Malaysiakini
Seorang penjual jagung yang menjadi tajuk utama kerana meletakkan botis papan tanda perkauman telah dikenakan denda RM400.
Isterinya yang berwarga Indonesia, bagaimanapun, dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan selepas disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Pasangan itu didakwa di Mahkamah Majistret Sepang hari ini dan mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, G Shan Gopal Krishnan, kejadian yang menjadi tular di media sosial itu disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, Seksyen 4, Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Susulan laporan polis, tangkapan ke atas lelaki berumur 64 tahun yang merupakan penjual jagung bersama isterinya yang berumur 52 tahun yang merupakan seorang warga Indonesia pada 17 Februari lalu di Jalan Labuhan Dagang-Nilai, Sepang.
“Kertas siasatan telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya Selangor dan arahan telah diberikan untuk menuduh penjual jagung ini, di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, bersama dengan pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan.
“Isteri peniaga ini didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Sehubungan itu, Shan Gopal menasihati orang ramai agar menjaga hubungan antara kaum dan tidak mengeluarkan sebarang bentuk provokasi sehingga membangkitkan ketegangan kaum dan agama.
Pada 15 Februari lalu, tindakan lelaki itu, Abdul Aziz Musa yang mempamerkan satu notis yang berunsur perkauman di Kota Warisan, Sepang, Selangor, mencetuskan kemarahan di media sosial dan dikutuk oleh pelbagai kumpulan.
Bagaimanapun, dia kemudiannya telah memohon maaf dan berkata, perbuatan itu sama sekali tidak berniat untuk menghina kaum India.
Bagaiamanpun, ramai yang tidak berpuas hati. Antara mereka, termasuk Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh yang berkata, tindakan menghina antara kaum perlu dikenakan tindakan undang-undang.
Menurut Adun Merlimau itu tindakan seumpama itu tidak boleh dibiarkan dengan hanya berakhir dengan memohon maaf sahaja.
“Tidak kira siapa pelakunya,tindakan undang-undang perlu dikenakan agar menjadi pengajaran kepada pihak yang lain.
“Kalau tidak, budaya sebegini yang buat dulu lepas tu minta maaf akan semakin berleluasa dan semakin mudah golongan-golongan ini terlepas!” katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan