Ceroboh untuk mencuri, APMM tahan 7 warga Indonesia di pelantar minyak
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

TUJUH lelaki warga Indonesia yang menceroboh pelantar minyak tidak berpenghuni yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Kuala Terengganu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan tujuh lelaki warga Indonesia yang menceroboh sebuah pelantar minyak tidak berpenghuni untuk mencuri di perairan Terengganu semalam.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abdul Majid berkata, semua suspek berusia antara 25 hingga 45 tahun itu ditahan ketika bersembunyi di ruang ventilasi pelantar minyak berkenaan.
Beliau berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu (PUSOP) sebelum itu menerima maklumat daripada sebuah syarikat cari gali minyak berkaitan kejadian pencerobohan sebuah pelantar minyak tidak berpenghuni pada kedudukan 77 batu nautika timur Kuala Terengganu kira-kira jam 1.30 petang kelmarin.
Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima, kru operasi pelantar mengesan serta menemui tanda-tanda pelantar diceroboh serta melihat kelibat seseorang sedang bersembunyi di bilik jana kuasa ketika melaksanakan pemeriksaan rutin.
"Bertindak atas aduan, Kapal Maritim (KM) Rawa yang sedang dalam penugasan Op Iman diatur gerak ke lokasi dan tiba di lokasi jam 9 malam.
"Kita berdepan sedikit kesukaran untuk menaiki pelantar berkenaan kerana keadaan yang gelap serta keadaan laut yang bergelora sebelum menaiki pelantar berkenaan kira-kira jam 11.30 pagi semalam.
"Hasil pemeriksaan menemukan kesan-kesan kabel yang dipotong, bateri yang dilonggokkan, bekas-bekas makanan serta peralatan yang digunakan seperti pemotong kabel, set spanar serta tali," katanya ketika sidang media di Pejabat Maritim Negeri Terengganu di sini hari ini.
Mohd Khairulanuar berkata, hasil soal siasat awal mendapati kesemua suspek dihantar ke pelantar berkenaan menggunakan sebuah bot namun bot itu melarikan diri sebaik melihat kehadiran kapal yang membawa kru operasi pelantar.
Katanya, siasatan juga mendapati kesemua suspek sudah dua hari berada di atas pelantar minyak berkenaan untuk mencuri.
"Hasil siasatan mereka ini mengambil barang-barang penting seperti panel solar, bateri, kabel-kabel yang berkualiti dan barang-barang lain yang boleh dijual untuk mendapatkan duit.
"Apa yang membimbangkan kita adalah tindakan mereka itu boleh menyebabkan operasi pelantar minyak terhenti sekiranya mereka mencuri barang-barang penting sehingga boleh mengakibatkan kerugian puluhan juta ringgit selain nyawa mereka sendiri.
"Dengan penahanan suspek, kita percaya dapat menyelesaikan empat laporan
kecurian di pelantar minyak yang tidak berpenghuni di sekitar perairan Terengganu sejak Januari lalu," katanya.
Menurutnya lagi, nilai rampasan masih dalam siasatan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan ada pihak lain yang menjadi dalang dengan memfokuskan pelantar minyak tidak berpenghuni.
Katanya, semua suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 378 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan