Haji Subky Abdul Latif
Nasharudin Mat Isa, MP Bachok dan mantan Timbalan Presiden PAS telah menjadi masalah kepada partinya, PAS.
Dia dilihat berbaik dengan Perdana Menteri Najib Razak dan sejak tidak menjadi Timbalan Presiden partinya dia renggang dengan partinya. Malah ada pula kenyataannya yang menyusahkan untuk menghadapi masyarakat dan hubungan partinya dengan sekutu Pakatan Rakyat.
Dia sedang dibicarakan oleh “mahkamah umum” PAS.
Apapun Nasharudin itu baik orangnya dan memulakan penampilannya dalam PAS sebagai seorang pengikut parti yang baik.
Jika apa yang terjadi sekarang dia dilihat sebagai orang baris depan parti yang rosak, maka yang merosakkan ialah jamaah pimpinan PAS termasuk saya kerana memberi amanah yang terlalu besar kepadanya dengan melantiknya sebagai Setiausaha Agung parti.
Saya tidak melihatnya sebagai calon yang sesuai untuk jawatan yang besar itu. Malah saya terkejut dan tidak percaya bila dia dicalonkan. Saya sebagai jamaah pimpinan masa itu beretanya akan kebijaksanaan pimpinan mencalonkannya tetapi saya tidak berbuat secukupnya untuk menghalang pemilihan itu bahkan saya pun sama-sama membuat keputusan melantiknya.
Rakan-rakan peringkat atas kata kepada saya, “Anta ni orang lain tak betul belaka!”
Apa yang saya duga itu betul, dia tidak terpikul amanah yang terlalu besar itu. Ramai yang merasakan demikian. PAS Wilayah Persekutuan dalam Ijtimak tahunannya pernah mengusulkan supaya Setiausaha Agung itu diganti. PAS tidak pernah membincangkannya.
Khidmat disambung lagi. Saya antara minoriti menolak. Setelah beberapa penggal, rata-rata merasakan perlu ada penggantinya, maka PAS menaikkannya ke kedudukan lebih tinggi ialah Timbalan Presiden.
Kedudukan yang tinggi dalam parti sejak berbelas tahun mendedahkannya kepada masyarakat politik yang lebih tinggi dalam negara dan antarabangsa. Jika berlaku sesuatu kepada Presiden ketika itu maka dialah pimpinan utama parti yang baru.
Dalam politik tinggi yang terbuka penuh dengan muslihat dan tipu daya, hanya layak direnangi oleh orang-orang politik yang berwibawa tinggi dan kenal orang-orang yang dihadapinya. Pipit itu layaknya tidak terbang tinggi. Bila ia terbang terlalu tinggi tidak terdaya sayapnya bertahan. Udara yang tinggi itu layak bagi helang dan burung-burung besar belaka.
Maka tidak terdaya baginya untuk bertahan sebagai pimpinan PAS seperti yang dilalui oleh Al-Marhum Datuk Fadzil Noor, Tok Guru Nik Aziz, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mustapa Ali dan lain-lain. Tidak patah sayap mereka berdepan dengan rebut dan badai yang melambung tinggi.
Tidak terpikat sedikit pun mereka dengan politik Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi dan Najib. Tetapi umum melihat Nasharudin tewas dalam politik diplomasi tingginya. Dia mungkin betul tetapi masyarakat PAS merasanya dia telah rosak. Jika Nabi Musa a.s. tidak faham dengan tindakan Nabi Khidir seperti yang dirakam dalam Surah Al-Kahfi, maka PAS tidak faham dengan pengembaraan politik Nasharudin.
Itulah masalah yang Nasharudin hadapi dari rakan pimpinannya dalam PAS. Dia akan kekal dari pengikut dan pimpinan pertengahan yang baik. Ahli PAS yang sama seperti lain-lain ahli. Jika dia dilihat rosak oleh masyarakat PAS di merata tempat, ia adalah dirosakkan oleah pimpinan yang memberinya kedudukan yang terlalu tinggi. Pipit tidak boleh jadi helang.
Sekarang apa saja boleh terjadi padanya. Sukar diramal dia dapat jadi ahli PAS yang baik seperti sebelum dia dinaikkan terlalu tinggi.
Jika dia rosak berbeda keadaannya dengan Hasan Ali yang diambil oleh sesiapa saja sekarang. Jika dia rosak, dia rosak sendiri. Tidak dirosakkan oleh lain-lain orang dalam partinya dulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan