalui panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan berlaku pergaduhan di sebuah rumah.

“Hasil siasatan awal mendapati, kejadian berpunca perselisihan faham dalam kalangan ahli keluarga berkaitan urusan peribadi,” katanya.

Menurutnya, mangsa lelaki berusia 27 tahun, dipercayai pergi ke rumah keluarganya di lokasi kejadian sebelum berlaku pertengkaran dan pergaduhan.

Jelas beliau, seorang lelaki yang juga abang kepada mangsa, bertindak membawa sebilah parang dan menyerang mangsa.

“Tindakan itu menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka dan kedua-duanya cedera.

Mangsa mengalami kecederaan di bahagian pergelangan tangan kiri dan sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini.

“Manakala suspek utama mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.

Tambahnya, suspek ditahan untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah di talian 06-4842999 atau boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Supiah Ishak di talian 019-9933978.

Tak efisien: Setinggan warga Indonesia dalam ladang kelapa sawit bukan dibina seminggu dua

Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my
Sebanyak 15 kediaman dirobohkan. FOTO IHSAN PDT KUALA SELANGOR
Sebanyak 15 kediaman dirobohkan. FOTO IHSAN PDT KUALA SELANGOR
Shah Alam: Jadikan ladang kelapa sawit sebagai lokasi penempatan setinggan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Itu taktik koloni warga Indonesia untuk tinggal secara tidak sah bersebelahan Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 2 dam Sekolah Rendah Agama (SRA) Puncak Alam 2, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor.

Bagaimanapun, perkara itu berjaya dihidu Unit Penguatkuasaan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor menerusi operasi bersepadu kelmarin.

PDT Kuala Selangor berkata, operasi perobohan itu dijalankan bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.

"Ia adalah tindakan penguatkuasaan bagi kesalahan pendudukan secara tidak sah di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN).

Operasi turut membabitkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), SK Puncak Alam 2, dan SRA Puncak Alam 2," katanya, di sini.

Beliau berkata, sebanyak 15 kediaman dan empat stor dengan kesemuanya binaan tidak kekal di atas teres ladang sawit dirobohkan tanpa sebarang kacau ganggu daripada mana-mana pihak.

"Kami merakamkan jutaan terima kasih di atas kerjasama daripada pelbagai jabatan dan agensi yang terlibat sepanjang operasi itu dijalankan.

"PDT Kuala Selangor akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi membendung masalah pendudukan tidak sah atas mana-mana tanah kerajaan bagi menjamin pembangunan holistik di dalam daerah Kuala Selangor," katanya.

Pelancong didakwa ‘sentuh’ pramugari, diturunkan dari pesawat

KOSMO!
Tangkap layar video memaparkan anggota keselamatan AVSEC membawa keluar pelancong berkenaan keluar dari pesawat.
PETALING JAYA – Tular di media sosial satu rakaman memaparkan seorang lelaki didakwa diturunkan dari sebuah pesawat Malaysia Airlines selepas dipercayai melakukan gangguan tidak senonoh terhadap seorang pramugari.Ekonomi Malaysia

Menerusi hantaran yang dimuat naik penyanyi rap dan pempengaruh, Ariz Ramli atau lebih dikenali sebagai Caprice di Instagram, pada mulanya berlakunya perbalahan antara pelancong tersebut dan seorang pramugari dalam bahasa Mandarin.

Bagaimanapun, pelancong tersebut difahamkan tidak mahu turun dari pesawat meskipun telah diarahkan berbuat demikian sehingga memaksa petugas keselamatan penerbangan membawa lelaki itu keluar.

Berdasarkan kapsyen yang dimuat naik bersama video itu, lelaki terbabit didakwa merupakan pelancong dari China dan tindakannya mencetuskan kemarahan ramai selepas dia dikatakan menepuk punggung seorang kru kabin.

Di ruangan komen, seorang pengguna media sosial bernama @Zyc_yucheng sempat menterjemahkan perbualan bahasa Mandarin antara pramugari dan pelancong lelaki itu.

“Dia (pelancong) cakap dia tak ada buat sesuka hati. Dia cuma tepuk ringan-ringan je dekat pinggul pramugrari. Takkan sikit-sikit je tak boleh, (dia kata) hubungan China-Malaysia kan rapat,” tulis @Zyc_yucheng.

Di penghujung video, beberapa anggota keselamatan penerbangan akhirnya dilihat mengiringi lelaki terbabit keluar dari pesawat sambil disaksikan penumpang lain dari tempat duduk masing-masing.

Sementara itu, ruangan komen dibanjiri reaksi orang ramai yang mengecam perbuatan berkenaan dan menyifatkannya sebagai tidak beradab serta tidak menghormati wanita.

“Tak kira siapalah, yang beli tiket hanya bayar harga tiket. Harga tiket tak bermaksud kau boleh buat semua staf macam kuli kau. Ikut jelah prosedur yang ditetapkan. Sendiri buat masalah kan,” komen Khairul.

“Terbaik pramugari tidak mendiamkan perkara ini. Jangan normalkan perbuatan macam ini, padan muka kena turun kapal terbang,” komen Miss Leyah.

Perkongsian itu turut menerima pujian ramai yang menyifatkan tindakan pantas pasukan keselamatan penerbangan sebagai wajar dalam memastikan keselamatan serta ketenteraman kru dan penumpang sentiasa terpelihara.

Seorang pengguna memaklumkan individu yang dilihat dalam video bukan anggota polis, sebaliknya pasukan keselamatan penerbangan atau Aviation Security (AVSEC) di bawah Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).Ekonomi Malaysia

“Tindakan itu dipercayai diambil selepas isyarat dibuat dari juruterbang kepada menara kawalan trafik udara sebelum dimaklumkan kepada pasukan operasi lapangan terbang dan seterusnya kepada pasukan AVSEC yang bertugas,” komen Puteri Abdullah. – KOSMO! ONLINE

Papagomo buat hal lagi dan lagi

Papagomo buat hal lagi dan lagi, ini tindakan bakal diambil SKMM
Harapandaily

Ekoran dakwaan palsu berkaitan sekatan laporan media, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Papagomo.

SKMM berkata, dakwaan ia menyekat laporan Malaysia Gazette berkaitan kes mahkamah melibatkan penyokong pembangkang itu dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil adalah tidak benar dan palsu.

“SKMM tidak terlibat dalam kes itu dan tidak mengeluarkan sebarang permohonan atau permintaan untuk menyekat kandungan itu kepada mana-mana media mahupun platform,” tegas SKMM dalam kenyataan.

Sehubungan itu, SKMM berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang yang wajar terhadap Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris berhubung dakwaan palsu tersebut.

Dalam masa sama, SKMM turut menegaskan ia memandang serius sebarang penyalahgunaan media sosial dan media digital yang bertujuan mengelirukan orang ramai menerusi penyebaran maklumat palsu.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu didapati melanggar undang-undang sedia ada,” kata SKMM lagi.

Pada 6 April lalu, kes saman fitnah difailkan Fahmi terhadap Papagomo pada 5 September 2023 berhubung dakwaan kononnya menteri itu menyampaikan ceramah politik di Masjid Nurul Yaqin, Kuang, Rawang, Selangor diselesaikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kedua-dua pihak telah mencapai penyelesaian kes secara damai.

Mengikut writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 5 September 2023, Fahmi mendakwa Papagomo serta dua lagi defendan menyiarkan kata-kata fitnah mendakwanya menyalahgunakan masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah Sultan Selangor.

Dua lagi defenden adalah pemilik Facebook ‘N13 Kuang’ Mohd Fauzan Madzlan dan pemimpin Pas, Ahmad Dusuki Abd Rani.

Fahmi turut mencapai penyelesaian dengan Fauzan manakala saman dengan Dusuki diteruskan.

Kedah: Dua ditahan ketika pindah 4,000 liter diesel haram

Amira Suraini Che Mohamad
 
SUNGAI PETANI: Dua lelaki tempatan ditahan ketika sedang leka memindahkan diesel haram di kawasan lapang Kebun Tebu, Pekan Lama, di sini, semalam.

Serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah pada jam 5 petang itu mendapati, suspek berusia lingkungan 40-an dan 60-an itu sedang memindahkan diesel daripada lori kargo ke lori tangki tanpa permit.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua suspek tidak mempunyai permit atau kebenaran untuk menyimpan barang kawalan.

“Sehubungan itu, KPDN Alor Setar telah menyita diesel dianggarkan sebanyak 4,000 liter dengan nilai RM24,080, satu unit lori kargo, satu unit lori tangki, tiga unit tong IBC serta peralatan yang digunakan untuk memindahkan minyak diesel.

“Nilai sitaan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM176,680,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), yang memperuntukkan denda sehingga RM1 juta atau pejara tiga tahun bagi individu.

Menurutnya, operasi ini sebahagian daripada OPS Tiris 4.0 yang telah melakukan 5,632 pemeriksaan dan 21 tindakan kes dengan sitaan melebihi RM875,893.

KPDN menegaskan, bahawa sebarang cubaan menyalahgunakan barang kawalan atau membuat penyeludupan bahan api akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi.

JIM tahan 40 PATI tinggal serumah

Mary Victoria Dass
Sekumpulan PATI tinggal serumah di Kampung Baru Muafakat di Johor ditahan JIM Johor. – Gambar ihsan JIM
JOHOR BAHRU: 40 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang tinggal di sebuah rumah di Kampung Baru Muafakat ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) awal pagi hari ini.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, Ops Sapu menyasarkan kediaman dalam penempatan setinggan itu dan menjadi kawasan tumpuan warga asing.

Katanya, ketika serbuan berlaku, pihaknya mendapati rumah tersebut memiliki banyak bilik, dihuni golongan dewasa serta kanak-kanak.

Menurutnya, menyedari kehadiran pihak berkuasa, terdapat individu yang sedang berehat di dalam rumah cuba melarikan diri dan sesetengahnya bersembunyi bagi mengelak pemeriksaan.

“Bagaimanapun mereka berjaya diberkas dan hasil operasi, 40 warga asing ditahan terdiri daripada 31 lelaki Pakistan, tiga lelaki Myanmar, dua wanita Indonesia dan dua wanita Myanmar.

“Turut ditahan masing-masing seorang kanak-kanak lelaki Myanmar dan kanak-kanak perempuan Indonesia. Kesemuanya dipercayai menghuni rumah berkenaan sejak dua bulan lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rusdi berkata, semua warga asing antara dua hingga 59 tahun itu didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta tinggal lebih masa.

Katanya, tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Trauma dinikahi lelaki ‘jadian’, wanita buat laporan polis

KOSMO
MANGSA tidak menyangka suaminya ialah seorang lelaki ‘jadian’. – AGENSI
JAKARTA – Seorang mangsa membuat laporan polis selepas dia ditipu oleh seorang wanita yang memalsukan identiti sebagai lelaki untuk menikahinya, demikian menurut saluran Liputan6 hari ini.

Perwakilan keluarga mangsa, Eko NS berkata, laporan polis dibuat kerana wujud pemalsuan identiti  oleh suspek ketika proses pernikahan.

“Fokus kami adalah dokumen palsu yang digunakan untuk pernikahan,” kata Eko di balai polis Malang Kota, semalam.

Menurutnya, suspek memaksa mangsa membuat pasport  dengan rancangan untuk  pergi ke Kemboja. Perkara itu menyebabkan keluarga mangsa bimbang dia berisiko  menjadi korban pemerdagangan manusia.

Sejak kejadian tersebut, mangsa masih trauma, takut untuk keluar rumah dan memilih berhenti bekerja.

Menurut Eko, suspek juga membuat pelbagai ancaman termasuk ugutan culik.

Keluarga berkenaan semakin bimbang setelah beberapa kali melihat sebuah  kereta  mencurigakan berada di sekitar rumah mereka. Namun, kenderaan itu segera meninggalkan lokasi saat dihampiri oleh penduduk setempat.

Sementara itu, ketua balai polis Malang Kota, AKP Rahmad Aji Prabowo mengesahkan menerima laporan kes tersebut. Beliau berkata, polis  masih meneliti kes penipuan dan pemalsuan identiti itu.

“Kami sedang meneliti kes ini,” katanya.

Terdahulu, mangsa mengaku mengenali suspek pada awal Februari 2026 ketika bekerja di sebuah kafe di Kota Batu. Hubungan mereka kemudian berjalan lancar.

Pasangan itu bercinta pada 14 Februari 2026 dan memutuskan untuk berkahwin  pada 3 April 2026.

Selama mana mereka berkenalan,  mangsa tidak pernah curiga kerana  suara dan penampilan suspek meyakinkan bahawa dia seorang lelaki.

“Dia mengaku lelaki, malah suaranya seperti lelaki,” kata mangsa.

Suspek mengaku berasal dari Jakarta dan bekerja sebagai seorang perunding. Dia menjanjikan rumah dan kereta mewah untuk mangsa.

Bagaimanapun, keluarga mangsa curiga selepas suspek hanya mampu memberikan mas kahwin 100 ribu rupiah(RM23).

Penipuan suspek terbongkar sepenuhnya  pada malam pertama selepas pernikahan setelah mangsa melihat dia menggunakan alat kelamin buatan. – AGENSI

Penjaga pusat jagaan kanak-kanak mengaku bersalah liwat 5 kanak-kanak

Neraka di balik pintu 'Sri Bala Illam': 15 jenayah seksual terbongkar!
Malaysiakini 

Seorang penjaga sebuah pusat jagaan kanak-kanak tidak berlesen mengaku bersalah atas 15 pertuduhan melibatkan serangan seksual dan persetubuhan luar tabii terhadap lima kanak-kanak lelaki, dengan mangsa paling muda berusia lapan tahun.

Tertuduh, Retna Velu, yang memakai kemeja-T hitam, membuat pengakuan itu dalam bahasa Tamil di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Ampang, Norshila Kamarudin dan Ho Kwong Chin.

Menurut laporan New Straits Times, sebanyak 12 pertuduhan melibatkan penderaan seksual secara fizikal dan bukan fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia antara lapan hingga 13 tahun, yang berlaku pada November tahun lalu serta Februari dan Mac tahun ini di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Pertubuhan Kebajikan Sri Bala Illam di Taman Permata Biru, Batu Caves, Gombak.

Kesalahan tersebut didakwa di bawah Seksyen 14(a) dan 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak. Seksyen 14(a) memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, manakala Seksyen 15(a)(i) boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda RM20,000.

Retna turut mengaku bersalah atas tiga pertuduhan melakukan persetubuhan terhadap dua mangsa lelaki berusia lapan dan 10 tahun di pusat jagaan sama pada awal tahun ini.

Sementara itu Bernama melaporkan seorang penjaga sebuah rumah kebajikan kanak-kanak mengaku bersalah di dua Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas 15 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal, bukan fizikal serta persetubuhan luar tabii terhadap lima kanak-kanak lelaki.

Retna Velu, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya dalam Bahasa Tamil di hadapan Hakim Norshila Kamarudin dan Ho Kwong Chin.

Mengikut 12 pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap lima kanak-kanak lelaki berumur antara lapan hingga 13 tahun, di pusat jagaan kanak-kanak sebuah pertubuhan di Batu Caves, antara November 2025 dan 27 Mac 2026.

Bagi kesalahan melakukan amang seksual fizikal, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kesalahan melakukan amang seksual bukan fizikal pula, pertuduhan mengikut Seksyen 15 (a) (i) akta sama, yang berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Retna juga berdepan tiga pertuduhan dengan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap dua kanak-kanak sama, di lokasi sama, pada Februari dan Mac tahun ini, mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin sehingga tarikh fakta kes dan jatuh hukum pada 21 Mei ini.

Sementara itu, pemilik rumah kebajikan tersebut, SValan, 31, mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan di dua mahkamah sama.

Mengikut pertuduhan, Valan didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap empat kanak-kanak lelaki berusia antara 13 hingga 16 tahun di pusat jagaan kanak-kanak itu dan di sebuah premis di Kalumpang antara 18 Mac 2019 dan Mac 2026, mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14(b) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan.

Mahkamah membenarkan lelaki itu diikat jamin RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 10 Jun depan bagi sebutan semula kes.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairul Iqram Hairuddin dan Nadiah Malek Fauzie manakala Retna Velu tidak diwakili peguam dan Valan diwakili peguam Amalia Daud serta R Roshini.

Prosiding itu turut dihadiri peguam pemerhati bagi pihak pengadu dan Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor iaitu S Kirthen serta S Premila.

Lelaki ada 9 rekod jenayah cuba bunuh polis cedera ditembak depan UiTM Machang

MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
Lokasi kejadian seorang lelaki cedera ditembak di depan UiTM Cawangan Machang, Machang semalam. Foto IHSAN PEMBACA
MACHANG – Tindakan seorang lelaki memiliki sembilan rekod jenayah yang cuba membunuh anggota polis dengan melibas sebilah parang membawa padah apabila suspek cedera pada bahagian pahanya selepas ditembak dalam kejadian di depan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Machang di sini semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.17 malam semasa sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah.

Menurutnya, semasa pemeriksaan dijalankan terhadap dua lelaki yang berada dalam keadaan mencurigakan, salah seorang daripada mereka bertindak agresif dengan mengeluarkan sebilah parang sebelum melibas senjata tersebut ke arah anggota polis.

“Anggota polis bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek bagi mempertahankan diri dan mengelakkan kecederaan serius.

“Kedua-dua suspek melarikan diri sebelum salah seorang daripada mereka yang berusia dalam lingkungan 30-an ditahan dalam satu operasi segera di kawasan berhampiran,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, suspek yang ditahan mengalami kecederaan pada bahagian paha dan kini berada dalam keadaan stabil semasa dirawat di hospital.

Menurutnya, anggota polis yang terlibat dalam kejadian itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati, suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah, ugutan jenayah, senjata berbahaya, menghalang tugas penjawat awam, keganasan rumah tangga, menerima harta curi, mendatangkan kecederaan dan pencerobohan jenayah

“Kesemua rekod itu menunjukkan suspek mempunyai latar belakang jenayah yang serius dan berulang,” ujarnya.

Beliau berkata, suspek direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. – KOSMO! ONLINE

41 bangkai kucing ditemui di pangsapuri, 36 lagi kritikal

Buletin TV3 

SUBANG JAYA: Bau busuk di sebuah blok pangsapuri di sini, membongkar penemuan 41 bangkai kucing dipercayai mati akibat pengabaian di sebuah unit kediaman, semalam.

Selain bangkai, Kosmo melaporkan pihak berkuasa turut menyelamatkan 36 ekor kucing lain, yang berada dalam keadaan kritikal.

Difahamkan, premis dijadikan pusat perlindungan haiwan tidak rasmi itu amat kotor dan tidak terurus, manakala bangkai haiwan ditemui bergelimpangan dalam sangkar serta atas lantai tanpa bekalan makanan mahupun air.

Menurut sumber, 36 kucing yang diselamatkan mengalami dehidrasi teruk, dengan badan kurus kering dan menghidap pelbagai jangkitan penyakit akibat persekitaran tercemar dengan sisa najis.

Jurucakap kumpulan penyelamat haiwan berkata, pemandangan dalam unit kediaman terbabit sangat menyedihkan, dengan kebanyakan kucing yang masih hidup dalam keadaan trauma dan terlalu lemah untuk bergerak.

Difahamkan, unit berkenaan disewa seorang individu atas alasan mahu menyelamatkan haiwan jalanan, namun situasi menjadi luar kawalan sehingga membawa kepada kematian haiwan terbabit.

Kes kini disiasat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan pihak polis mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman denda tinggi atau penjara, atau kedua-duanya sekali kerana penganiayaan dan pengabaian haiwan.

Semua kucing terselamat kini ditempatkan di klinik veterinar dan pusat perlindungan sementara bagi menjalani rawatan rapi serta proses pemulihan.

‘Ucuk’ bekas tahfiz disyaki tulis kalimah Allah di tokong

DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
‘UCUK’ individu disyaki menulis kalimah Allah di dinding sebuah tokong di Jalan Jeti Anjung Batu - Pantai Siring, Melaka. Foto oleh AMRAN ALI / KOSMO!
JASIN – Seorang bekas pelajar tahfiz yang mengalami masalah mental dikenali sebagai ‘Ucuk’ disyaki individu bertanggungjawab dalam kejadian tulisan kalimah Allah dan Bismillahirrahmanirrahim di tokong di Jalan Jeti Anjung Batu – Pantai Siring, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, hasil siasatan awal, salah seorang penduduk kampung memaklumkan pernah melihat seorang lelaki dengan panggilan ‘Ucuk’ menulis kalimah Allah di tembok tepi jalan dan tiang elektrik.

Katanya, individu tersebut bagaimanapun merupakan orang kurang siuman, selain bekas pelajar tahfiz.

“Pada pukul 11 malam tadi kita menerima maklumat daripada orang awam mengenai tulisan kaliman Allah dan Bismillahirrahmanirrahim dalam tulisan jawi pada dinding tokong dan pemeriksaan anggota ke lokasi mengesahkan kejadian itu.

“Maklumat awal juga diterima daripada salah seorang penduduk kampung mendakwa pernah melihat lelaki bernama ‘Ucuk’ menconteng tembok tepi jalan dengan kalimah Allah,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, setakat ini pihaknya tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai indivisu terbabit dan usaha mengesan ‘Ucuk’ sedang dilakukan dengan bantuan pelbagai pihak.

Mengulas lanjut beliau berkata, temu bual bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Seri Minyak serta penduduk sekitar mendapati mereka tidak mengetahui pemilik tokong berkenaan.

“Semakan status pemilikan tanah akan dibuat melalui Pejabat Daerah dan Tanah Jasin, siasatan juga masih diteruskan bersama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Setakat ini kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membinasa, merosak atau mencemarkan tempat sembahyang /objek suci dengan niat mengaibkan agama mana-mana golongan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Wanita bergaduh depan mayat, baru sedar ‘dimadukan’

KOSMO
Dua wanita berkenaan saling menyerang di hadapan keranda. - Jam Press
VERACRUZ – Sebuah video tular di media sosial memaparkan dua wanita bergaduh di hadapan keranda berisi jasad seorang lelaki selepas sedar mereka bercinta dengan individu yang sama, lapor akhbar The Sun UK semalam.

Dalam kejadian di bandar Veracruz, Mexico,  kedua-dua wanita itu berada dalam majlis pengebumian lelaki tersebut.

Salah seorang daripada mereka kemudian berbisik perlahan kepada si mati dengan berkata: “Sayangku, saya akan merindui awak.”

Wanita kedua kemudian tampil ke hadapan dan bertanya: “Awak siapa?” 

Selepas kedua-duanya mengaku kekasih si mati, mereka bergaduh dan saling menyerang sehingga penutup keranda terbuka dan menampakkan jasad mendiang.

Beberapa tetamu lain menyaksikan pergaduhan itu dengan perasaan terkejut sebelum salah seorang daripada mereka tampil cuba menenangkan  keadaan.

Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen pengguna media sosial.

“Mereka hampir membunuhnya sekali lagi,” kata seorang netizen. – AGENSI 

Lelaki yang mengamuk mengejar polis dengan pisau pemotong daging ditahan

Malaysiakini 

Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai mengamuk di sebuah restoran di Telok Mengkuang, Kuala Langat dengan memecahkan barangan di premis berkenaan selain merosakkan kenderaan orang awam di kawasan sekitar, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, anggota keselamatan yang tiba di lokasi cuba mengawal situasi dan mendapati suspek – seorang warga tempatan – bersenjatakan sebilah pisau pemotong daging dan sebatang rotan.

“Suspek turut bertindak ganas dengan melibaskan senjata ke arah anggota polis serta kenderaan MPV, sekali gus mengancam keselamatan pihak berkuasa dan orang awam.

“Hasil tindakan pantas dan cekap polis, suspek berjaya ditahan bagi tujuan siasatan lanjut dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Akmalrizal berkata kes disiasat di bawah Seksyen 353 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya.

Katanya polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular video di laman sosial yang memaparkan seorang lelaki tidak berbaju bertindak mengancam seorang anggota polis dengan sebilah pisau di sebuah restoran.

Jabatan agama siasat tempat pemujaan tertera kalimah Allah

Malaysiakini 

Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sedang menyiasat penemuan sebuah tempat pemujaan di Melaka yang tertera kalimah Allah di dindingnya.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Rahmad Mariman berkata, pemeriksaan awal mendapati tempat pemujaan itu dipercayai wujud sejak dua hingga tiga tahun lalu.

Namun, katanya, tulisan berkenaan hanya dikesan malam tadi oleh sekumpulan pemancing, lapor Melaka Hari Ini.

“Penemuan itu menggemparkan penduduk sebelum dilaporkan kepada pihak berkuasa,” lapor media milik kerajaan negeri itu.

Dilaporkan tempat pemujaan itu dibina di Jalan Jeti Anjung Batu–Pantai Siring, tidak jauh dari Merlimau.

Selain kalimah Allah, terdapat juga tulisan Bismillahirrahmanirrahim–kedua-duanya ditulis dalam bahasa Arab.

Kelantan: 7 tekong, 45 PATI Myanmar ditahan

Sharifah Mahsinah Abdullah
Anggota PGA memeriksa 45 PATI dan tujuh tekong yang ditahan dalam serbuan di susur keluar Lebuhraya Buloh Poh di Melor. – Foto NSTP
KOTA BHARU: Cubaan tujuh tekong darat menyeludup 45 pendatang tanpa izin (PATI) keluar dari Kelantan gagal apabila mereka ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam satu operasi awal pagi tadi.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, berkata semua 45 PATI termasuk 15 wanita itu ditahan dalam operasi kira-kira jam 6 pagi itu di susur keluar Lebuhraya Buloh Poh di Melor, dekat sini.

Katanya, tujuh lelaki warga negara sama dipercayai bertindak sebagai tekong darat turut ditahan, dengan tujuh kenderaan digunakan untuk mengangkut PATI dirampas.

“Bertindak atas risikan, enam pasukan PGA dari Batalion 9 digerakkan dan memintas tujuh kenderaan membawa 45 warga Myanmar di lokasi.

“Siasatan awal mendapati tujuh daripada mereka bertindak sebagai tekong darat untuk membawa PATI ke destinasi termasuk Kuala Lumpur dan negeri lain,” katanya.

Semua yang ditahan disiasat atas pelbagai kesalahan berkaitan imigresen dan kebanyakan mereka didapati memasuki negara tanpa dokumen perjalanan sah.

Ahmad Radzi berkata, siasatan awal mendapati setiap PATI membayar RM300 kepada tekong darat untuk dihantar ke destinasi masing-masing,” katanya.

Semua 45 PATI berusia antara 18 hingga 40 tahun disyaki memasuki negara ini melalui ejen pemerdagangan manusia.

Difahamkan, dari negara asal mereka dihantar ke Thailand sebelum menaiki bot untuk merentas laut dan mendarat di jeti haram sepanjang Sungai Kelantan di Kota Bharu.

Difahamkan setiap tekong darat memperoleh pendapatan lumayan daripada kegiatan itu dengan melakukan sekurang-kurangnya lapan perjalanan sebulan.

Kilang sarung tangan diserbu kali kedua, 79 pekerja asing ditahan

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my
SEBAHAGIAN pekerja asing warga Bangladesh yang ditahan dalam operasi bersepadu di kilang pembuatan sarung tangan di Kanthan, Chemor. FOTO Muhammad Zulsyamini
SEBAHAGIAN pekerja asing warga Bangladesh yang ditahan dalam operasi bersepadu di kilang pembuatan sarung tangan di Kanthan, Chemor. FOTO Muhammad Zulsyamini
Ipoh: Operasi bersepadu diketuai Jabatan Imigresen (JIM) di dua kilang pembuatan sarung tangan getah, hari ini menahan 79 warga Bangladesh yang dipercayai melakukan pelbagai kesalahan termasuk salah guna pas lawatan ke Malaysia.

Serbuan di kilang pertama di Kawasan Perindustrian Kanthan, Chemor menahan 56 orang, manakala 23 orang lagi ditahan di kilang kedua di kawasan sama.

Pengarah JIM Perak, Datuk James Lee berkata, selain salah guna pas lawatan, pekerja asing yang ditahan turut tinggal lebih masa, selain pengurusan kilang yang bernaung di bawah satu syarikat induk dipercayai menggaji pekerja asing yang didaftarkan ke atas sektor lain.

"Operasi malam ini kita buat di dua tempat yang kedua-duanya adalah kilang sarung tangan getah berlainan tetapi macam di bawah satu 'mother company' (parent company).

"Kesemua yang ditahan kita akan bawa ke pejabat untuk siasatan lanjut. Operasi malam ini turut disertai Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)," katanya pada sidang media di tapak operasi.

James berkata, siasatan awal mendapati antara kesalahan yang dilakukan adalah melanggar Peraturan 39B Peraturan-peraturan Imigresen 1963, manakala JTK sedang memeriksa kesalahan lain dilakukan di bawah perundangan JTK.

Katanya, syarikat itu juga pernah diserbu tahun lalu dan kali ini adalah serbuan kedua yang menyaksikan kesalahan berulang oleh pengurusan kilang.

"Jadi sebab itulah kita akan pastikan siasatan dibuat secara mendalam dan kita akan cuba dakwa majikan bersama," katanya yang bertegas tidak melepaskan mana-mana majikan yang melakukan kesalahan.

Polis Abu Dhabi tahan 375 individu rakam video, sebar maklumat palsu

Buletin TV3 

ABU DHABI: Polis Abu Dhabi menahan 375 individu kerana merakam video atau “menyebarkan maklumat palsu” ketika konflik di Asia Barat yang menyaksikan Tehran melancarkan siri serangan ke atas beberapa Negara Teluk.

Penahanan terbaharu itu diumumkan pihak berkuasa Abu Dhabi ketika negara-negara Teluk memperketat tindakan terhadap penyebaran rakaman dan hantaran berkaitan serangan Iran sepanjang konflik yang tercetus susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.

“Polis Abu Dhabi mengumumkan penahanan 375 individu daripada pelbagai kewarganegaraan kerana merakam di lokasi berbeza dan menyebarkan maklumat palsu berkaitan perkembangan semasa di platform media sosial,” menurut kenyataan polis di platform X.

Menurut kenyataan itu, kesemua individu terbabit telah dirujuk kepada pihak Pendakwa Raya.

Langkah sama turut dilaksanakan di seluruh Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan beberapa Negara Teluk, ketika Iran melancarkan serangan ke atas aset Amerika Syarikat serta infrastruktur awam termasuk mercu tanda, kemudahan minyak dan gas, lapangan terbang serta kawasan kediaman.

Beberapa Negara Teluk menanggung kesan utama serangan Iran sebagai tindak balas terhadap kempen ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel, dengan serangan berterusan meskipun gencatan senjata rapuh selama dua minggu diumumkan. — AFP

Iran hentikan trafik kapal tangki di Selat Hormuz susulan serangan Israel ke atas Lubnan

Bernama-Anadolu
ANGGOTA penyelamat di lokasi serangan Israel di Al-Mazraa, Beirut, Lebanon, pada 8 April 2026. FOTO REUTERS/Yara Nardi
ANGGOTA penyelamat di lokasi serangan Israel di Al-Mazraa, Beirut, Lebanon, pada 8 April 2026. FOTO REUTERS/Yara Nardi
Istanbul: Pergerakan kapal tangki minyak yang melalui Selat Hormuz telah dihentikan susulan serangan Israel ke atas Lubnan, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik Agensi Berita Fars Iran.

Laporan itu menyebut pergerakan kapal tangki dihentikan selari dengan serangan Israel, tanpa memberikan butiran operasi lanjut.

Terdahulu pada hari yang sama, selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menerima syarat Iran dan gencatan senjata diwujudkan, dua kapal tangki minyak telah diberikan kebenaran untuk melalui laluan air strategik itu dengan selamat, kata Fars.

Tentera Israel pada Rabu menyatakan ia menyerang lebih 100 tapak "dalam tempoh 10 minit" merentasi pelbagai kawasan di Beirut, Lembah Beqaa, dan selatan Lubnan, sekali gus menandakan serangan terkoordinasi "terbesar" sejak bermulanya serangan semasa.

Trump pada Selasa mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu dengan Iran, dengan menyatakan bahawa Tehran membentangkan cadangan 10 perkara yang "boleh dilaksanakan" untuk rundingan.

Pengumuman gencatan senjata itu dibuat kurang dua jam sebelum tamat tempoh tamat yang berulang kali dilanjutkan oleh Trump untuk Iran membuka semula Selat Hormuz dan menerima perjanjian atau berhadapan dengan "kemusnahan seluruh tamadun."

Israel terus serang Lubnan, ramai terkorban termasuk kanak-kanak

Buletin TV3 
Asap kelihatan dari lokasi serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah kawasan di bandar selatan Lubnan, Sidon. – Foto AFP
BEIRUT: Israel meneruskan serangan di Lubnan dengan melakukan operasi udara menyasarkan kawasan tengah Beirut pada Rabu beberapa jam selepas pengumuman gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Penduduk dilihat berlari di jalanan untuk mendapatkan perlindungan dalam serangan paling hebat ke atas tengah Beirut sejak tercetusnya semula permusuhan antara Israel dan Hizbullah yang disokong Iran.

Kawasan itu diserang tanpa sebarang amaran, menurut wartawan dpa di ibu negara Lubnan. Hospital turut menggesa penduduk untuk menderma darah.

Iran dan AS bersetuju dengan gencatan senjata selama dua minggu serta pembukaan semula secara sementara Selat Hormuz semalaman melalui perjanjian saat akhir bagi mengelakkan gelombang besar serangan yang diancam oleh Presiden AS, Donald Trump.

Perjanjian yang diusahakan melalui perantaraan Pakistan itu mendapat pujian daripada ahli politik di seluruh dunia, namun kebimbangan masih wujud terhadap keadaan di Lubnan.

Tentera Israel mengumumkan pemberhentian serangan ke atas sasaran Iran, tetapi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menegaskan bahawa Lubnan tidak termasuk dalam gencatan senjata itu.

Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam, mengesahkan Israel menyerang kawasan padat penduduk di negara itu dan membunuh orang awam tidak bersenjata.

Menurutnya, Israel masih mengabaikan segala usaha serantau dan antarabangsa untuk menghentikan perang, malah langsung tidak menghormati prinsip undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan, yang memang tidak pernah dipatuhinya.

Menteri Kesihatan Lubnan, Rakan Nassereddine, memberitahu Al Jazeera bahawa hospital kini sesak dengan jenazah dan mangsa cedera susulan serangan udara Israel ke atas Beirut dan kawasan lain.

Pada masa sama, Agensi Berita Nasional Lubnan turut melaporkan satu serangan Israel ke atas bandar pesisir Adloun yang mengorbankan tiga kanak-kanak perempuan.

Serangan itu adalah antara puluhan serangan serentak di seluruh Lubnan yang mengakibatkan ratusan orang terbunuh dan cedera.

Serangan Israel ke atas konvoi upacara pengebumian di timur Lubnan pula ragut sekurang-kurangnya 10 nyawa selain mencederakan empat lagi yang menghadiri upacara pengebumian, menurut Agensi Berita Nasional Lubnan.

Agensi itu memaklumkan pasukan penyelamat dan perubatan masih menjalankan operasi di lokasi kejadian. – AGENSI