Azizi Abdullah
Mengaji sekolah pondok dulu-dulu manalah tahu sangat tentang undang-undang. Apa lagi undang-undang sivil yang ada tentang‘mala fide’, ‘prima facie’ apa lagi sampai hukum dan akta, seksyen, kanun dan lain-lain lagi.
Yang belajar hanyalah hukum batal wuduk, batal nikah dan hukum liwat dan hukum tuduh orang berzina.Itupun pelaksanaannya beberapa bulan, beberapa tahun dan beberapa denda tak tahu juga. Hukum hakam itu cuma baca bukan mahu jadi hakim syarie.
Tiba-tiba apabila berlaku tentang hukum hakam di mahkamah rendah, mahkamah sederhana, mahkamah tinggi, mahkamah persekutuan dan mahkamah rayuan, orang seperti saya ini jadi keliru. Sudahlah tak belajar tentang undang-undang ditokok pula dengan peliknya apa yang berlaku.
“Jangan pertikai mahkamah, nanti kena tangkap!” seorang kawan beri amaran.
“Salahkah aku luah apa yang aku tdak faham?”
Yang tidak faham ini mungkin juga melibatkan ribuan orang seperti saya. Malah ada dari kalangan peguam dan pengamal undang-undang sendiri yang turut tidak faham. Mohamed Hanifa Maidin yang saya sangat hormati pemikirannya juga saya kira salah seorang peguam yang tidak faham, keliru apabila Mahkamah Tinggi memberi keputusan terhadap YB Tian Chua yang dikatakan gigit tangan pegawai polis lalu timbul pertikaian pula.
Agaknya gigi Tian Chua tu tajam macam gigi beruang!
Apa yang membingungkan saya, kes-kes seperti ini bukan sekali dua berlaku. Ertinya kes-kes yang diputuskan oleh ‘Hakim Mahkamah Rendah’, dipertikai lalu di bawa ke Mahkamah Tinggi, jika itu pun dipertikai bentuk hukumannya, keputusan hakim itu di bawa pula ke Mahkamah Rayuan dan jika itu pun masih nak dipertikai, keputusan hakim Mahkamah Rayuan itu di putuskan pula oleh Mahkamah Persekutuan.
Orang lain saya tak tahu, tapi saya yang tidak mengaji undang-undang ini merasa cukup pelik. Padanlah dengan kejahilan saya ini.
Pertama: Apabila hukuman yang dijatuhkan oleh seorang hakim, sama ada di Mahkamah Rendah, di Mahkamah Tinggi, kita ambil contoh kes Tian Chua yang asal mulanya denda RM3000 kepada RM2000.
Dengan kuasa sebagai hakim yang diiktiraf, melalui alasannya sebagai seorang hakim diakui, mengapa ia menjadi sungutan sehingga mahu membawa ke perbicaraan lain?.
Menurut Mohamed Hanipa Maidin ia melibatkan tafsiran Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.
Peliknya mengapa keputusan seorang hakim di mahkamah yang sah yang ia memberi keputusan atau menjatuhkan hukuman di pertikai? Tidak menghairankan jika pertikaian itu dari orang awam kerana orang awam tidak tahu undang-undang.
Tapi anehnya kes yang telah dijatuhkan hukuman ini seperti tidak terpakai? Tidak terpakai bererti hukuman dari ‘hakim’ yang diakui itu tidak diakui. Kalau tidak diakui, buat apa ia dilantik sebagai hakim?
Saya yakin ada hujah lain untuk mengkondem hujah saya ini. Tak apa.
Katakanlah kita pakai juga apa yang menjadi pertikaian seperti kes Tian Chua ini. Bawalah ke Mahkamah Tinggi melangit mana pun. Tapi kenapa pula ia ‘dihakimi’ oleh orang lain? Sepatutnya ‘hakim’ yang menjatuhkan hukuman itulah yang menjadi fokus atau perbicaraan utama, iaitu hakim itu mesti diberi hak mempertahankan hujah hukumannya, bukan ia dibiarkan linglong dan lepas tangan.
Kenapa orang lain mesti mengambil alih menjatuhkan hukuman yang orinya hukuman dari hakim lain? Semestinyakah hakim yang mengambil alih itu lebih perkasa dari hakim dari mahkamah sebelumnya? Tidak mengapa pendakwaan orang lain tetapi hakim itu mesti diberi hak membela apa yang dihujahkan kerana dialah yang menjatuhkan hukuman itu.
Ini baru adil.
Bagaimana kalau kita katakan, pendakwaan dan pembelaan bergantung sejauh mana hujah dan ketika itu barulah hakim menjatuhkan hukuman berdasarkan hujah yang didengar. Tapi dalam kes pemindahan dari satu mahkamah ke satu mahkamah ia menimbulkan rasa tidak puas hati bukan kepada hukuman yang dijatuhkan oleh ‘hakim’ tetapi tidak puas hati hanya kes itu. Sedangkan yang menjatuhkan kes itu ialah ‘hakim’ itu.
Bagaimana kalau kita ubah cara ini. Saya fakir selagi kita mengamalkan cara ini selama itulah dalam institusi kehakiman memberi gambaran, bukan semua pandangan dan hukuman diterima pakai. Ia memberi gambaran, ada hakim yang lokhoi, ada hakim yang lemah memahami hujah, ada hakim yang melampau, ada hakim yang terabai.
Kita tentu masih ingat bagaimana seorang hakim digelar dengan gelaran ‘Cekolat Hack.’
Demikianlah dari orang yang tidak tahu undang-undang dan tidak tahu sejauh mana etika kehakiman. Tapi sangat memerlukan; bagaimana kalau begitu jadi begini dan begini tidak jadi begitu atau jangan biarkan begitu-begitu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan