"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jangan jadikan Felda senasib Sime Darby

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 30 Jun:
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak digesa segera bertindak menyelamatkan Felda supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tersebut tidak terus mengalami lebih banyak kerugian sebagaimana yang dialami oleh Sime Darby sebelum ini, iaitu RM1.6 bilion.

Demikian gesaan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub
(gambar) ekoran melihat kemerosotan rizab Felda dari RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion pada tahun lepas.

“Jangan jadikan Felda milik peneroka ini menempa kerugian yang sama, senasib dengan Sime Darby yang rugi RM1.6 bilion sebelum ini,” tegas beliau pagi tadi ketika dihubungi Harakahdaily.

Kemerosotan itu, jelasnya ekoran ekoran RM2 bilion digunakan untuk pembangunan tanam semula, termasuk sara hidup dan pendahuluan hasil, RM603 juta pinjaman pembesaran rumah peneroka, RM662 juta untuk bangunan baru Menara Felda.

Sehubungan itu, beliau mendesak sekurang-kurangnya siasatan dalaman dibuat segera untuk menyelamatkan GLC tersebut.

Semalam, beliau mendesak Najib di Dewan Rakyat supaya segera mengadakan siasatan audit dalaman untuk mengenal pasti punca di sebalik kerugian yang dialami oleh Felda.

Beliau turut mencabar Najib supaya lebih bersikap bertanggungjawab dengan rizab amanah rakyat dengan bersedia mendedahkan laporan audit dalaman GLC tersebut di Parlimen.

“Kita minta kesediaan Najib menggunakan Dewan Rakyat yang mulia ini untuk dedah segala-galanya laporan (audit dalaman) ini supaya Felda tidak senasib dengan Sime Darby,” tegas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, kerugian RM1.6 bilion yang dialami oleh Sime Darby berpunca oleh kegagalan pihak berwajib mengawal lebihan kos dalam urus tadbir GLC tersebut.

Namun, Najib sebelum ini dilaporkan menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab apabila pembangkang mendesak beliau memberitahu di Dewan Rakyat punca sebenar di sebalik kerugian GLC tersebut.

“Kita perlu tengok dulu apa pun kerugian. Ini kita kena kaji sebelum kita buat apa-apa tentang kebertanggungjawaban dalam soal ini,” jawab Najib sambil mengelak desakan berkali-kali Salahuddin pada sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-10 pada 20 Mei lalu.

Tiada ulasan: