"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sumbangan Kifalah, bukti Kelantan negeri berkebajikan

Sempena penyampaian sumbangan kifalah kepada wasi peringkat Negeri Kelantan pada 7 Februari 2010, di Padang Majlis Daerah Machang.

Firman Allah subhanahu wa taala," Maksudnya, ”Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda, yang mana Allah telah menjadikan kamu sebagai wakil dalam menguasai dan menguruskannya. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu, serta membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah), mereka tetap beroleh pahala yang besar.”(Surah al-Hadid, ayat 7)

Segala pujian bagi Allah, Tuhan Sekalian Alam, salawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta keluarga baginda.

Tidak dilupakan doa kita kepada ibu bapa yang telah pergi lebih awal meninggalkan kita; semuga Allah mengampunkan mereka.

Alhamdulillah, bermula dengan belanjawan sejahtera tahun 2007, pihak Kerajaan Negeri telah memulakan program Takaful Warga Emas Kifalah.
Permulaannya, pihak Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak tiga juta ringgit (RM3 juta) untuk membiayai caruman kepada wasi. Dan terdapat kira-kira seratus empat puluh ribu (140,000) orang warga emas yang layak.

Pendekatan yang diambil, adalah wakil rakyat dan penghulu hendaklah terlibat aktif untuk mendaftar semua warga emas tersebut, tanpa mengira kaum dan fahaman parti politik.

Sasarannya adalah semua warga emas hendaklah didaftarkan ke dalam skim ini. Dengan harapan, sejumlah sumbangan daripada pihak kerajaan negeri dapat disalurkan kepada keluarga atau wasi bagi warga emas selapas kematian.

Sehubungan itu, skim takaful kifalah ini adalah tidak sama dengan skim takaful merdeka yang dianjur oleh satu pihak yang boleh disifatkan sebagai hangat-hangat tahi ayam, bermusim dan berniat memancing undi.

Oleh itu, pelan sumbangan yang kita perkenalkan ini adalah meletakkan harapan besar kepada penghulu untuk mendaftar warga emas dan pihak wakil rakyat sendiri boleh hadir menyumbang pendahuluan pada hari berlaku kematian. Selepas pihak pengurusan skim kifalah melunaskan baki, maka baki itu hendaklah terus disampaikan kepada wasi warga emas tersebut.

Untuk tempoh 2009 dan 2010 ini, pihak Kerajaan Negeri telah memperuntukkan cara penyampaian sumbangan secara serentak di peringkat negeri kepada semua wasi bagi warga emas berdaftar dan telah meninggal dunia.

Ia melibatkan sumbangan daripada Kerajaan Negeri berjumlah RM4,080,000 (empat juta lapan puluh ribu ringgit) yang akan disumbangkan kepada 2,040 (dua ribu empat puluh) orang wasi dari semua 45 dewan undangan negeri di Kelantan. Ini bermakna setiap orang akan menerima sekeping cek bernilai RM 2,000 (dua ribu ringgit) seorang.

Apapun, sumbangan dua ribu ini, bukanlah harga sebenar kepada suatu kematian. Cuma ia suatu kaedah pendekatan berkebajikan Kerajaan Kepimpinan Ulamak yang meletakkan dasar Membangun Bersama Islam yang amat prihatin dalam aspek kebajikan rakyat. Ia sebagai bukti Kelantan adalah negeri berkebajikan.

Tinggal lagi, pelbagai tohmahan negatif orang terhadap Kerajaan Negeri; Kelantan dikatakan tiada pembangunan, tidak buat apa yang kita janjikan. Maka, majlis penyampaian peringkat negeri diadakan adalah hakikat pentadbiran Kepimpinan Ulamak Negeri Kelantan adalah sedia menunaikan amanah rakyat.

Cuma ada pihak yang kebelakangan ini yang tidak ingin memberi hak rakyat. Namun, Kerajaan Negeri tetap mengutamakan kepentingan rakyat. Maka, atas dasar hak rakyat itulah kita bertegas dalam tuntutan royalti minyak. Kerana royalti itu adalah hak semua rakyat.

Kalaulah pihak Petronas dan Kerajaan Pusat menunaikan janji, menyalur wang royalti kepada kerajaan Negeri, sudah pasti jumlah skim kifalah yang ada sekarang boleh ditambah, bukan dua ribu, boleh jadi lebih besar lagi. InsyaAllah.

Sama-samalah kita berdoa, agar Allah Subhanahu wa taala membuka pintu hati pihak-pihak yang cuba menyekat niat suci Kerajaan Negeri ini.

Apa yang penting kita kembali kepada asas mentadbir negeri dengan adil dan menunaikan hak rakyat. Seperti firman Allah Subhanahu wa taala:”Sesungguhnya Allah, menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebajikan serta menunaikan hak kaum kerabatnya dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya..”(surah an-Nahli ayat 90)

Dan sabda Nabi SAW pula, bermaksud, “Barang siapa yang ada kelebihan tunggangan, maka hendaklah membantu yang tiada dan barang siapa yang mempunyai bekalan lebih, maka hendaklah membantu yang tidak punya bekal”

Semoga majlis penyampaian sumbangan kifalah dapat memenuhi sebahagian tanggungjawab Kerajaan Negeri di dalam menguruskan amanah pentadbiran kepada rakyat Negeri Kelantan.

Sama-sama kita doakan agar rakyat di Negeri ini dilimpahi rezeki yang melimpah ruah agar
ketakwaan berdiri kukuh di dalam dada setiap orang kalangan kita.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan.
http://www.blogtokguru.com

Tiada ulasan: