"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saman: Elok Ahmad berdebat dengan Mazlan

Jika Datuk Ahmad Maslan bertekad untuk mengheret akhbar Suara Keadilan serta beberapa pemimpin Pakatan Rakyat ke mahkamah atas isu 'Felda Bankrap', beliau juga harus menerima cabaran debat intelektual daripada Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda (Anak), Mazlan Aliman.

Ini bagi membuktikan bahawa Timbalan Menteri itu serius bahawa Felda selama ini dikendalikan dengan betul perjalanan, pentadbiran dan operasinya oleh pemimpin Umno.

Ini juga bagi membuktikan bahawa beliau benar-benar tahu tentang Felda dan segala yang berkaitan dengannya. Sebab bagi Mazlan, jawapan Ahmad di parlimen berhubung faktor kemerosotan dana tunai Felda, sebagaimana yang menjadi pertikaian umum pada masa ini, adalah sangat meragukan dan banyak tanda tanya.

Seperti yang diketahui umum, Ahmad baru menyertai kabinet Najib Tun Razak sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sejak dua tahun lalu, itupun atas tiket sebagai Ketua Penerangan Umno Malaysia. Berbanding dengan Mazlan yang sudah 16 tahun menyusup di serata pelosok Felda seluruh negara, mengumpulkan segala permasalahan peneroka.

Barangkali Ahmad masuk ke kabinet Najib, beliau hanya mengetahui bahawa Felda sebagai sebuah badan korporat, tetapi lupa tentang matlamat asal penubuhan Felda iaitu:

• Memajukan kawasan pertanian secara produktif dan sempurna melalui amalan pengurusan pertanian yang berkesan dari segi kebersihan ladang, pengeluaran hasil yang maksimum dan bermutu baik, serta pengeluaran yang kosnya terkawal ke paras minimum.

• Menggerakkan masyarakat peneroka supaya maju, produktif dan berdisiplin, meningkatkan taraf hidup yang lebih sempurna.

• Mewujud jentera pengurusan yang cemerlang dan bersifat profesionalisme dengan berorientasikan pembangunan sosial.

Untuk mengetahui lebih kanjut tentang Felda, elok rasanya Ahmad menerima cabaran Mazlan. Mungkin selain baerkaitan angka-angka tunai Felda yang sudah ghaib, tajuk-tajuk berikut juga boleh dicadangkan dalam debat intelektual berkenaan:

1. Monopoli kekayaan Felda – agihan kekayaan tidak sama rata antara peneroka dan yang diambil Felda.

2. Generasi kedua tidak mempunyai sebarang kelebihan atau tidak dipedulikan Felda terutama dalam soal pemberian tanah.

3. Peneroka ialah tuan tanah, tapi Felda pula yang bekuasa menentukan segala-galanya mengikut telunjuk pemerintah.

4. Seluruh agensi yang ada dalam Felda semuanya dipergunakan untuk kepentingan Felda semata-mata.

5. Peneroka mahukan keadilan.

Umum sudah tentu mahu melihat debat tersebut menjadi kenyataan kerana jika hanya tindakan undang-undang diambil pihak kerajaan, ia dilihat sebagai satu "cubaan untuk melindungi sesuatu".

Tiada ulasan: