Agensi
Washington: Seorang wanita di Georgia, baru-baru ini, menyaman klinik kesuburan selepas kesilapan ketika rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) di klinik itu menyebabkan dia melahirkan bayi yang bukan anak kandungnya.
NDTV yang memetik Washington Post melaporkan, Krystena Murray, 38, hamil melalui kaedah IVF dua tahun lalu, dan melahirkan seorang bayi lelaki yang sihat pada Disember 2023.
Namun, dia menyedari sesuatu tidak kena apabila bayi yang dilahirkan berkulit hitam sedangkan dia berkulit putih dan turut memilih penderma sperma berkulit putih.
Walaupun sedar kesilapan itu, Murray tetap menjaga dan menyayangi bayi itu selama beberapa bulan sebelum akhirnya dia terpaksa menyerahkannya kepada ibu bapa kandung anaknya itu, situasi yang menyebabkan dia teruk mengalami tekanan emosi.
"Murray memfailkan saman sivil terhadap Coastal Fertility Specialists atas dakwaan kecuaian yang menyebabkan tekanan emosi dan fizikal. Dia tidak pernah melihat anaknya lagi," menurut peguamnya dalam tuntutan yang difailkan.
Pengarah Eksekutif Coastal Fertility, Isabel Bryan, mengakui kesilapan itu dan memohon maaf atas pertukaran embrio yang berlaku.
"Walaupun bayi yang dilahirkan sihat, kami menyedari kesan mendalam terhadap keluarga yang terjejas," katanya.
Murray, yang masih bujang, memilih klinik itu kerana ia mempunyai cawangan di Savannah, Georgia. Dia menjalani rawatan sejak akhir 2022 atau awal 2023 dengan sperma penderma yang dipilihnya sendiri.
Pada Februari atau Mac 2023, doktor berjaya mengambil beberapa telurnya dengan sperma penderma. Dia percaya satu daripada embrio ini dipindahkan ke rahimnya pada Mei 2023, yang membawa kepada kehamilannya.
Pada 29 Disember 2023, dia melahirkan bayi tetapi segera menyedari sesuatu yang tidak kena, namun walaupun terkejut, dia tetap menjaga bayi itu seperti anak sendiri tetapi dihantui persoalan mengenai ibu bapa sebenar bayi itu.
Pada Januari 2024, ujian DNA mengesahkan bayi itu bukan anak kandungnya. Klinik itu kemudiannya mengenal pasti pasangan yang embrio itu tersalah dipindahkan ke rahim Murray.
Pada 29 Mac, pasangan itu menerima berita bahawa anak kandung mereka dilahirkan oleh wanita lain dan segera memfailkan tuntutan hak penjagaan.
Murray akhirnya menyerahkan hak penjagaan itu kepada ibu bapa kandung bayi itu pada 24 Mei tahun sama, selepas ujian DNA kedua mengesahkan keputusan pertama.
Sejak itu, Murray mengalami trauma, insomnia dan pelbagai simptom fizikal lain. Dia berharap tuntutannya dapat mencegah kesilapan IVF di masa hadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan