"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi beri amaran risiko kerjasama Madani Mart dengan kementerian, Jualan Rahmah

N Faizal Ghazali

Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli memberi amaran bahawa pembukaan kedai runcit Madani Mart oleh Yayasan Madani boleh menimbulkan kebimbangan tertentu kerana ia melibatkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang juga bertanggungjawab dengan program Jualan Rahmah.

Rafizi menyorot bahawa, ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Madani terdiri daripada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh; seorang setiausaha politik perdana menteri dan seorang setiausaha politik menteri kewangan - dipercayai merujuk kepada Farhan Fauzi dan Kamil Munim, berdasarkan laman web Yayasan Madani.

Kata Rafizi, konsep perniagaan Madani Mart oleh Yayasan Madani itu secara jelas menggambarkan ia adalah usaha kerajaan.

“Walaupun Fuziah kata dia (Madani Mart) tidak melibatkan wang kerajaan, tapi kalau semak lagi, dia (Fuziah) kata ini kerjasama strategi dengan KPDN dan melibatkan Jualan Rahmah.

“Jadi saya fahamlah risiko-risikonya kerana Jualan Rahmah ini melibatkan peruntukan beratus-ratus juta ringgit setahun, pembekal-pembekal berebut-rebut untuk menjadi pembekal untuk Jualan Rahmah kerana bila dia jual kepada kerajaan, dia dapat harga biasa, mungkin harga yang lebih tinggi pun.

“Tapi bila dijual kepada orang ramai tu, setiap satu kilogram (misalnya) itu kemudian diberikan subsidi oleh kerajaan.

“Jadi bila Madani Mart ini diusahakan oleh timbalan menteri KPDN (Fuziah) yang bertanggungjawab dengan Jualan Rahmah, ada risiko besar kerana kerjasama strategik itu bermakna timbul risiko,” katanya kepada media pada majlis Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pandan di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim melancarkan pembukaan Madani Mart pertama di Indera Mahkota, Kuantan di Pahang.

Pada majlis itu, Jualan Rahmah turut berlangsung sempena pembukaan cawangan pertama Madani Mart.

Fuziah sebelum ini berkata untuk Madani Mart, kerajaan tidak mengeluarkan sebarang modal bagi pembukaan cawangan pertamanya.

Dia turut memberitahu pihaknya menyasarkan pembukaan berperingkat model perniagaan itu sehingga 640 unit di seluruh negara.

Tak adil kepada peniaga runcit lain

Mengulas lanjut Rafizi berkata antara senario lain yang dibimbanginya adalah apabila pembekal Jualan Rahmah disyaratkan untuk menjadi pembekal barangan Madani Mart pada harga yang murah.

“Yang itu dah tak adil, itu dah ada unsur-unsur yang boleh dipersoalkan. Sama juga contohnya, kalau Jualan Rahmah itu adalah daripada peruntukan kerajaan dan dia sepatutnya cuba dijual di seberapa banyak tempat yang boleh, lebih banyak tempat lebih baik.

“Kalau Jualan Rahmah itu adalah di Madani Mart, ia tidak adil kepada penjual-penjual lain. Kerana kerajaan memilih untuk menyalurkan subsidi dan peruntukan Jualan Rahmah itu kepada kedai-kedai yang dimiliki oleh Yayasan Madani yang diusahakan oleh tiga orang pemimpin PKR ini.

“Jadi ini adalah perkara-perkara yang saya ingat kalau orang nak tanya, wajar ditanyalah,” jelasnya.

Tambahnya, pelaksanaan Madani Mart perlu dipastikan tidak ada sebarang unsur-unsur tersebut, termasuk memastikan peruntukan Jualan Rahmah tidak bercampur ataupun pembekalnya tidak disyaratkan untuk menjadi pembekal kepada Madani Mart.

“Sebab untuk mengusahakan sesuatu kedai runcit pada harga jualan yang rendah sangat susah kerana kita terpaksa bersaing dengan rangkaian macam Speed Mart. Speed Mart ini, dia beli gudang dia tak beli karton.

“Apabila dia beli gudang, maka dia boleh beli pada harga yang sangat rendah. Jadi tidak adil kepada rangkaian-rangkaian kedai rucit yang lain atau kedai biasa kerana mereka terpaksa beli pada harga yang mahal dan margin yang rendah untuk jual kepada orang ramai.

“Tapi bila ada Madani Mart, kalau ia bersahabat dengan pembekal Jualan Rahmah ataupun disyaratkan Jualan Rahmah mesti dibuat di Madani Mart, maksudnya wujud unfair advantage (kelebihan tidak adil) dalam keadaan kedai-kedai itu sebenarnya dimiliki dan berkait rapat dengan PKR,” tegas Rafizi lagi.

“Tapi bila ada Madani Mart, kalau ia berkait dengan pembekal Jualan Rahmah ataupun disyaratkan Jualan Rahmah mesti dibuat di Madani Mart, maksudnya wujud unfair advantage (kelebihan tidak adil) dalam keadaan kedai-kedai itu sebenarnya dimiliki dan berkait rapat dengan PKR,” tegas Rafizi lagi.

Rafizi pertahan Langkah Kajang, 'Saya tak menyesal', katanya

Malaysiakini 

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, membidas kenyataan bekas setiausaha politik kepada allahyarham Abdul Khalid Ibrahim, Faekah Husin, yang menyifatkan nasib politiknya sebagai “kifarah” atau pembalasan.

Menjawab kritikan Faekah, Rafizi berkata dia tidak menyesal merancang melakukan langkah politik tersebut.

"I have no regret. If I go back to 2014 I would have done exactly the same thing. (Saya tidak menyesal. Jika kembali ke tahun 2014, saya akan lakukan perkara yang sama,” katanya dalam episod podcast bersama Malaysiakini.

Langkah Kajang merujuk kepada tindakan PKR mengosongkan kerusi DUN Kajang bagi memberi lauan kepada pilihan raya kecil sebagai langkah awal untuk menyingkirkan Khalid daripada jawatan menteri besar.

Ketika itu, ketua umum PKR, Anwar Ibrahim, sepatutnya menjadi calon, namun dihalang oleh keputusan Mahkamah Rayuan yang mensabitkannya atas pertuduhan liwat.

Isterinya, Wan Azizah Wan Ismail, kemudian bertanding dan dicalonkan sebagai Menteri Besar bagi menggantikan Khalid, sebelum jawatan itu akhirnya diberikan kepada Azmin Ali, yang ketika itu merupakan Timbalan Presiden PKR.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata langkah tersebut perlu bagi melindungi integriti PKR susulan penyelesaian luar mahkamah Khalid yang mencetuskan kontroversi dengan Bank Islam Malaysia Berhad berhubung pinjaman AS$18.5 juta yang cuba dituntut semula oleh bank itu.

Terdapat kekeliruan dalam penukaran nilai AS$18.5 juta tersebut, namun kadangkala dirujuk sekitar RM70 juta termasuk faedah.

Rafizi berkata persepsi dia dan beberapa pemimpin PKR lain, termasuk Saifuddin Nasution Ismail, adalah bahawa penyelesaian itu menjejaskan kedudukan Khalid, terutama kerana proses perjanjian tersebut tidak dijelaskan dengan baik.

Dia turut menafikan dakwaan – termasuk oleh Faekah – bahawa tujuan Langkah Kajang adalah untuk menjadikan Anwar sebagai Menteri Besar Selangor.

“Langkah Kajang bukan dimulakan untuk menjadikan Anwar sebagai Menteri Besar, tetapi berkaitan isu integriti melibatkan RM70 juta (penyelesaian).

“Namun atas sebab tertentu, naratif itu berjaya diubah sehingga dilihat sebagai usaha menyingkirkan Khalid dan menggantikannya dengan Anwar,” katanya.

"Langkah Kajang bermula is not about Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar, is about integriti bila soal RM70 juta..tapi for whatever reason narratif tu akhirnya berjaya ditukar seolah-olah ini untuk buang Tan Sri Khalid gantikan dengan Anwar Ibrahim," katanya.

Bekas Menteri Ekonomi itu berkata pemikiran yang sama turut mendorong usahanya kini dalam membongkar skandal yang digelar “mafia korporat”.

Dia menegaskan bahawa garis integriti adalah jelas dan negara tidak boleh mengamalkan dwistandard dalam menangani rasuah kerana ia boleh membawa kepada kehancuran.

“Saya rasa tenang, saya tidak berubah. Pada 2014, prinsipnya kita tidak boleh berkompromi soal integriti, walaupun kita simpati kepada Khalid, tetapi apa boleh buat?

“Begitu juga sekarang, sama ada melibatkan (Ketua SPRM) Azam Baki atau Anwar, saya perlu bangkit dan berdepan pelbagai pihak – atas sebab yang sama, iaitu soal integriti,” katanya.

Sementara itu, Rafizi turut menasihati Faekah agar tidak memutarbelitkan isu semasa dengan sentimen agama dengan mendakwa dia kini sedang menerima kifarah.

Rafizi berkata ulama terkenal dan bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Harun Din, pernah menegur pihak yang membuat spekulasi seseorang dihukum oleh Allah.

Katanya, kifarah adalah hak Tuhan untuk menentukannya dan bukan manusia.

Dia turut menggesa Faekah agar berhenti menunggang nama Khalid, sambil menyatakan bahawa tindakan itu hanya akan membuka kembali kisah-kisah negatif mengenai Allahyarham.

Dalam masa sama, dia memberi amaran bahawa mana-mana pihak dalam PKR yang cuba menggunakan Faekah sebagai senjata politik juga berisiko mengungkit semula perkara lama yang lebih baik dibiarkan terkubur.

Kelantan: Wang RM50,000 modal, hasil jual tong gas hangus dijilat api

ROHANA MOHD. NAWI
Anggota bomba memadam kebakaran rumah pusaka keluarga Shawal Anuar di Kampung Chabang Tiga, Kedai Buloh dekat Kota Bharu malam tadi. Foto oleh ROHANA MOHD. NAWI / KOSMO!
KOTA BHARU – Seorang peniaga hanya mampu berputih mata apabila wang tunai sebanyak RM50,000 yang juga modal dan hasil menjual tong gas petroleum cecair (LPG) hangus dalam kebakaran melibatkan lapan buah rumah di Kampung Chabang Tiga, Kedai Buloh di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu menyebabkan 30 tong LPG yang disimpan di kawasan bawah rumah jiran kepada Syawal Anuar Ariffin, 40, meletup.

Syawal Anuar berkata, wang perniagaan berjumlah RM50,000 termasuk modal pusingan yang disimpan di dalam almari dan bawah tilam hangus terbakar.
Menurutnya, ketika kejadian, dia bersama isteri dan anak-anak keluar bersiar-siar sebelum dihubungi oleh sepupunya yang memaklumkan kejadian itu.

“Setiba di kawasan rumah, saya lemah dan tidak mampu berkata apa-apa selepas melihat api sedang marak membakar kediaman pusaka ibu bapa.

“Saya sudah 16 tahun berniaga LPG di sini dan kebakaran itu menyebabkan 30 tong gas yang disimpan di bahagian bawah rumah jiran meletup,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini semalam.

Jirannya, Mohd. Faizul Mohd. Nor, 40, berkata, dia yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sekolah tidak jauh dari rumah bergegas pulang selepas mengetahui kejadian itu melalui kumpulan WhatApps.

“Letupan tong LPG berlaku lebih lima kali. Anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian sempat menyelamatkan rumah keluarga saya daripada hangus walaupun terletak bersebelahan dengan salah sebuah rumah yang terbakar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Komander perang Putin serta 22 pegawai Russia terbunuh apabila pesawat yang dinaiki rempuh tebing

KOSMO!
GAMBAR tidak bertarikh menunjukkan sebuah pesawat Antonov An-26. – AGENSI
MOSCOW –  Seramai 23  Russia termasuk komander perang Presiden Vladimir Putin terbunuh apabila pesawat tentera dinaiki mereka merempuh sebuah tebing tinggi, lapor akhbar The Sun.

Leftenan Jeneral Alexander Otroshchenko, 64, adalah komander utama Tentera Udara Russia sebelum terbunuh dalam nahas dramatik itu.

Kematian beliau disahkan oleh sumber kepada BBC Russia: “Ya, beliau meninggal dunia.”

Sekurang-kurangnya 23 yang lain turut terbunuh apabila pesawat pengangkut jenis An-26  itu terhempas di rantau Crimea, Rabu lepas.

Otroshchenko pernah mengarahkan operasi Russia di Syria. Mendiang juga  terlibat dalam merampas Semenanjung Crimea daripada Ukraine dalam tahun 2014.

Otroshchenko merupakan jeneral Russia ke-15 yang terbunuh dalam perang Ukraine.

Laporan tidak rasmi menunjukkan nahas berlaku di Lembah Belbek, berhampiran lapangan terbang tentera utama, dekat Sevastopol.

Lapangan Terbang Belbek sering menjadi sasaran tentera Ukraine.

Pasukan penyelamat tiba di lokasi nahas selepas pesawat itu hilang daripada radar dan menemui serpihan  di kaki cenuram.

“Tiada tanda-tanda kemusnahan di dalam pesawat,” kata seorang pegawai, menunjukkan nahas itu disebabkan oleh kesilapan manusia atau kerosakan dalaman.

Menurutnya, kemungkinan berlaku ‘kerosakan teknikal’  tetapi sumber Ukraine mendakwa pesawat itu mungkin ditembak jatuh secara tidak sengaja dalam insiden ‘friendly fire’. – AGENSI 

Kalau perkampungan PATI boleh wujud bertahun-tahun menunjukkan penguatkuasa makan gaji buta

Kampung haram dalam hutan di Setia Alam terbongkar, 214 PATI ditahan
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin (tiga dari kanan) memeriksa dokumen sebahagian warga asing yang ditahan dalam Ops bersepadu di sekitar Setia Alam, Shah Alam – Foto NSTP
Oleh: Mohd Haris Fadli Mohd Fazil

SHAH ALAM: Seramai 214 pendatang asing tanpa izin (PATI) dikesan di tiga perkampungan haram yang berselindung di tengah ladang kelapa sawit di sebalik kawasan berbukit di Setia Alam.

Helah itu terbongkar apabila sepasukan pegawai Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi lain menggempur perkampungan haram itu menerusi Ops Bersepadu Mega, tengah malam tadi.

Wartawan yang mengikuti operasi mendapati pasukan serbuan terpaksa mendaki kawasan berbukit-bukau sejauh kira-kira 400 meter sebelum sampai ke perkampungan haram itu.

Dalam usaha menangkap PATI terbabit, pasukan serbuan bukan sahaja perlu berdepan dengan kawasan persekitaran yang berbukit dan gelap malah berhadapan risiko haiwan berbisa.

Tinjauan di lokasi mendapati koloni warga asing itu walaupun terpencil, lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk surau, kedai runcit malah barangan bersubsidi seperti tong gas dan diesel malah mempunyai bekalan elektrik serta air.

Turut kelihatan beberapa sangkar ayam yang difahamkan kemungkinan berlaku aktiviti sabung ayam selain laluan tikus turut dikesan di sekitar kawasan itu dipercayai digunakan untuk melarikan diri sekiranya diserbu pihak berkuasa.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, ketiga-tiga penempatan itu dipercayai sudah wujud sejak lima ke sembilan tahun.

Katanya, secara keseluruhan pihaknya memeriksa 356 warga asing dalam operasi bersepadu itu dan menahan 214 disyaki PATI.

“Hasilnya, 214 disyaki PATI ditahan membabitkan 120 lelaki, 65 wanita, 16 kanak-kanak lelaki serta 13 kanak-kanak perempuan berusia satu bulan hingga 80 tahun.

“Semakan awal tangkapan membabitkan warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan dan Sri Lanka,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini, hari ini.

Menurutnya, rata-rata warga asing terbabit bekerja sebagai buruh serta pekerja pembersihan sekitar kawasan itu dan tidak menolak kemungkinan kampung haram itu memiliki ‘penjaga’ berperanan sebagai ketua yang memungut sewa bulanan.

Katanya, operasi itu dijalankan dengan bantuan Imigresen Putrajaya, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

DBKL sita gajet ‘ulat foto’ KLCC

HARRITH HISHAM
Antara peralatan atau gajet jurugambar jalanan yang disita DBKL
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan operasi penguatkuasaan secara tegas dan menyeluruh di sekitar Persiaran KLCC, Jalan Ampang dan Jalan P. Ramlee, di sini semalam.

Menurut DBKL, tiga tindakan sitaan diambil terhadap individu yang menjalankan aktiviti sebagai jurugambar tanpa kebenaran di kawasan awam.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat individu warga asing yang terlibat dalam aktiviti tersebut, manakala seorang lagi individu melibatkan warga tempatan.

“Sebarang aktiviti tidak berlesen, pelanggaran undang-undang serta tindakan yang menjejaskan imej bandar raya akan dikenakan tindakan tegas selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam operasi sama, DBKL turut mengeluarkan sebanyak enam notis kompaun terhadap kesalahan lalu lintas di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kenyataan itu menambah, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE

Nahas 3 maut: Cucu tak sangka datuk, nenek maut 200 meter dari rumah

FARAHWAHIDA AHMAD
Keadaan van yang dilanggar treler mengorbankan tiga nyawa di Kilometer 212, Jalan Johor Bahru-Seremban, Segamat petang semalam
SEGAMAT – Salah seorang cucu kepada tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan tragis di Kilometer 212, Jalan Johor Bahru – Seremban di sini petang semalam tidak menyangka kemalangan itu berlaku sangat dekat dari rumahnya.

Menurut R. Suganti, 22, datuknya, K. Myakrishnan, 71, dan neneknya S. Sevendai, 65, serta datuk saudaranya S. Palamiandy, 77, menaiki van berkenaan bersama dua lagi saudaranya, P. Hariharam, 22, dan P. Sugunya, 18, sewaktu kejadian.

“Mereka berada di persimpangan jalan hendak masuk ke taman perumahan iaitu dalam lima minit saja mereka boleh sampai. Tetapi malangnya tidak kesampaian kerana telah di hentam oleh treler itu dari belakang kena langgar. Bukan itu sahaja, dari depan pun kena langgar. Tiga orang ahli keluarga saya sudah meninggal dunia datuk, nenek dan datuk saudara saya sekaligus.

“Saya betul-betul tidak sangka hanya kira-kira 200 meter sahaja lagi mereka mahu sampai ke rumah mereka terlibat dalam kemalangan ini,”katanya ketika di temui di Taman Golden Hills, Gemas Baru, di sini hari ini.

Tambah Suganti, salah seorang sepupunya, P. Sugunya, dalam keadaan kritikal di mana hanya 10 peratus sahaja harapan untuk sembuh manakala P. Hariharam mengalami kecederaan patah kaki dan menjalani pembedahan.

Kira-kira 200 orang terdiri daripada saudara-mara dan sahabat handai mendiang serta kenalan memberikan penghormatan terakhir sebelum mayat mereka dibawa ke pusat pembakaran di Bahau, Negeri Sembilan petang tadi.

Mayat mendiang Palamiandy telah dibawa ke kediamannya di Palong, Negeri Sembilan dan dijangka di bakar esok.-KOSMO! ONLINE

Jet F-15E Strike Eagle AS ditembak jatuh Iran

Bernama-Anadolu-Xinhua
PESAWAT F-15E Strike Eagle milik Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) berlepas untuk misi Operasi Epic Fury di satu lokasi rahsia pada 9 Mac lalu. FOTO US Air Force / AFP
PESAWAT F-15E Strike Eagle milik Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) berlepas untuk misi Operasi Epic Fury di satu lokasi rahsia pada 9 Mac lalu. FOTO US Air Force / AFP
Washington: Sebuah jet pejuang Amerika Syarikat (AS) telah ditembak jatuh oleh Iran, lapor Anadolu Ajansi yang memetik laporan Axios pada Jumaat.

Memetik media Iran dan satu sumber yang mengetahui insiden itu, Axios menyatakan bahawa jika disahkan, ia kali pertama sejak permulaan konflik, sebuah jet AS ditembak jatuh oleh tembakan "musuh".

Terdahulu, media kerajaan Iran menyiarkan gambar dan video yang didakwa menunjukkan serpihan dari lokasi nahas, termasuk bahagian pesawat dan satu daripada kerusi lenting.

Penilaian awal berdasarkan imejan menunjukkan pesawat itu mungkin sebuah jet pejuang F-15.

Di Washington, Pentagon tidak segera memberi respons terhadap permintaan untuk komen daripada Anadolu.

Secara berasingan, memetik individu yang mengetahui perkara itu, Wall Street Journal melaporkan bahawa operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan bagi mengesan kru jet pejuang berkenaan.

Sementara itu, Gabenor wilayah Kohgiluyeh dan Boyer-Ahmad di Iran, Yadollah Rahmani, menggesa penduduk di kawasan puak dan luar bandar membantu pihak berkuasa mengesan "juruterbang musuh", lapor Xinhua.

Beliau menambah bahawa pasukan keselamatan, penguat kuasa undang-undang dan tentera sedang memantau situasi itu dengan teliti.

Rahmani turut berkata, individu yang berjaya menangkap atau melumpuhkan pasukan musuh akan diberi "penghargaan" secara rasmi oleh pihak pentadbiran wilayah.

Terdahulu pada Jumaat, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran berkata sistem pertahanan udaranya telah menembak jatuh sebuah jet pejuang F-35 milik AS di ruang udara tengah Iran, sambil menambah nasib juruterbangnya masih belum diketahui.

Tentera AS berjaya menyelamatkan juruterbang yang jetnya ditembak jatuh di Iran

KOSMO!

WASHINGTON – Seorang juruterbang diselamatkan, manakala pencarian juruterbang kedua diteruskan selepas sebuah jet pejuang F-15 milik tentera Amerika Syarikat (AS) ditembak jatuh di Iran, demikian menurut beberapa laporan.

Juruterbang itu diselamatkan oleh tentera Amerika Syarikat, kata dua pegawai AS kepada saluran berita CBS.

Dua sumber pula memberitahu saluran berita CNN bahawa juruterbang yang diselamatkan masih hidup dan menerima rawatan.

Menurut sumber, seorang juruterbang jet F-15E itu sempat melepaskan diri dengan menggunakan kerusi anjal sebelum pesawat terhempas.

Pegawai-pegawai AS bertungkus lumus untuk menemukan juruterbang kedua sebelum dia ditangkap oleh tentera Iran.

Rakaman media sosial menunjukkan dron-dron, pesawat dan beberapa helikopter Amerika terbang di kawasan pergunungan di Iran dalam pencarian tersebut.– AGENSI

Budak 9 tahun diletak dalam sangkar diselamatkan

NOR AINNA HAMZAH
Gambar tular kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dalam sebuah sangkar di sebuah rumah rakyat di Port Dickson, Selasa lalu.
PORT DICKSON – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyelamatkan kanak-kanak warga asing yang diletakkan dalam sebuah sangkar di sebuah rumah rakyat di daerah ini, di sini, Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Muhammad Yusry Che Dah berkata, kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun berkenaan kini ditempatkan di sebuah pusat penjagaan hasil persetujuan daripada keluarganya.

“JKM dapat laporan pada Isnin lalu, namun semasa tinjauan kali pertama ke lokasi aduan, kanak-kanak berkenaan serta keluarga gagal ditemui. Bagaimanapun, keesokkan harinya, kita ke lokasi yang sama dan berjaya menemukan kanak-kanak tersebut.

“Kanak-kanak ini yang merupakan warga Vietnam ditemukan dalam keadaan berbau busuk serta kotor. Kita telah membawa kanak-kanak ini untuk menjalani pemeriksaan di Hospital Port Dickson dan kanak-kanak ini telah dibenarkan keluar pada hari yang sama,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.

Terdahulu, tular sejak pagi tadi gambar kanak-kanak berkenaan berada di dalam sebuah sangka dan menurut maklumat yang dikongsikan, kanak-kanak itu dijaga datuknya yang uzur, manakala bapanya pula menghidap dementia serta tidak mampu menyara keluarga.

Lebih menyedihkan, mangsa turut tercicir daripada sistem pendidikan berikutan kegagalan waris memberikan kerjasama untuk urusan pendaftaran sekolah. – KOSMO! ONLINE

Remaja tergamak bunuh datuk, nenek kerana halang hubungan dengan teman lelaki

AFP

Reims, Perancis: Seorang gadis berusia 16 tahun di Perancis dan teman lelakinya berusia 15 tahun mengaku menikam datuk neneknya sehingga mati selepas mereka menentang hubungan mereka, menurut pihak pendakwa pada Khamis.

Gadis itu tinggal bersama datuk neneknya, yang juga penjaga sahnya, di Villers-Semeuse, sebuah bandar kecil dengan 3,700 penduduk, yang mana datuk nenek tersebut digambarkan sebagai anggota komuniti tempatan yang "sangat aktif."

Pendakwa awam Francois Schneider berkata gadis itu memberitahu penyiasat bahawa dia telah merancang pembunuhan itu lebih awal, dan teman lelakinya bersetuju untuk mengambil bahagian.

Teman lelaki itu menyelinap ke rumah pada hujung minggu, menyebabkan neneknya marah apabila menemui dia di bilik cucunya pada pagi Isnin, menurut pihak pendakwa.

Gadis itu memberitahu penyiasat bahawa dia kemudian mula menikam neneknya, 71 tahun. Apabila datuknya, 74, terdengar jeritan dan bergegas ke tempat kejadian, teman lelakinya menikam datuk itu, menurut pendakwa.

Remaja-remaja itu telah menyebabkan sebanyak enam luka tikaman pada nenek dan lima pada datuk, kata Schneider.

Polis menemui mayat mereka di ruang bawah tanah rumah pada pagi Selasa.

Remaja-remaja itu ditangkap pada petang yang sama di kawasan perindustrian berdekatan, selepas membeli tiga telefon bimbit mewah menggunakan ribuan euro yang mereka jumpa dalam sebuah kotak di bilik datuk nenek mereka, kata Schneider.

Gadis itu memberitahu penyiasat bahawa neneknya menamparnya kerana menentang hubungannya dengan teman lelakinya, menurut pendakwa.

Gadis itu boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun jika tidak dibicarakan sebagai remaja, manakala teman lelakinya sehingga 20 tahun.
-Hmetro 

'Geng Ashraf' seludup migran warga Bangladesh tumpas

Farhan Hakimi
GENG ASHRAF  Kredit: Jabatan Imigresen Malaysia
Sindiket itu terbongkar dalam serbuan di sebuah rumah yang digunakan sebagai tempat persembunyian dan transit imigran haram di kawasan lot kedai di sekitar Ampang, ibu negara pada awal pagi Jumaat (3 April). - Foto: Jabatan Imigresen Malaysia
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket penyeludupan migran warganegara Bangladesh yang dikenali sebagai “Geng Ashraf”.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dalam satu kenyataan berkata, sindiket itu terbongkar dalam serbuan di sebuah rumah yang digunakan sebagai tempat persembunyian dan transit imigran haram di kawasan lot kedai di sekitar Ampang, ibu negara pada awal pagi Jumaat (3 April).

"Dalam serbuan ini, pasukan operasi terpaksa memecahkan pagar dan pintu utama rumah sebelum berjaya masuk untuk membuat pemeriksaan dan seterusnya berjaya menahan 27 lelaki warganegara Bangladesh yang disyaki telah diseludup masuk ke Malaysia.

"Berdasarkan maklumat awal, imigran-imigran ini telah masuk ke negara jiran sekitar tiga hari yang lepas sebelum diseludup masuk ke Malaysia," katanya.

Ujar Zakaria, turut ditangkap, tiga lelaki warganegara Bangladesh yang disyaki sebagai ahli sindiket yang bertindak sebagai fasilitator dan penjaga rumah transit.

Tambah beliau, sindiket itu yang dipercayai aktif sejak Januari 2025 menyediakan perkhidmatan membawa masuk warganegara asing ke dalam negara menggunakan laluan negara ketiga dan masuk secara haram melalui Kelantan dan akan dibawa terus ke Lembah Klang sebelum dihantar ke destinasi-destinasi tertentu.

"Dengan kadar bayaran sehingga RM8,000 bagi setiap imigran yang diseludup, sindiket dianggarkan telah mengaut keuntungan sekitar RM2.4 juta sejak beroperasi.

"Kesemua imigran yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 49 tahun tersebut ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007(ATIPSOM)," jelasnya dalam kenyataan itu.

Tegas beliau, JIM akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

2 remaja maut, 1 parah kereta rempuh tembok konkrit lebuh raya

FMT Reporters

PETALING JAYA: Dua remaja maut manakala seorang cedera parah selepas kereta Perodua Ativa dinaiki mereka terbabas dan melanggar tembok konkrit di susur KM14, Lebuhraya Iskandar Sultan di Johor Bahru awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor Bahru Utara Radin Ramlan Radin Taha berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu kira-kira 4.25 pagi.

Beliau berkata kejadian itu menyebabkan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang juga pemandu dan remaja perempuan berusia 16 tahun yang berada di bahagian penumpang hadapan maut.

Katanya, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang duduk di bahagian penumpang belakang cedera parah.

“Kenderaan itu dalam perjalanan dari Johor Bahru menghala ke Tampoi sebelum dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tembok konkrit di sebelah kiri jalan,” katanya dalam kenyataan lapor Bernama.

Beliau berkata mangsa mengalami kecederaan parah pada kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan.

Sementara itu, penumpang di bahagian belakang mengalami kecederaan parah pada tangan kanan dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disyaki tikam lelaki dengan parang, penganggur direman 3 hari

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
Penganggur direman selepas disyaki menikam lelaki dengan parang. FOTO Alias Abd Rani
Penganggur direman selepas disyaki menikam lelaki dengan parang. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: Penganggur direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana disyaki menikam lelaki dengan parang dalam insiden pergaduhan di sebuah rumah di Sri Medan, di sini, semalam.

Perintah reman terhadap suspek berusia 51 tahun dikeluarkan oleh Majistret Arun Noval Dass sehingga Ahad ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Selain itu, tempoh reman juga bagi membolehkan kawad cam dijalankan memandangkan terdapat saksi melihat insiden itu berlaku.

Menurut laporan, bapa mangsa berusia 64 tahun diberitahu oleh jiran bahawa anak lelakinya berusia 30-an dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) selepas ditikam seorang lelaki.

Siasatan polis mendapati, sebelum kejadian itu mangsa datang ke rumah tertuduh dan berlaku perselisihan antara mereka berdua.

Pertengkaran itu bagaimanapun mencapai kemuncaknya apabila suspek mengambil parang lalu menikam mangsa.

Tikaman itu mengena pinggang mangsa hingga cedera parah.

Susulan laporan dibuat, polis menjalankan siasatan dan menahan suspek di rumahnya pada 10.30 malam hari yang sama bagi membantu siasatan.

Selain itu, polis turut merampas senjata dipercayai digunakan untuk menikam mangsa serta barangan dipakai ketika kejadian.

Wanita cedera jatuh landasan LRT di Stesen Abdullah Hukum

FMT Reporters

Bomba berkata mangsa mengalami kecederaan di bahagian tangan dan muka.
Bomba berkata mangsa yang mengalami kecederaan pada tangan dan muka, dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan sementara selepas seorang penumpang dilaporkan tergelincir sebelum terjatuh di landasan Stesen Abdullah Hukum.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian tersebut berlaku pada 6.09 petang tadi.

“Sebagai langkah keselamatan, pihak operasi menyahaktifkan bekalan kuasa di stesen tersebut bagi memberi laluan pada kerja-kerja menyelamat daripada pihak polis, bomba dan ambulans,” katanya.

Rapid Rail berkata, perkhidmatan tren di antara stesen Universiti, Kerinchi dan Abdullah Hukum diberhentikan buat sementara waktu.

Tambahnya, perkhidmatan tren alternatif, termasuk perkhidmatan bas perantara percuma telah diaktifkan bagi menyokong operasi.

“Pihak Rapid Rail akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyiasat kejadian tersebut.

“Kami memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas akibat daripada kejadian dan kelewatan perjalanan yang berlaku pada petang ini,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Bomba Kuala Lumpur turut mengesahkan kejadian yang membabitkan seorang wanita berusia 39 tahun.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan di bahagian tangan dan muka.

“Mangsa berjaya dikeluarkan pada 6:38 petang dan diberi rawatan awal seterusnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

(Video) Lelaki 54 tahun ditahan tunjuk kemaluan depan dua budak perempuan

MOHD SHARKAWI LONDING
TANGKAP layar video yang tular memaparkan dua budak perempuan lari selepas seorang lelaki dalam kereta menunjukkan kemaluannya dalam kejadian di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU – Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai menunjukkan kemaluan kepada dua kanak-kanak perempuan di Bandar Baru Uda di sini semalam.

Video tular berdurasi 44 saat itu memaparkan dua kanak-kanak tersebut sedang berjalan sebelum berhenti dan bercakap dengan seseorang dari dalam sebuah kereta berwarna hitam.

Kedua-dua mereka kelihatan terkejut sebelum melarikan diri, manakala kenderaan tersebut pula beredar dari lokasi tidak lama selepas itu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, pihaknya mengesan video itu di Facebook dan menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada pukul 4.46 petang.

“Laporan dibuat seorang lelaki berusia 33 tahun yang juga bapa salah seorang kanak-kanak tersebut. Siasatan mendapati kejadian berlaku pukul 1 tengah hari semalam.

“Bapa kanak-kanak itu memaklumkan anaknya yang berusia 12 tahun dan anak saudara berusia 10 tahun dipanggil pemandu kereta Honda Accord. Lelaki itu bertanyakan tandas sebelum menunjukkan kemaluannya kepada kedua-dua kanak-kanak tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, bertindak atas maklumat, anggota Unit Siasatan Jenayah Khas (D9) Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Johor Bahru Utara menahan suspek berusia 54 tahun di sebuah rumah di Masai di sini pada pukul 11 malam tadi.-KOSMO! ONLINE

Polis kesan lelaki disyaki lakukan gangguan seksual di stesen MRT

Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my
TANGKAP layar video tular mendakwa lelaki melakukan gangguan seksual di pintu keluar Stesen MRT Kajang.
TANGKAP layar video tular mendakwa lelaki melakukan gangguan seksual di pintu keluar Stesen MRT Kajang.
Kajang: Polis sedang mengesan lelaki dipercayai lakukan gangguan seksual di pintu keluar Stesen MRT Kajang seperti tular di aplikasi Threads.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, video berdurasi 23 saat memaparkan kejadian itu dikesan tular sejak 9 pagi semalam dan siasatan turut dijalankan di lokasi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan," katanya dalam kenyataan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil menyalurkannya di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Kajang di talian 03-89114222 atau pegawai penyiasat, Sarjan Nor Atiqah Anuar di talian 013-7948922.

Dicekup di rumah ibu tunggal selepas gaduh dengan isteri

KOSMO!
SEORANG lelaki berstatus suami dicekup berkhalwat bersama ibu tunggal dua anak selepas dikatakan bergaduh dengan isterinya dalam serbuan di Krubong, Melaka, semalam. Foto ihsan JAIM
MELAKA – Seorang lelaki berstatus suami orang dicekup berkhalwat bersama seorang ibu tunggal selepas dikatakan bergaduh dengan isterinya di Krubong, di sini, semalam.

Lelaki berusia 34 tahun itu dan wanita terbabit 40 tahun ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam serbuan kira-kira pukul 11.15 pagi.

Menurut sumber, tangkapan itu dilakukan hasil maklumat orang awam yang curiga dengan kehadiran lelaki tersebut di kediaman wanita berkenaan.

“Hasil soal siasat, lelaki terbabit yang bekerja sebagai subkontraktor memberitahu dia datang ke rumah wanita berstatus ibu tunggal dua anak itu selepas bergaduh dengan isterinya.

“Bagaimanapun, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana perbuatan bersekediaman walaupun ditemani anak tetap melanggar hukum syarak,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, pasangan itu kemudian ditahan bersama dua anak wanita berkenaan, masing-masing lelaki dan perempuan berusia 18 dan 21 tahun, bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana berkhalwat atau berkurung yang mendatangkan syak.- KOSMO! ONLINE

Remaja ditemukan maut, polis jalankan siasatan lanjut

Noor Hidayah Tanzizi

SUNGAI BULOH: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun ditemui tidak sedarkan diri, sebelum disahkan meninggal dunia di sebuah rumah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mangsa pada jam 6.27 petang, sebelum anggota digerakkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun katanya, pegawai perubatan Hospital Sungai Buloh yang berada di tempat kejadian mengesahkan remaja tempatan itu sudah meninggal dunia.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematiannya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Setakat ini, polis sudah mengambil keterangan tiga saksi untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Seksyen itu memperuntukkan kesalahan terhadap mana-mana individu yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak yang mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak berkenaan kepada kecederaan fizikal atau emosi.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Mohd Hafiz menegaskan, kes berkenaan masih dalam siasatan dan menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes, diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Amirul Amin Shukor di talian 013-6695290.

Inkues: Diari dedah kesakitan psikologi Zara Qairina - Pakar Psikiatri

Olivia Miwil
am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Kandungan diari Allahyarham Zara Qairina Mahathir mendedahkan kesakitan psikologi yang dialaminya, Mahkamah Koroner diberitahu hari ini.

Peguam Datuk Ram Singh menyoal saksi pakar, Dr Chua Sze Hung, berhubung frasa konflik dengan ibu bapa dalam laporan autopsi psikologi beliau.

Menjawab soalan itu, saksi yang juga Pakar Perunding Psikiatri Forensik itu berkata konflik berkenaan merujuk kepada hubungan antara Zara Qairina dan ibunya, Noraidah Lamat, seperti direkodkan dalam diari.

Dokumen itu diteliti bagi menghasilkan laporan setebal 84 muka surat yang merumuskan cara kematian Zara Qairina adalah konsisten dengan bunuh diri.

Dr Chua berkata, catatan diari menunjukkan kemarahan dan kekecewaan Zara Qairina, termasuk penggunaan kata-kata kesat terhadap ibunya.

Diari itu juga menyatakan Zara Qairina pernah dipukul pada kaki kerana menggunakan telefon bimbit serta sering dimarahi dengan kata-kata negatif.

Dr Chua berkata, walaupun tidak dapat dipastikan kesahihan dakwaan itu, diari berkenaan mencerminkan persepsi Zara Qairina terhadap ibunya.

"Dalam satu catatan pada Februari 2025, si mati (Zara Qairina) menyebut ibunya gemar menggunakan kata-kata kesat dan tidak bersetuju dengan apa sahaja yang dilakukannya.

"Dia menantikan untuk ke sekolah berasrama kerana mahu berjauhan daripada ibunya dan mendapatkan ketenangan. Dia juga menyatakan lebih rela dibuli dan barangnya dicuri daripada tinggal di rumah mendengar leteran ibunya.

"Pada Jun 2025, dalam diari W2, si mati mempersoalkan mengapa hidupnya malang. Dia menyebut pelajar senior berdendam terhadapnya. Ibunya membenci dan menuduhnya secara tidak benar manakala bapanya melayannya dengan buruk.

"Dia menyatakan dirinya bersendirian. Dia mengharapkan berada jauh dari rumah dan tinggal di asrama memberi ketenangan, namun sebaliknya. Dia menyebut tidak mempunyai kekuatan mental dan menjangkakan kematiannya jika keadaan tidak berubah.

"Pelbagai catatan dalam diari menunjukkan atau sekurang-kurangnya konflik yang dirasainya menyebabkan kesakitan psikologi yang besar," katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada hari ke-63 inkues di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Chua berkata, sudah lumrah untuk cuba mengaitkan bunuh diri dengan satu faktor sahaja, namun hakikatnya ia jarang berlaku.

Katanya, kebiasaannya kejadian itu berpunca daripada gabungan pelbagai faktor.

"Konflik keluarga hanyalah salah satu faktor risiko. Faktor-faktor ini akhirnya membentuk individu yang terdedah.

"Individu yang terdedah, bersama faktor ketidakstabilan akut dan pada malam kejadian, tiada mekanisme daya tindak, struktur atau sokongan yang mencukupi. Kejadian malang itu berlaku," katanya.

Pada 16 Julai kira-kira jam 3 pagi, Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama SMKA Tun Datu Mustapha sebelum disahkan meninggal dunia keesokannya.

Inkues akan disambung semula pada 13 April.

Tiga sekeluarga maut, dua parah kemalangan tiga kenderaan

FARAHWAHIDA AHMAD
KEADAAN kemalangan melibatkan sebuah van dan treler serta lori di Kilometer 212 Jalan Johor Bahru-Seremban berhampiran kawasan simpang ke arah Taman Golden Hill, Gemas Baru, Segamat hari ini. Foto IHSAN BOMBA
SEGAMAT – Tiga sekeluarga maut manakala dua yang lain cedera parah dalam nahas melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 212, Jalan Johor Bahru-Seremban berhampiran kawasan simpang ke arah Taman Golden Hill, Gemas Baru, Segamat, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 3.45 petang itu melibatkan sebuah treler, van dan sebuah lori 10 tan.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah van yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berumur 70-an bersama empat orang penumpang berumur lingkungan 20-an hingga 60-an bergerak dari arah Segamat menghala masuk simpang ke arah Taman Golden Hill, Gemas Baru.

“Kenderaan berkenaan telah dilanggar di bahagian belakang kiri oleh sebuah treler yang bergerak di belakang van yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 20-an.

“Akibat pelanggaran pertama, van telah termasuk ke laluan bertentangan dan dilanggar di bahagian hadapan oleh sebuah lori 10 tan yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 30-an.

“Dalam kejadian ini, pemandu van dan dua penumpang yang dipercayai ahli keluarga telah mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kesemua mangsa maut di bawa ke Hospital Segamat untuk bedah siasat manakala dua lagi penumpang van mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di hospital sama.

Tambahnya, pemandu treler dan lori 10 tan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes telah disiasat di bawah seksyen 41 (1) akta pengangkutan jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

“Pihak polis memohon saksi awam yang melihat kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mega Rajiman di talian 07-9325811 untuk membantu siasatan atau mana-mana balai polis berhampiran,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Suami kerap bonceng wanita lain, isteri campak motosikal dalam laut

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan wanita itu membuang motosikal milik suaminya ke dalam laut. - TikTok
JAKARTA – Seorang wanita di Halmahera Selatan, wilayah Maluku Utara nekad membuang motosikal milik suaminya ke dalam laut selepas mendapati kenderaan itu kerap dinaiki oleh wanita lain, lapor portal berita Lambe Turah. 

Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @aujiaulia menunjukkan wanita itu menolak motosikal tersebut ke sebuah dermaga sebelum ditolak ke dalam laut. 

Menurut wanita itu, tindakan tersebut dilakukan selepas mendapati suaminya kerap membawa wanita lain. 

Rakaman itu menjadi tular dan sebilangan netizen menyifatkan tindakan sedemikian sebagai amaran keras kepada suami yang berlaku curang. 

“Seeloknya motosikal itu dijual, wang itu boleh buat pelbagai benda,” kata seorang netizen. 

“Motosikal itu tidak salah, yang bersalah adalah suami anda” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

Empat ditahan dakwaan deraan seksual di rumah amal tanpa lesen

Malaysiakini 

Empat individu yang dikaitkan dengan sebuah rumah amal kanak-kanak di Taman Selayang Permata telah ditahan selepas beberapa penghuni bawah umur didakwa menjadi mangsa penderaan seksual yang berlaku dalam tempoh berpanjangan di premis berkenaan.

Menurut laporan NST, penderaan tersebut — yang dikatakan berlarutan lebih sedekad — terbongkar selepas dua bekas penghuni, yang baru sahaja berusia 18 tahun, tampil membuat laporan mengenai layanan buruk yang dialami mereka.

Polis sejak itu menahan empat individu termasuk pengendali rumah berusia 31 tahun serta seorang penghuni berusia 17 tahun. Rumah kanak-kanak tersebut juga didakwa beroperasi di bawah sebuah syarikat swasta dan bukan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Presiden Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor, S Maran dilaporkan berkata kejadian tersebut bukan insiden terpencil, sebaliknya satu tindakan berulang dan sistematik yang berlarutan tanpa dikesan dalam tempoh lama.

Maran berkata NGO itu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak Ahad lalu sebelum mengunjungi rumah berkenaan pada petang hari yang sama, dengan menyamar sebagai penganjur sambutan hari jadi.

Keadaan menjadi lebih serius selepas bukti yang dikaitkan dengan penderaan tersebut ditemui dalam telefon suspek.

“Ahli kami mula menyoal penghuni secara berperingkat. Sebahagian kanak-kanak mula membuka cerita. Beberapa daripada mereka dapat mengenal pasti suspek.

"Dengan pengakuan mangsa dan apa yang kami temui, tiada lagi keraguan. Ini kes yang benar. Kanak-kanak ini didera,” katanya seperti dipetik.

Menurut laporan itu lagi, setakat ini sekurang-kurangnya 10 laporan polis telah dibuat oleh NGO, bekas penghuni serta ibu bapa.

Pemeriksaan perubatan terhadap mangsa dilaporkan menemukan kecederaan yang selari dengan penderaan seksual, dengan sebahagiannya dipercayai masih baru, kata Maran.

Mangsa terdiri daripada kanak-kanak lelaki berusia antara sembilan hingga 17 tahun dan kini menerima rawatan di Hospital Selayang.

“Sejak penahanan dan pendedahan kes ini, ahli kami meluangkan lebih banyak masa di rumah tersebut. Kami mendapati sebahagian kanak-kanak ini hidup dalam trauma,” katanya.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan juga dipetik NST mengesahkan penahanan itu dan siasatan masih dijalankan.

2 penunggang putus kaki, patah tangan dirempuh Honda City

HARRITH HISHAM
Keadaan sebuah kereta Honda City yang melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh dua penunggang motosikal di Jalan Sultan Ismail, awal pagi tadi.
KUALA LUMPUR – Dua penunggang motosikal cedera parah selepas dirempuh sebuah kenderaan yang disyaki melanggar lampu isyarat merah di Jalan Sultan Ismail, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 4.27 pagi itu, mangsa lelaki berusia 24 tahun cedera putus kaki kiri, manakala seorang remaja lelaki berusia 19 tahun patah tangan dan kaki kiri.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Honda City dan dua motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

“Hasil tindakan lanjut pihak JSPT Kuala Lumpur, pemandu kereta telah berjaya dikesan dan ditahan di Klinik Jacob, Kundang Rawang semasa sedang mendapatkan rawatan.

“Ujian alkohol telah dijalankan dan didapati tidak melebihi had yang ditetapkan. Ujian Saringan air kencing juga sedang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Zamzuri, siasat awal mendapati semasa kejadian, kedua-dua motosikal yang ditunggang oleh dua lelaki tempatan sedang melintasi persimpangan dengan lampu isyarat hijau.

Katanya, sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang datang dari arah kanan dipercayai telah melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh kedua-dua motosikal tersebut.

“Akibat kemalangan, kedua-dua penunggang motosikal mengalami kecederaan serius dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.

“Pemandu kereta hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan, manakala seorang penumpang kereta turut mengalami kecederaan di bahagian kepala,” ujarnya.

Beliau menambah, seorang individu berusia 19 tahun yang berada di lokasi kejadian telah tampil membuat laporan polis dan dirakam percakapan sebagai saksi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Bekas pengawal keselamatan bakal meringkuk 32 tahun kerana rogol, serangan seksual

V Anbalagan

PUTRAJAYA: Seorang bekas pengawal keselamatan berusia 56 tahun bakal meringkuk di penjara selama 32 tahun selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya terhadap hukuman itu, bersabit kesalahan rogol dan serangan seksual melibatkan tiga gadis bawah umur, lima tahun lalu.

Sidang tiga hakim dipengerusikan oleh Azmi Ariffin memutuskan Mahkamah Tinggi betul apabila memerintahkan hukuman bagi A Johnson dijalankan secara berturutan.

“Kesalahan-kesalahan tersebut dilakukan terhadap tiga gadis yang berbeza pada masa yang berlainan dan mengikut undang-undang sedia ada, perayu harus menjalani hukuman tersebut secara berturutan,” katanya.

Meskipun sudah berusia, bapa kepada lima anak itu — yang mempunyai lima sabitan lampau termasuk satu kesalahan mencabul kehormatan — juga akan menerima sembilan sebatan, memandangkan lelaki berusia lebih 50 tahun tidak dikecualikan daripada hukuman sebat dalam kes serangan seksual.

Hakim Azmi bersidang bersama Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Meor Hashimi Abdul Hamid.

Terdahulu, M Manoharan selaku peguam menggesa mahkamah memerintahkan pemenjaraan dijalankan secara serentak. “Lagipun, dia akan disebat. Dia juga menghidap kencing manis,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Solehah Noratikah Ismail bagaimanapun meminta sidang hakim mengekalkan hukuman, memandangkan kesalahan melibatkan tiga mangsa berasingan, dan berlaku pada waktu siang.

Menurutnya Johnson mengancam gadis-gadis tersebut dengan sebilah pisau untuk memuaskan nafsunya, dan mencederakan salah seorang mangsa.

“Tindakannya telah mengakibatkan trauma dan meninggalkan parut psikologi pada mangsa-mangsa sepanjang hayat,” katanya.

Johnson disabitkan kesalahan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun pada kira-kira jam 12.30 tengah hari, 25 Feb 2020.

Dia juga didapati bersalah melakukan serangan seksual terhadap seorang lagi gadis berusia 14 tahun pada kira-kira jam 3 petang, 22 April 2020; dan melakukan kesalahan yang sama terhadap seorang gadis berusia 16 tahun pada kira-kira jam 4 petang, 7 Ogos 2021.

Ketiga-tiga kesalahan tersebut dilakukan di dalam lif di sebuah flat kos rendah di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan rotan bagi setiap kesalahan, serta memerintahkan hukuman dijalankan secara serentak.

Susulan rayuan pihak pendakwaan, Mahkamah Tinggi meningkatkan hukuman penjara Johnson bagi kes rogol kepada 12 tahun dan mengekalkan hukuman penjara 10 tahun bagi kesalahan serangan seksual.

Mahkamah Tinggi turut memerintahkan hukuman penjara dijalankan secara berturutan, maka Johnson akan menjalani hukuman selama 32 tahun di sebalik tirai besi.

Pegawai daerah ditembak mati

KOSMO
KEADAAN trak pikap yang dipenuhi dengan kesan peluru di daerah Chanae, wilayah Narathiwat. - Amarin TV
BANGKOK – Sekurang-kurangnya dua orang termasuk pegawai daerah maut selepas trak pikap dinaiki mereka ditembak sekumpulan penyerang bersenjata di wilayah Narathiwat, selatan Thailand, lapor portal berita Thaiger. 

Polis dimaklumkan sekitar pukul 1 pagi (waktu tempatan) mengenai insiden tembakan di Dusongyo, daerah Chanae semalam. 

Selepas tiba di tempat kejadian, polis menemui sebuah trak pikap jenama Toyota tersadai di tepi jalan dengan kesan peluru yang banyak. 

Kedua-dua mangsa dikenal pasti sebagai Monchai, seorang pegawai daerah dan Haidah Bueraheng yang berusia 27 tahun. 

“Mereka mengalami luka tembakan dan dibawa ke Hospital Chanae untuk bedah siasat,” kata polis. 

Siasatan awal mendedahkan bahawa pasangan itu sedang dalam perjalanan pulang selepas menyelesaikan urusan peribadi mereka. 

Polis percaya kumpulan penyerang bersembunyi di tepi jalan sebelum melepaskan berpuluh-puluh das tembakan ke arah trak pikap lalu melarikan diri. 

Polis masih mengumpul bahan bukti dan menyoal siasat beberapa saksi. – AGENSI

Mahkamah Koroner diberitahu cara mati Zara Qairina konsisten bunuh diri

FMT Reporters

PETALING JAYA: Cara kematian Zara Qairina Mahathir paling konsisten dengan tindakan membunuh diri, kata pakar perunding psikiatri forensik Chua Sze Hung di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.

Katanya, mangsa menunjukkan faktor risiko bunuh diri yang lebih dominan, berbanding faktor pelindung pada waktu kejadian, lapor Berita Harian.

Saksi ke-67 inkues kematian Zara itu, berkata beliau menyediakan, menandatangani, dan mengecap laporan psikiatri setebal 84 muka surat bertarikh 2 Feb untuk mahkamah, yang fokus kepada isu kebarangkalian membunuh diri dan keadaan berkaitan remaja berusia 13 tahun itu.

Beliau yang membacakan kenyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, memberitahu antara maklumat dan dokumen disemak, termasuk diari Zara, lokasi kejadian, dan laporan bedah siasat oleh pakar perunding patologi forensik, Dr Jessie Hiu.

Selain itu, laporan kaunseling, lawatan ke asrama, dan bilik dormitori Zara, temu bual bersama ahli keluarga, kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha serta sekolah rendah mangsa.

“Terdapat maklumat menunjukkan gangguan emosi, kemarahan melampau, tingkah laku mencederakan diri sendiri, hubungan interpersonal yang tidak stabil, dan ketakutan akan ditinggalkan. Bagaimanapun, ia tidak mencukupi untuk membentuk diagnosis gangguan personaliti secara retrospektif.

“Walaupun terdapat maklumat menunjukkan gejala kemurungan, saya tidak percaya mangsa menderita penyakit mental teruk yang boleh didiagnosis sebelum insiden berkenaan.

“Pertemuan faktor kecenderungan dan pencetus menunjukkan tindakan terakhir itu berkemungkinan besar adalah usaha untuk mengakhiri penderitaan, yang berlaku semasa keadaan tekanan akut yang melampau, pertimbangan yang terjejas, dan pengurangan akses kepada mekanisme pelindung normal, bukannya penamatan yang dirancang dengan rapi,” katanya.

Chua berkata, antara punca utama kematian dalam kalangan remaja yang lebih tua adalah membunuh diri dan hampir tiga daripada lima kes bunuh diri belia tidak mempunyai diagnosis kesihatan mental yang didokumentasikan sebelumnya.

Katanya, kajian menunjukkan remaja Malaysia berusia 13 hingga 15 tahun berisiko lebih tinggi untuk melakukan cubaan bunuh diri berbanding kumpulan umur remaja lain, malah pelajar yang ibu bapa tinggal berasingan juga menunjukkan kebarangkalian lebih tinggi untuk melakukan cubaan itu.

“Dalam kes mangsa, faktor risiko (faktor kecenderungan) termasuk, tetapi tidak terhad kepada peristiwa hidup yang penuh tekanan, persepsi diri yang negatif, persepsi dibuli, pencapaian akademik tidak memuaskan, sejarah penggunaan bahan, kemarahan atau keagresifan (lisan), kecederaan diri bukan bunuh diri (NSSI), perpisahan ibu bapa, konflik dengan ibu bapa, sensitiviti sosial, gejala kemurungan, isu tingkah laku dan keinginan untuk mati.

“Faktor pencetus (faktor langsung) termasuk peristiwa hidup yang memberi tekanan (soal siasat) dan perasaan terasing. Keadaan penyumbang lain termasuk kekurangan tidur kronik dan kekecewaan daripada peringatan ‘Badar’ (pengawas),” katanya.

Chua juga berkata, terdapat beberapa faktor risiko bunuh diri yang wujud sebelum mangsa memasuki sekolah tersebut.

Jabatan Peguam Besar Sabah pada 17 Sept lalu memohon Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan penilaian psikiatri bagi membantu inkues kematian Zara.

Pasukan tiga ahli terdiri Chua sendiri, pakar psikiatri kanak-kanak, dan remaja Nurulwafa Hussain serta pakar psikologi klinikal, Norhameza Ahmad Badruddin dilantik oleh ketua pengarah KKM pada 19 Sept 2025 untuk menjalankan penilaian menggunakan pendekatan bedah siasat psikologi.

Chua menambah, beliau pernah memberi keterangan sebagai saksi pakar untuk kes bunuh orang, pengedaran dadah, dan kes kesalahan seksual yang dihantar untuk penilaian mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rendah serta Mahkamah Syariah di seluruh negara.

Zara ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama sekolah dan disahkan meninggal dunia pada 17 Julai 2025 di Hospital Queen Elizabeth.

Rafizi - Serangan 'menteri paling gagal' disusun pihak berkepentingan

Malaysiakini 

 
Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli mendakwa naratif yang melabelkan dirinya sebagai "menteri paling gagal" merupakan satu gerakan terancang yang disusun oleh kumpulan berpengaruh tertentu untuk mengalihkan perhatian orang ramai.

Bekas timbalan presiden PKR itu berkata, serangan tersebut dilakukan secara berterusan melalui pelbagai saluran media dengan melibatkan individu-individu tertentu bagi mendesak beliau bersara daripada dunia politik.

"Sudah tentu serangan dan naratif 'menteri gagal' ini disusun; ada kumpulan berpengaruh di belakang naratif ini.

"Sebabnya individu-individu yang buat serangan dan gesaan ini, orang pun tak kenal. Kalau tidak disusun, saya tak rasa media-media utama di negara ini sudi menghabiskan ruang media mereka melaporkan komen-komen mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi turut menamakan beberapa individu yang menurutnya digunakan untuk mengulangi serangan tersebut, termasuk pengasas PKR yang menyertai MCA, Ng Lum Yong; aktivis politik, Faizan Mohd Noor; serta bekas calon pilihan raya negeri Sarawak, Mahmud Epah.

Akui 'gagal' dalam aspek lain

Dalam nada menyindir, Rafizi berkata dia mengakui mempunyai banyak "kegagalan," namun merujuk kepada keengganannya untuk berdiam diri terhadap isu rasuah dan amalan membodek pihak berkuasa.

Dia memberi contoh pendedahannya mengenai isu SRC International dan 1MDB pada masa lalu yang menyebabkan dirinya dikecam, namun akhirnya terbukti di mahkamah apabila bekas perdana menteri Najib Razak diarahkan membayar lebih RM5 bilion kepada kerajaan.

"Saya gagal berdiam diri bila saya rasa ada rasuah, lagi tinggi pangkat, lagi kuat saya bersuara.

"Saya juga gagal dalam membodek. Kalau harga tidak membodek itu bermakna saya diserang, dimaki atau dicerca, saya gagal takut dan tidak sekali-kali akan membodek sesiapa pun yang berkuasa," katanya.

Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan bahawa dia tidak akan berhenti menjalankan amanahnya walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai siasatan, saman, serta ancaman terhadap keselamatan keluarga.

Rafizi seterusnya memaklumkan bahawa dia akan menjawab segala tuduhan tersebut secara terperinci menerusi sesi podcast "Yang Bakar Menteri" (YBM) episod ke-42 yang dijadualkan pada Jumaat ini.

‘Wanita jadian’ berjoget, cemari majlis selawat

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan lelaki yang menyamar jadi wanita itu berjoget di sebuah majlis selawat baru-baru ini. - TikTok
JAKARTA – Sebuah majlis selawat di Lamongan, wilayah Jawa Timur menerima kecaman orang ramai kerana menjemput seorang lelaki yang menyamar sebagai wanita untuk berjoget dan menyanyi lagu dangdut, lapor portal berita Lambe Turah. 

Kejadian berlaku di Kampung Bedingin, daerah Sugio baru-baru ini. 

Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @callmehoney081 menunjukkan lelaki itu menyanyi sambil melakukan tarian pelik di khalayak ramai dengan berlatarbelakangkan sepanduk bertulis Gebyar Selawat. 

Selain memakai pakaian seksi, dia turut berjoget di hadapan keluarga dan kanak-kanak. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 212,000 dan menimbulkan pelbagai reaksi. 

“Tidak terkejut,” kata seorang netizen. 

“Saya yang malu tengok,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

Warga China dicekup masuk Malaysia guna

MOHD SHARKAWI LONDING
EMPAT warga China ditahan selepas disyaki menggunakan pasport palsu untuk memasuki negara ini. IHSAN IMIGRESEN
JOHOR BAHRU – Taktik licik seorang lelaki warga China menggunakan pasport Mexico palsu untuk memasuki negara ini terbongkar selepas dia ditahan dalam satu serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor di sebuah pangsapuri mewah di Bayu Puteri, di sini semalam.

Dalam operasi kira-kira 31 Mac lalu itu, lelaki berusia lingkungan 40-an tersebut ditahan bersama tiga lagi rakan senegaranya terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 43 hingga 57 tahun.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, siasatan awal mendapati suspek utama menggunakan pasport antarabangsa Mexico palsu sebagai dokumen perjalanan untuk memasuki dan tinggal di negara ini.

“Hasil penggeledahan di premis berkenaan turut menemui sebanyak 13 naskhah pasport antarabangsa pelbagai negara yang disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan pemalsuan dokumen.

“Pasport yang dirampas melibatkan beberapa negara termasuk Hong Kong, China dan Vietnam yang dipercayai digunakan untuk tujuan tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kesemua suspek dipercayai bekerja di sebuah pusat rekreasi yang masih dalam pembinaan di kawasan kelab golf sekitar Johor Bahru.

Katanya, pihak imigresen tidak menolak kemungkinan mereka terlibat dalam sindiket pemalsuan dokumen perjalanan antarabangsa yang aktif beroperasi di negeri ini.

Kesemua individu yang ditahan kini direman selama 14 hari bagi membantu siasatan lanjut oleh pihak berkuasa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pasport 1966. – KOSMO! ONLINE

Guna berus bulu babi, sijil halal kilang kopi, biskut ditarik

Farhana Yaacob

MELAKA: Sebuah kilang memproses kopi dan biskut di negeri ini kehilangan sijil halal selepas didapati menggunakan berus dipercayai daripada bulu babi dalam kerja-kerja pembersihan peralatan.

Perkara itu dikesan menerusi pemeriksaan dijalankan Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada Januari lalu, yang menemukan penggunaan berus berasaskan bulu haiwan di premis terbabit.

Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat berkata, berus berkenaan disita sebelum dihantar ke Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC) di Bandar Enstek, Nilai untuk pengesahan lanjut.

Menurutnya, keputusan analisis yang diterima pada Mac mengesahkan berus itu mempunyai ciri fizikal bulu babi.

“Susulan itu, Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) milik kilang berkenaan ditarik serta-merta.

“Kilang itu telah beroperasi lebih sedekad dan sebelum ini memiliki sijil halal yang sah dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, alasan ketidaktahuan yang diberikan pihak premis tidak boleh dijadikan justifikasi.

Katanya, pemegang sijil halal perlu sentiasa memastikan pematuhan penuh terhadap piawaian halal yang ditetapkan, tanpa kompromi dalam mana-mana aspek operasi.

“JAIM akan terus memperhebat pemantauan terhadap premis yang memiliki sijil halal bagi menjamin keyakinan pengguna terhadap status halal produk di pasaran,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai khususnya umat Islam disaran agar lebih berhati-hati dalam membuat pilihan makanan dengan mengutamakan produk yang mempunyai pensijilan halal, demi memastikan ia memenuhi tuntutan syarak serta standard kebersihan yang ditetapkan.